Lamanfo.com

Laman Informasi

MTUC: HUJAH GAJI RENDAH BERBANDING TIADA GAJI BERI ISYARAT SALAH.

MTUC: Hujah gaji rendah berbanding tiada gaji beri isyarat salah. 


    

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini mengkritik kenyataan Dr Mahathir Mohamad mengatakan gaji rendah lebih baik daripada tiada gaji, mengatakan ia memberi isyarat yang salah kepada majikan.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata kenyataan itu boleh diambil sebagai bermakna buruh paksa atau peras tenaga diterima di Malaysia, dan majikan boleh menggunakannya sebagai hujah untuk terus memberikan gaji rendah.

Beliau mengalu-alukan ikrar kerajaan untuk menambahbaik undang-undang buruh dan proses tenaga kerja bagi menyelesaikan isu antara majikan dan pekerja, tetapi perdana menteri harus menjelaskan kenyataannya.

“Perdebatan mengenai gaji rendah berbanding tiada gaji tidak patut timbul kerana majikan mungkin fikir mereka berhak memberikan gaji rendah.




“Mengetengahkan hujah untuk gaji rendah adalah tidak betul dari segi politik kerana kajian-kajian oleh Bank Negara Malaysia dan banyak pihak lain sudah menetapkan pekerja berdepan masalah kewangan kerana gaji rendah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga memetik kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang diterbitkan pada 15 Oktober tahun lepas yang menyatakan jurang pendapatan secara mutlak antara golongan 20% teratas dan penduduk lain hampir berganda walaupun terdapat pengurangan dalam ketidaksamaan pendapatan rasmi.

“Ini menjadikan lebih ramai rakyat dalam kemiskinan relatif,” katanya.

Mahathir dalam pesannannya sempena Hari Buruh berkata rakyat perlu mengambil kerja-kerja 3D (kotor, berbahaya dan sukar) daripada menganggur, kerana tiada pendapatan tanpa pekerjaan.

Solomon bagaimanapun berkata, mengetengahkan perdebatan mengenai gaji rendah berbanding tiada gaji hanya akan memburukkan lagi ketidaksamaan dan merencatkan permintaan untuk barangan dan perkhidmatan yang perlu untuk mengekalkan output dan pertumbuhan pekerjaan.

Jika pendapatan sebenar pekerja menurun, katanya, kemampuan untuk berbelanja semakin kurang. Apabila orang kurang berbelanja, permintaanuntuk barangan dan perkhidmatan menurun bersama dengan permintaan untuk pekerjaan, katanya.

“Apabila majikan tidak bayar gaji yang munasabah pada pekerja, ia meletakkan beban yang besar pada kerajaan kerana ia perlu mencari cara untuk membayar golongan miskin, terutama B40, di kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata situasi itu mencerminkan kegagalan dasar-dasar pendidikan kerajaan, dan menambah ramai siswazah meninggalkan universiti dengan kelayakan yang tidak memenuhi permintaan sebuah ekonomi membangun.

Beliau berkata struktur kelas kerja tidak memberi penghargaan secukupnya kepada pekerja di sektor 3D walaupun mereka memberi sumbangan yang bernilai kepada pembangunan.

“Penggubal dasar perlu ada strategi untuk menangani sebab-sebab gaji rendah, serta ciri-ciri kerja bergaji rendah yang membawa kepada pekerjaan yang tidak terjamin,” katanya.

“Peningkatan pekerjaan yang tidak terjamin memburukkan lagi kesan gaji rendah terhadap standard kehidupan individu dan keluarga.

“Mereka mempunyai kemampuan terhad untuk membina aset ekonomi seperti perumahan, dan caruman EPF yang rendah dan prospek persaraan yang rendah akan membebabkan kerajaan di kemudian hari.”
Beliau menggesa kerajaan mencari cara menambahbaik kehidupan rakyat ndengan membayar gaji lebih tinggi untuk kerja-kerja 3D dan merangka pelan baru menangani kos sara hidup.

“Apabila semua gaji bayar gaji munasabah, pekerja akan lebih sedia mengambil apa sahaja kerja. Sudah sampai masanya kerajaan bantu pekerja yang terperangkap dalam sektor ini dengan menjadikan persekitaran kerja mereka lebih baik dan menyediakan langkah-langkah keselamatan secukupnya, dan bukan membheritahu mereka supaya bersyukur atas kerja-kerja 3D itu,” katanya.


(Sumber: Dipetik dari Free Malaysia Today) 

Catat Ulasan

0 Ulasan