Lamanfo.com

Laman Informasi

PANDUAN MENYAMBUT AILDIFITRI



Ramadhan sudah hampir tiba ke penghujungnya. Semua amalan yang dilaksanakan di bulan yang mulia tersebut diharap diterima dan mendapat keredaan daripada Allah s.w.t.

Bulan Syawal semakin menjelang dimana umat Islam meraihkan kemenangan dalam usaha mengekang nafsu selama sebulan. Bagi sesetengah umat Islam akan bersedih dengan pemergian Ramadhan manakala sesetengah lagi bergembira dengan kedatangan Syawal. 

Walau bagaimanapun, perjuangan melawan nafsu masih diteruskan dalam usaha kita untuk mendapat keredaan daripada Allah s.w.t. Pada 1hb Syawal kita akan menyambut Aidilfitri dan melakukan solat sunat Aidilfitri. Berikut ialah sedikit panduan yang dapat penulis kongsikan untuk amalan kita bersama semasa menyambut Aidilfitri.


1) MANDI SUNAT HARI RAYA SEBELUM KELUAR MENUNAIKAN SOLAT SUNAT AIDILFITRI DAN MEMAKAI PAKAIAN YANG TERBAIK.

Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : “Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya”.

Lafaz Niatnya:

نويت الغسل لعيد الفطر سنة لله تعلى
 
NAWAITUL GHUSLA LI I’DIL FITRI SUNNATALLILAHI TAA’LA

“Sahaja aku mandi sunat hari raya fitri kerana Allah S.W.T. Taa’la”.

Pakaian yang terbaik  perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.
Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang diharamkan di dalam Islam).

2) MENJAMAH MAKANAN SEBELUM KELUAR.

Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : “Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma…”

Tidak disunatkan makan sebelum pergi solat hari raya Aidil Adha.

3) MEMPERBANYAKKAN TAKBIR.

Memperbanyakkan takbir semasa Aildilfitri.

Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Aidilfitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

Sunat memperbanyak lafaz takbir pada malam dan sepanjang Hari Raya Fitri



4) MENGUCAPKAN SELAMAT DAN MENDOAKAN ANTARA SATU SAMA LAIN.

Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah “Taqabbalallahu minna wa minkum” ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu”.

Disebut dalam sebuah riwayat :

قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك

Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda “taqabballahu minna wa minka”, baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka” ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )


5) MENUKAR JALAN KE TEMPAT SOLAT (BALIK DAN PERGI)

Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya” (Riwayat Al-Bukhari)


6) BERZIARAH DAN MERAPATKAN HUBUNGAN BAIK (UKHUWWAH) SESAMA MUSLIM SEMPENA MUSIM CUTI YANG DIPEROLEHI.

Nabi pernah bersabda :

مَن سَرّه أن يُبسط له في رزقه ، وأن يُنسأ له في أثره ؛ فَلْيَصِل رَحِمَه

Ertinya : Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)


7) PANDUAN SOLAT SUNAT AIDILFITRI
Solat sunat Aidifitri dikerjakan sebanyak dua rakaat dan hukumnya sunat muakkad. Segala rukun dan syarat serta sunatnya sama seperti solat fardu yang lima, kecuali perkara sunat yang ditambahkan iaitu bertakbir tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua, disertakan dengan bertasbih di antara tiap-tiap takbir

Lafaz Niat:

أُصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الْفِطْرِ  رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى

Usalli sunnatan i'dil Fitri rak'ataini makmuman lillahi ta'ala.

Ertinya:
Sahaja aku sembahyang sunat Hari Raya Aidil Fitri dua rakaat makmum kerana Allah Ta'ala.

Rakaat Pertama

1. Dimulai dengan lafaz takbirratul ihram disertakan dengan niat di dalam hati.

2. Membaca doa iftitah

3. Lafaz takbir 7 kali diselangselikan dengan bacaan tasbih

4. Membaca surah al- Fatihah

5. Membaca surah al –Quran (disunatkan membaca surah al-A’laa)

6. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama




Rakaat kedua

1. Dimulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua)

2. Lafaz takbir 5 kali diselangselikan dengan bacaan tasbih

3. Membaca surah al-Fatihah

4. Membaca surah al-Quran (disunatkan membaca surah al- Ghaasyiyah)

5. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua

6. Memberi salam


KHUTBAH AIDILFITRI

Khutbah Aidilfitri sama dengan khutbah Jumaat dari segi rukunnya. Namun sunat dimulakan oleh khatib dengan lafaz takbir sebanyak 9 kali berturut-turut pada khutbah pertama dan 7 kali berturut-turut pada khutbah kedua.






BEBERAPA KESILAPAN DI HARI RAYA
 
1. Berjabat tangan lelaki dan wanita yang bukan muhrim.


2. Tidak menjaga aurat terutama di antara ipar duai.

3. Wanita memakai wangi-wangian dan memakai pakaian yang sempit menunjukkan susuk tubuh.

4. Meninggalkan solat kerana sibuk berziarah.

5. Berhari raya bersama lelaki dan wanita yang bukan mahram serta gurau senda yang melampau.

Catat Ulasan

0 Ulasan