IMAM TERTINGGAL SEPOTONG AYAT AL FATIHAH, MAKMUM DIMINTA QADA SOLAT ISYAK

Lamanfo.com

Laman Informasi

IMAM TERTINGGAL SEPOTONG AYAT AL FATIHAH, MAKMUM DIMINTA QADA SOLAT ISYAK






SHAH ALAM: Ahli kariah yang solat Isyak berjemaah di Masjid Bandar Puncak Alam, di sini malam Isnin lalu, dinasihatkan mengqada solat masing-masing selepas ia didapati tidak sah.

Ahli Jawatankuasa Masjid Bandar Puncak Alam, Fadli Mohd Yusuf, berkata kejadian terbabit disedari ahli kariah masjid berkenaan selepas selesai solat itu berikutan mereka menyedari imam solat jemaah berkenaan tidak membaca satu daripada ayat dalam surah al-Fatihah.

Menyedari perkara itu, Fadli berkata, pihaknya kemudian terus merujuk perkara itu kepada pejabat Jabatan Mufti Selangor untuk tindakan selanjutnya.

“Ketika kejadian, imam solat tidak membaca salah satu ayat di dalam surah al-Fatihah dan solat itu diteruskan sehingga selesai.

“Sejurus itu, ahli kariah bertanyakan kepada pihak masjid sama ada solat itu sah atau perlu diqada semula,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, kejadian itu tersebar melalui aplikasi WhatsApp yang meminta mana-mana individu yang menjadi makmum ketika solat Isyak berkenaan untuk mengqada semula solat berkenaan.

Mesej yang tersebar turut disertakan dengan rakaman solat Isyak berjemaah pada malam kejadian yang jelas kedengaran imam tidak membaca ayat kelima dalam surah al-Fatihah.

Mengulas lanjut, Fadli berkata, antara alasan dikemukakan Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid kepada pihak pengurusan masjid adalah rukun solat adalah perlu membaca al-Fatihah dengan tertib.

“Beliau (Mufti) memberi contoh situasi yang berlaku ketika khutbah Jumaat suatu ketika dulu ketika khatib terlepas membaca ‘Ittaqullah’.

“Oleh yang demikian, beliau menyarankan agar semua yang bersolat Isyak pada malam itu perlu diqada semula,” katanya.

Sementara itu, seorang kariah masjid berkenaan, Muhamad Razhe Mohamad, 54, berkata kebanyakan makmum dalam solat berkenaan tidak menyedari kesilapan berkenaan ketika solat berkenaan.

Katanya, secara kebetulan beliau juga seorang daripada makmum yang solat di saf depan.

“Memang ramai yang tidak perasan lebih-lebih lagi yang solat di belakang imam itu.
“Saya memang biasa solat di masjid berkenaan dan ini kali pertama kejadian itu berlaku,” katanya.

Muhamad Razhe berkata, beliau hanya menyedari imam solat Isyak berkenaan tidak membaca sepotong ayat itu ketika rakaat kedua apabila perkara itu menjadi viral dalam WhatsApp kejiranannya selain dimaklumkan rakannya.

“Pagi tadi lepas sahur di surau baru dapat tahu melalui kawan,” katanya.

(Sumber: Berita Harian) 

Sila lihat juga video : Kaedah bacaan Al Fatihah Yang Betul

Post a comment

0 Comments