Lamanfo.com

Laman Informasi

TNB LUASKAN PENGGUNAAN TENAGA BOLEH BAHARU

Solar panel

Kuala Lumpur - Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui anak syarikatnya TNB Renewables Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian pemberian bekalan tenaga boleh baharu (SARE) dengan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) dengan pemasangan panel solar di bumbung pasar awam dan beberapa bangunan pejabat di Pulau Pinang.

Perjanjian tersebut amat penting dalam menjadikan MPSP sebagai pihak berkuasa tempatan yang pertama dalam penjanaan kuasa solar dan juga pihak berkuasa tempatan yang pertama mengamalkan budaya hijau bersama syarikat utiliti negara melalui SARE.


Presiden MPSP, Datuk Seri Rozali Mohamud berkata perjanjian tersebut membawa MPSP selangkah ke hadapan dalam merealisasikan masyarakat rendah karbon melalui inisiatif bandar pintar di Seberang Prai.

Perjanjian tersebut membolehkan anak syarikat TNB Renewables iaitu GSPARX Sdn Bhd untuk membuat kajian dan mengenalpasti tapak yang sesuai untuk pemasangan panel solar bagi pihak MPSP di bawah kaedah Zero Upfront Solution.

Pemasangan panel solar photovoltaic (PV) juga membolehkan MPSP untuk menjual balik lebihan janaan kuasa solar kepada TNB dan mendapatkan kredit kuasa secara  'one-on-one' untuk mengurangkan lagi kos bil elektrik melalui skema Net Energy Metering.


SARE ialah kontrak di antara 3 pihak iaitu TNB, GSPARX dan MPSP. GSPARX bertindak sebagai pelabur solar PV yang berdaftar manakala MPSP sebagai pengguna. Ini juga membolehkan MPSP untuk menikmati kadar kos elektrik yang lebih rendah berbanding kadar yang telah digazetkan.

SARE terdahulu telah ditawarkan oleh anak syarikat TNB iaitu TNBX Sdn Bhd yang secara umumnya menawarkan kepada bangunan kerajaan negeri dan persekutuan, pengguna komersil dan juga  industri untuk membantu mereka menurunkan kos penjanaan elektrik melalui penjanaan tenaga boleh baharu.


Perjanjian bekalan tersebut memanfaatkan TNB dalam sistem pengebilan integrasi syarikat tersebut manakala pengguna dapat memantau sendiri jumlah penggunaan kuasa dan kos mereka. Bil elektrik tersebut juga boleh dilihat melalui aplikasi myTNB.


(Sumber: BERNAMA)

Catat Ulasan

0 Ulasan