Lamanfo.com

Laman Informasi

AMBIL INSURANS SEBELUM UMUR 35 TAHUN




Adakah anda pernah ditemui oleh rakan atau saudara anda yang ingin memperkenalkan anda tentang pakej insurans nyawa atau kad perubatan. Sudah tentu anda pernah bukan. Walau bagaimanapun, tidak kira sama ada anda pernah diterangkan mengenai insurans atau pun belum tetapi sejurus anda mendengarkan bayaran bulanan premiumnya sudah cukup menakutkan anda. Perkara ini biasa berlaku kepada graduan muda yang lebih menumpukan perhatian mereka kepada perkara lain seperti mendapatkan telefon pintar terkini, membeli kereta, melabur dalam pasaran hartanah, dan mendapat pekerjaan dengan gaji baik supaya mampu membayar semua yang tersebut.

Kebiasaan orang muda masih mempunyai kesihatan yang baik dan amat jarang sekali jatuh sakit. Ini menyebabkan mereka tidak begitu memberi keutamaan kepada perlindungan insurans seperti insurans nyawa dan kesihatan. Kebanyakan daripada mereka juga mempunyai ibu bapa yang sentiasa membantu mereka dari segi kewangan sewaktu kecemasan dan oleh sebab itu mereka tidak terfikir untuk mendapatkan insurans kesihatan untuk diri sendiri.

Kebanyakan beranggapan insurans sebagai perbelanjaan yang kurang utama dan mengurangkan lagi perbelanjaan harian mereka dan juga insurans hanya perlu apabila mereka telah lanjut usia kelak. Tambahan pula di Malaysia setakat ini tidak mewajibkan rakyatnya untuk mendapatkan insurans kesihatan berbanding negara seperti Amerika Syarikat di mana semua warganegara dan penduduk sah wajib memiliki sekurang-kurangnya satu pelan asas insurans kesihatan.


Kos perubatan yang semakin meningkat

Walau bagaimanapun, anda tidak dapat menjangkakan kemalangan boleh berlaku bila-bila masa terhadap diri anda dan perlu dikejarkan ke hospital dan di sana anda akan mula berasa risau bagaimana untuk membayar kos perubatan yang boleh mencecah ratusan ribu. Kita juga sering mendengar rakan-rakan atau kenalan yang mengalami kesakitan atau penyakit yang tidak dijangka dan perlu mendapatkan bantuan kewangan untuk membiayai kos perubatan. Kajian juga menunjukkan bahawa Malaysia sedang mengalami inflasi peningkatan dua digit dalam penjagaan kesihatan yang bermakna bil perubatan akan lebih mahal daripada tahap kemampuan anda.

Oleh yang demikian, sebelum musibah menimpa, berikut diberikan beberapa alasan penting untuk mendapatkan insurans perubatan seawal mungkin, sebaik-baiknya sebelum umur 35 tahun:


1. Lebih awal lebih murah

Untuk makluman anda, pelan dan pakej insurans adalah berbeza mengikut umur anda. Pada asasnya, jika anda lebih muda, tawaran pakejnya akan lebih baik, iaitu perlindungan yang lebih baik pada harga yang lebih murah. Anda membayar harga lebih rendah untuk pelan insurans apabila anda berumur 24 tahun berbanding ketika anda berumur 34 tahun.


Apabila ditimpa penyakit perlukan ubat-ubatan




2. Awalkan tempoh menunggu sebelum musibah terjadi

Sepertimana semua insurans, tempoh menunggu disediakan untuk semua polisi insurans, tidak kira umur. Tempoh menunggu ini merujuk kepada tempoh masa yang mesti berlalu seperti yang dinyatakan dalam polisi anda sebelum sebahagian atau semua perlindungan kesihatan / perubatan anda boleh bermula.

Oleh itu, ia akan memanfaatkan anda jika anda mendaftar awal untuk mendapat insurans kerana sekiranya berlaku sebarang kecemasan, anda telah melalui tempoh menunggu tersebut dan layak mendapat manfaat dengan serta-merta.

