Lamanfo.com

Laman Informasi

TIDAK SALAH MENJEMPUT ORANG BUKAN ISLAM KE RUMAH TERBUKA AIDILFITRI: IMAM BESAR



Kuala Lumpur - Kira-kira 10,000 jemaah melaksanakan solat Aidilfitri di Masjid Negara yang juga turut dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah mendapat perkenan baginda pada hari ini sempena sambutan 1 Syawal.

Seri Paduka berdua diiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta beberapa menteri Kabinet dan dif-dif kehormat.

Sebelum bertakbir raya Sultan Abdullah dan jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Selesai solat sunat Aidilfitri dan khutbah Sultan Abdullah kemudian berkenan berangkat ke majlis ramah mesra dan santapan raya bersama para jemaah Kabinet di Istana Negara.

Khutbah yang juga disampaikan oleh imam solat bertajuk ‘Aidilfitri Penyubur Fitrah Insani’, mengingatkan bahawa umat Islam wajar menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan dalam suasana keimanan yang kukuh dan mestilah dilaksanakan dalam kerangka syariat Islam.

Beliau turut berkata  bahawa kegembiraan itu mestilah dizahirkan dengan membesarkan Allah dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih dan terus istiqamah melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran.

“Perubahan dicapai melalui amalan bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu sehingga sifat-sifat keji yang bersarang dalam hati dapat dibuang dan diganti dengan sifat-sifat yang murni dalam jiwa,” katanya.

Syaikh Ismail juga menyeru seluruh umat Islam menjalinkan semangat perpaduan dengan menghubungkan silaturahim dengan amalan ziarah-menziarahi bagi mengeratkan ukhuwah.

“Malah, tidak salah untuk menjemput golongan bukan Islam hadir ke rumah kita lebih-lebih lagi apabila menganjurkan rumah terbuka.

“Sikap saling menyayangi, menjaga, memahami, memberi, berkongsi dan memaafi hendaklah ditonjolkan kepada mereka, sekali gus dapat mewujudkan suasana keharmonian dalam masyarakat yang berbilang kaum yang wujud di negara kita,” katanya.

Umat Islam juga perlu beringat di samping kegembiraan menyambut Aidilfitri, terdapat saudara-mara seagama menyambutnya dalam keadaan sukar, bersendirian dan daif termasuk dialami oleh saudara-saudara Islam di negara-negara yang bergolak.

"Walaupun suasana hari raya disambut dengan meriah tetapi semuanya itu mestilah dilakukan secara sederhana dan tidak membazir serta terhindar daripada perasaan riak dan sombong terutamanya ketika menganjurkan rumah terbuka."

“Demikian juga wajib kita memelihara adab berpakaian dan pergaulan supaya tidak melanggar batas-batas syariat,” katanya.

Khutbah juga mengingatkan agar anak-anak diajar dengan adab sopan dengan tidak melakukan perkara-perkara yang melalaikan dan merosakkan nilai silaturahim yang terjalin sebelum ini.


(Sumber: Bernama)

Catat Ulasan

0 Ulasan