Lamanfo.com

Laman Informasi

DUNIA TANGGUNG KERUGIAN US1.3 BILION SEHARI AKIBAT KEMUSNAHAN TANAH – PBB




NEW DELHI - Kemusnahan tanah di seluruh dunia mengakibatkan kerugian sebanyak US$1.3 bilion setiap hari, kata seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa agar langkah segera diambil bagi mengekang ancaman yang semakin meningkat terhadap keselamatan makanan.

Kemusnahan tanah pertanian akan mewujudkan krisis migrasi secara besar-besaran kerana penduduk akan melarikan diri dari kawasan yang mengalami kekurangan sumber makanan kata Ibrahim Thiaw, Setiausaha Eksekutif Konvensyen PBB bagi Memerangi Penggurunan (UNCCD).

"Kita kehilangan sebanyak US$1.3 bilion setiap hari akibat kemusnahan tanah. Ini adalah cara bagaimana ia boleh menjejaskan kemanusiaan," kata Ibrahim kepada pemberita di New Delhi pada Selasa.

Beliau menambah keadaan kemarau di banyak bahagian dunia menjadi lebih kerap dan teruk, yang menyebabkan kekurangan air untuk kawasan bandar dan pengeluaran makanan yang lebih rendah dan dibimbangi akan menyebabkan berlakunya pergolakan awam yang tinggi.

Peningkatkan permintaan untuk sumber asli disebabkan pertumbuhan populasi dan telah menjadi "tipping point" di banyak bahagian di dunia," kata Ibrahim.

Kemusnahan tanah terjejas di semua rantau, termasuk Asia Tenggara, negara-negara Mediterranean dan Amerika Latin.

"Ia adalah satu fenomena global. Afrika paling terjejas," katanya.

Perhimpunan Agung PBB pada Mac telah mengisytiharkan Dekad PBB berkaitan Pemulihan Ekosistem, yang bertujuan mempercepat pemulihan ekosistem yang musnah dan rosak bagi memerangi krisis iklim serta meningkatkan keselamatan makanan, bekalan air dan biodiversiti.

Ia menyokong inisiatif Cabaran Bonn yang bertujuan memulihkan 350 juta hektar ekosistem yang musnah menjelang 2030.


(Sumber: Bernama)

Catat Ulasan

0 Ulasan