10 PERSEDIAAN UNTUK MENYAMBUT KEDATANGAN RAMADHAN

Lamanfo.com

Laman Informasi

10 PERSEDIAAN UNTUK MENYAMBUT KEDATANGAN RAMADHAN





10 PERSEDIAAN UNTUK MENYAMBUT KEDATANGAN RAMADHAN


1) Berdoalah agar Allah swt dapat memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan tahun ini dalam keadaan sihat Wal'afiat. Dengan keadaan sihat, kita dapat melaksanakan ibadah puasa, solat, tilawah Al-Quran dan zikir dengan lebih selesa.



Berdoalah sebagaimana doa yang diajar oleh Rasulullah SAW seperti dalam hadith daripada Abdullah Bin Umar berikut:
اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالَأمْنِ وَالإِيمَانِ، وَالسَّلَامَةِ وَالِإسْلَامِ، وَالتَّوْفِيقِِ لِمَا تُحِبُّ رَبَّنَا وَتَرْضَى، رَبُّنَا وَرَبُّكَ اللَّهُ
(Allaahu Akbar, Allaahumma ahillahu ‘alayna bil amni wal iimaan, wassalaamati wal-Islaam, wattawfeeqi limaa tuhibbu Rabbanaa wa tardhaa, Rabbunaa wa Rabbukallaahu.)
“Allah Maha Besar, Ya Allah, terbitkanlah ke atas kami bulan sabit dengan membawa keamanan dan keimanan, kesejahteraan dan Islam, serta taufik untuk melakukan segala yang Engkau redha. Tuhanku dan Tuhanmu ialah Allah.”
(HR. At-Tirmidzi & Ad-Darimi)

2) Mengucapkan syukur dan pujian kepada Allah swt. atas kurniaan Ramadhan yang kembali diberikan kepada kita. Al-Imam Nawawi dalam kitab Al-Azkarnya berkata, “Dianjurkan bagi setiap orang yang mendapatkan kebaikan dan diangkat dari dirinya keburukan untuk bersujud kepada Allah sebagai tanda syukur dan memuji Allah dengan pujian yang sesuai dengan keagungannya.”

3) Bergembiralah dengan kedatangan bulan Ramadhan. Rasulullah ﷺ selalu memberikan khabar gembira kepada para sahabat setiap kali datangnya bulan Ramadhan,

“Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah mewajibkan kepada kamu untuk berpuasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu syurga dan menutup pintu-pintu neraka.”
(HR. Ahmad)

4) Rancang agenda kegiatan untuk mendapatkan manfaat sebesar mungkin daripada bulan Ramadhan dan jangan bertangguh kerana tempoh sebulan Ramadhan adalah sangat singkat. Isi setiap detik dengan amalan yang dapat membersihkan diri dan mendekatkan diri kepada Allah swt.

5) Bertekad untuk mengisi setiap waktu dalam bulan Ramadhan dengan penuh ketaatan. Sesiapa yang jujur kepada Allah swt. , maka Allah akan membantu mempermudahkan semua urusannya yang baik.

6) Pelajari hukum-hukum semua amalan ibadah di bulan Ramadhan. Kita wajib mengetahui ilmu dan hukum berpuasa sebelum Ramadhan datang agar puasa kita betul mengikut syarak dan diterima oleh Allah swt In Shaa Allah.



Firman Allah swt. :
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
“Maka bertanyalah kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui.”
(Surah Al-Anbiya’ 21 : 7)

7) Meninggalkan segala dosa dan tabiat buruk di dalam bulan Ramadhan yang merupakan bulan taubat.

8) Mempersiapkan mental, fizikal dan rohani kita dengan bacaan yang membantu proses penyucian jiwa atau nafsu kita (tazkiyatun-nafs). Hadirilah majlis ilmu yang membincangkan tentang keutamaan, hukum dan hikmah puasa.

9) Berdakwah di bulan Ramadhan dengan membuat catatan ringkas merangkumi puasa dan tarawih untuk edaran umum serta memberikan buku kecil atau lembaran yang berisi nasihat dan keutamaan puasa.

10) Sambutlah Ramadhan dengan membuka lembaran baru iaitu dengan taubatan nasuha yakni taubat yang sebenar-benarnya.  Mempereratkan hubungan silaturahim, berpesan-pesan tentang kebaikan dan amal kepada seluruh ahli keluarga, ibu bapa, isteri, anak-anak dan saudara-mara. Berbakti kepada masyarakat, dengan menjadi orang yang paling bermanfaat bagi mereka.





(Dipetik dan diubahsuai daripada blog Dr. Wan Fahmin Faiz B. Wan Ali, Department of Materials, Manufacturing and Industrial Engineering, Faculty of Mechanical Engineering, UTM
May 12, 2018)


Post a comment

0 Comments