MALAYSIA CATAT KADAR KES LEMAS 500 SETAHUN

Lamanfo.com

Laman Informasi

MALAYSIA CATAT KADAR KES LEMAS 500 SETAHUN



Kuala Lumpur - Saranan agar semua taman rekreasi berenang yang berisiko tinggi kes lemas dipasangkan dengan lebih banyak tanda amaran.

Inisiatif untuk memasang papan tanda amaran tersebut haruslah dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihak berkuasa tempatan, pengurusan perhotelan dan juga pengurusan taman tema.

Semua pihak wajib berusaha untuk mencapai kematian sifar disebabkan lemas dengan mengamalkan budaya pencegahan dimana kanak-kanak diajarkan mengenai bahaya lemas dan cara-cara mengelakkan menjadi mangsa lemas.

"Saya berharap agar semua agensi bsrsama-sama membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan mengadakan rondaan dan menempatkan anggota di kawasan yang berisiko tinggi. Mereka sepatutnya memberi nasihat dan memberi amaran kepada pengunjung terutama di kawasan berkelah yang banyak kejadian kes lemas," kata Tan Sri Lee Lam Thye yang juga ahli kepada National Water Activity Safety Council (WASC).

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata kes tersebut boleh dielakkan dengan syarat semua pihak dan orang awam memainkan peranan dengan efektif.

Lee juga berkata semua pihak berkuasa harus membaiki semua tanda amaran yang rosak dengan serta merta sementara pengurusan hotel dan taman tema perlu meningkatkan lagi tahap keselamatan mereka.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah mengenalpasti 19 kawasan panas seluruh negara menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Semua lokasi tersebut adalah berdasarkan maklumat insiden kes lemas yang melebihi 5 mangsa lemas di antara tahun 2016 hingga 2018 di sungai, air terjun, pantai dan tasik. 

Lokasi-lokasi berisiko tinggi termasuk pantai Port Dickson di Negeri Sembilan, Pantai Puteri di Melaka, Air Terjun Sekayu di Terengganu dan Sungai Pertak di Selangor.

Kajian yang dibuat oleh Pusat Penyelidikan  Klinikal Perak mendapati lebih kurang 500 mangsa lemas setahun yang kebanyakannya dari golongan belia. Ini menjadikannya punca kematian kedua tertinggi dari kalangan mereka yang berumur 1 hingga 18 tahun.

Kajian itu juga mendapati pada 9 bulan pertama tahun 2017, sejumlah 31 kanak-kanak di antara umur 2 hingga 9 tahun menjadi mangsa lemas di kolam renang hotel dan taman tema di Malaysia dengan 75 peratus mangsa berumur di bawah 5 tahun. 

Lee juga menasihatkan agar ibubapa untuk sentiasa memerhatikan anak-anak mereka bagi mengelakkan kejadian yang tak diingini berlaku.

"Ibubapa mesti sentiasa memberi perhatian kepada anak-anak mereka kerana banyak kejadian lemas adalah akibat ibubapa tidak menyedari anak-anak mereka bermain berhampiran sungai, kolam dan kolam renang.

Dalam beberapa insiden, kanak-kanak lemas apabila ibubapa sedang sibuk mendaftar di kaunter hotel," tambahnya.
WASC telah mengenalpasti 15 kawasan berisiko tinggi dan 39 kawasan berisiko untuk kejadian lemas seluruh negara dan mengambil maklum kejadian sering terjadi di kawasan (urutan mengikut kekerapan) sungai, parit, pantai, tasik, takungan lombong, air terjun dan saluran pembentungan.


(Sumber: NST)

Sila rujuk wikiHow: HOW TO AVOID DROWNING

Post a comment

0 Comments