MAKKAH - Raja Salman Abdulaziz Al
Saud menyeru penyusunan semula
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menangani cabaran serantau dan
antarabangsa yang dihadapi umat Islam hari ini.
"Sebagai pengerusi OIC, Arab Saudi akan bekerjasama dengan negara
anggota untuk mempercepat pelaksanaan tindakan bersama untuk mencapai matlamat
umat Islam di seluruh dunia," katanya semasa mempengerusikan Sidang
Kemuncak OIC ke-14 di istana kerajaan di sini, Jumaat.
Raja Salman juga menyatakan kesedihannya atas fakta bahawa umat Islam
menyumbang bilangan pelarian paling tertinggi di dunia, akibat daripada
pergolakan dan peperangan.
Beliau berkata Arab Saudi juga akan mendapatkan pandangan daripada negara
anggota untuk mengatasi pergolakan dan peperangan, selain memperluaskan bantuan
melalui badan kemanusiaan untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan di semua
negara Islam.
'Sidang Kemuncak Makkah Al-Mukarramah: Hand in Hand towards the Future'
dihadiri oleh pemimpin dari 57 negara anggota OIC termasuk Malaysia untuk
bersatu dalam menangani isu dan peristiwa yang mempengaruhi dunia Islam.
Sementara itu, Raja Saudi berkata isu Palestin adalah kebimbangan utama
bagi OIC dan ia akan berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat Palestin.
"Ini adalah tumpuan kami untuk rakyat Palestin mendapatkan semula
hak mereka, terjamin dengan resolusi antarabangsa yang sah dan Inisiatif
Keamanan Arab 2002," katanya merujuk kepada cadangan untuk menamatkan
konflik Arab-Israel yang telah disahkan oleh Liga Arab 17 tahun yang lalu .
"Kami sekali lagi menyatakan pendirian kami terhadap apa-apa
langkah yang akan menjejaskan status sejarah dan perundangan di negara Palestin,"
katanya.
Sidang Kemuncak OIC ke-14 dijangka mengadopsi tiga dokumen hasil iaitu
Communique Akhir bagi Sidang Kemuncak OIC ke-14, Resolusi untuk Palestin dan Al-Quds
Al-Sharif, dan Deklarasi Makkah.
(Sumber: Bernama)
0 Ulasan