Lamanfo.com

Laman Informasi

GAJI PEKERJA MALAYSIA RENDAH

Gaji Pekerja Malaysia Rendah



KUALA LUMPUR: Pekerja Malaysia masih dibayar upah yang lebih rendah berbanding pekerja di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia, Jerman dan Singapura meskipun sudah mengambil kira kesaksamaan produktiviti antara negara, demikian mengikut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM).

Jika seseorang pekerja Malaysia menghasilkan output bernilai AS$1,000 (RM4,077.5), pekerja itu akan dibayar sebanyak AS$340 (RM1,386.35).

Bagaimanapun, upah yang diterima pekerja di negara maju itu bagi penghasilan output sama bernilai AS$1,000 (RM4,077.5) adalah lebih tinggi pada AS$510.8 (RM2,082.79), kata laporan berkenaan.

“Dalam analisis mengkaji sama ada pekerja Malaysia dibayar gaji sewajarnya dengan penilaian dari aspek produktiviti dan kesaksamaan, memperlihatkan kebanyakan industri di Malaysia membayar ganjaran yang lebih rendah kepada pekerja berbanding negara penanda aras berkenaan meskipun setelah mengambil kira aspek pelarasan produktiviti.



“Keadaan itu, jelas dilihat dalam industri perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang mencakupi 19 peratus daripada kegiatan ekonomi dan 27 peratus daripada jumlah guna tenaga di Malaysia,” kata laporan bank pusat itu.

BNM menjelaskan, industri berkenaan pada amnya lebih berintensifkan pekerja dan bergantung kepada pekerja berkemahiran rendah.

Tenaga kerja dalam industri itu lazimnya kurang mempunyai kuasa untuk berunding susulan bekalan pekerja berkemahiran rendah, termasuk jumlah pekerja asing, yang banyak, katanya.

“Akibatnya, upah purata dalam kelompok industri itu adalah sebanyak RM1,727 pada 2016, hampir 30 peratus di bawah purata upah negara sebanyak RM2,463.

“Namun begitu, upah purata di AS, UK, Australia, Jerman dan Singapura juga adalah jauh lebih rendah berbanding Malaysia bagi industri maklumat dan komunikasi serta utiliti yang lazimnya menggaji lebih banyak pekerja berkemahiran tinggi yang mampu memperoleh upah lebih tinggi disebabkan oleh set kemahiran dan kepakaran khusus mereka,” kata laporan itu.

Kadar upah purata dalam kelompok industri itu pada 2016 adalah sebanyak RM3,556, iaitu 40 peratus lebih tinggi berbanding purata upah negara.

Jurang antara pertumbuhan upah benar dari perspektif syarikat dengan perspektif pekerja meningkat secara ketara, terutamanya sejak 2015.

“Dari perspektif majikan, mereka berpendapat upah meningkat lebih cepat berbanding yang dilihat dari perspektif pekerja kerana harga pasaran barangan dan perkhidmatan yang dijual oleh syarikat meningkat pada kadar lebih perlahan berbanding harga barangan dan perkhidmatan yang digunakan pekerja.

“Dalam perbincangan dan interaksi Bank Negara dengan pihak industri, syarikat sering menyatakan kenaikan upah sebagai faktor yang mengurangkan marjin perniagaan mereka, manakala pekerja pula mengadu mengenai “upah yang statik” dan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Keadaan itu pada amnya menggambarkan sentimen yang secara terang-terangan berbeza antara majikan dengan pekerja berhubung dengan pertumbuhan upah yang lembap dalam tahun kebelakangan ini.


(Sumber: Dipetik dari Berita Harian) 

Catat Ulasan

0 Ulasan