Sesetengah polisi mempunyai tempoh menunggu selama 90 hari manakala yang lain mungkin sehingga dua tahun. Ini tidak sesuai terutamanya jika anda didiagnosis dengan penyakit yang akan melibatkan rawatan mahal semasa tempoh menunggu.




Kemalangan terjadi bila-bila masa

3. Dapatkan perlindungan yang lebih komprehensif

Anda berhak mendapat pelan insurans yang baik dan paling murah untuk diri sendiri. Perlindungan yang lebih menyeluruh dan komprehensif dengan harga premium yang murah dapat memberikan anda pelan yang dapat mengikut keperluan anda dan juga keadaan lain dalam kehidupan anda.

Apabila anda lebih muda dan lebih sihat, lebih banyak pilihan disediakan untuk anda, dan anda boleh memilih segala yang anda inginkan untuk pelan perubatan anda. Apabila umur anda semakin meningkat, anda akan lebih mudah diserang penyakit. Ini bermakna anda mempunyai pilihan insurans yang lebih terhad dan mungkin perlu mengambil apa-apa sahaja pelan yang ditawarkan oleh syarikat insurans kepada anda. Premium insurans akan bertambah apabila umur anda semakin meningkat, dan sesetengah penyakit mungkin tidak dimasukkan jika keadaan kesihatan anda tidak begitu baik.


Makanan Tak Sihat

 4. Perlindungan awal daripada penyakit berkaitan gaya hidup

Gaya hidup seseorang akan sentiasa berubah mengikut peredaran masa bermakna masa sekarang berbeza daripada 20 hingga 30 tahun yang lalu. Kebanyakan golongan profesional hari ini mempunyai gaya hidup tidak aktif yang menyebabkan mereka lebih mudah terdedah kepada penyakit seperti hipertensi, obesiti, dan banyak lagi. Generasi muda juga menjalani gaya hidup yang tidak sihat dimana mereka lebih memakan makanan tidak berkhasiat dan semakin terdedah kepada segala jenis pencemaran sekeliling. Ini boleh membawa kepada banyak masalah kesihatan seperti kanser paru-paru, arteri tersumbat, serangan jantung dan sebagainya.

Secara zahirnya, mungkin ini tidak dilihat sebagai suatu masalah besar kerana hampir semua orang memakan makanan kurang berkhasiat dan juga terdedah kepada pencemaran seperti gas karbon monoksida. Akan tetapi perlu diingat bahawa setiap orang mempunyai tubuh badan yang berbeza dengan sistem imun yang berbeza untuk melawan penyakit. Ketika anda masih muda, anda merasa kebal dan dapat pulih dari sakit dengan cepat. Namun demikian, apabila umur anda semakin meningkat, badan anda semakin lemah. Anda tidak tahu bila sistem imun anda akan gagal. Oleh yang demikian, lebih baik anda dapatkan insurans seawal yang boleh.

5. Bonus tanpa tuntutan

Kebanyakan jenis insurans, termasuk insurans kereta, menawarkan bonus tanpa tuntutan kepada pelanggan mereka. Pada asasnya, bonus tanpa tuntutan adalah ganjaran yang ditawarkan kepada anda oleh syarikat insurans kerana tidak melakukan sebarang tuntutan sepanjang tempoh masa tertentu.

Sebagai contoh, jika anda telah membayar jumlah tertentu bagi premium anda dan tidak melakukan sebarang tuntutan dalam tempoh lima tahun, anda layak mendapat rebat tunai tanpa tuntutan. Beberapa syarikat juga menawarkan ganjaran dan manfaat khas jika anda tidak melakukan apa-apa tuntutan untuk tempoh masa tertentu. Oleh itu, lebih awal anda bermula, lebih baik bagi anda kerana anda mungkin tidak perlu membuat tuntutan terhadap polisi insurans anda untuk beberapa tahun, justeru membolehkan anda mengambil kesempatan daripada bonus tanpa tuntutan.

Secara kesimpulannya, mengapa anda masih menunggu?

Catat Ulasan

0 Ulasan