LIHAT ANAK BULAN SYAWAL PADA 3 JUN

Lamanfo.com

Laman Informasi

LIHAT ANAK BULAN SYAWAL PADA 3 JUN




Tarikh melihat anak bulan Syawal adalah pada petang Isnin, 3 Jun bersamaan 29 Ramadan 1440 Hijrah, menurut kenyataan daripada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis Raja-Raja juga bersetuju bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab dengan tarikh sambutan diisytiharkan pada malam itu juga melalui radio serta televisyen.

Sebanyak 29 tempat dikenal pasti untuk melihat anak bulan Syawal iaitu di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka; Teluk Kemang, Negeri Sembilan; Bukit Melawati di Kuala Selangor, Bukit Jugra di Banting dan Balai Cerap Sabak Bernam, Selangor:
Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjong, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh, Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak di Kuala Muda, Pemandangan Indah di Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Kedah; Bukit Besar di Kuala Terengganu, Bukit Geliga di Kemaman, Pulau Perhentian di Besut dan Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu; Bukit Peraksi di Pasir Puteh, Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram di Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak di Kota Bharu, Kelantan;

Bukit Tanjong Batu di Nenasi, Gunung Berincang di Cameron Highlands dan Bukit Pelindong di Kuantan, Pahang; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru di Simpang Empat, Perlis;

Esplanade Luak di Miri, Teluk Bandung di Kuching dan Tanjung Batu di Bintulu, Sarawak; dan Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan serta Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan, Sabah.

Untuk pengertian, Hisab adalah perhitungan secara matematik dan astronomi untuk menentukan posisi bulan dalam menentukan dimulainya awal bulan pada kalender Hijriyah.

Rukyah pula adalah aktiviti untuk mengamati penampakan hilal, iaitu penampakan bulan sabit yang tampak pertama kali setelah terjadinya ijtimak. Rukyah dapat dilakukan dengan mata kasar atau dengan alat bantu optik seperti teleskop. Rukyah dilakukan setelah matahari terbenam. Hilal hanya tampak setelah matahari terbenam (maghrib), ini kerana cahaya hilal kurang terang dibanding dengan cahaya matahari, serta ukurannya sangat tipis. Apabila hilal terlihat, maka pada petang (maghrib) waktu setempat telah memasuki bulan (kalender) baru Hijriyah. Apabila hilal tidak terlihat maka awal bulan ditetapkan mulai maghrib hari berikutnya.

Perlu diketahui bahawa dalam kalender Hijriyah, sebuah hari diawali sejak terbenamnya matahari waktu setempat, bukan saat tengah malam. Sementara penentuan awal bulan (kalendar) tergantung pada penampakan bulan. Oleh sebab itu satu bulan kalendar Hijriyah adalah di antara 29 atau 30 hari.


(Sumber: Bernama dan Wikipedia)

Post a comment

0 Comments