Lamanfo.com

Laman Informasi

BOLEHKAH SISTEM PENGECAMAN PARAS MUKA BERFUNGSI DALAM SEMUA KEADAAN?


Pengecaman paras muka telah banyak diaplikasikan di banyak negara oleh penguatkuasa undang-undang dan pengurusan keselamatan bangunan  bagi mempertingkatkan kawalan dan pengawasan. Tetapi sejauh mana keberkesanannya untuk mengenalpasti seseorang di bawah keadaan sekeliling yang berbeza-beza?

Ketepatan sistem pengecaman paras muka telah mendapat tindakbalas yang semakin meruncing di Amerika Syarikat apabila Oakland dan San Francisco mengharamkan penggunaannya oleh pihak berkuasa bandaraya, dengan alasan bahawa perisian tersebut boleh disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Walaupun pengecaman bergantung kepada beberapa faktor dan akan menjadi sukar dengan pemakaian topeng muka, sistem pengecaman yang terkini masih dapat membuat pengecaman terhadap seseoang, menurut beberapa pengkaji yang bekerja di syarikat yang berkaitan dengan kecerdasan buatan (AI) di China.

Pandangan para pengkaji tersebut adalah berdasarkan teknik pengawasan yang lebih terperinci berbanding sistem pengecaman paras muka yang biasa. Ia termasuk pengecaman sebahagian muka yang terdedah, gaya pergerakan badan dan beberapa ciri-ciri badan seseorang.

Di China, pengecaman paras muka digunakan di beberapa bandaraya untuk mengenalpasti dan memalukan pesalah-pesalah kecil, mengenalpasti penjenayah yang berada di khalayak orang ramai dan pengesahan identiti penumpang di lapangan terbang. Dengan menggunakan algotritma yang canggih, syarikat teknologi China dan juga beberapa syarikat-syarikat besar telah mengadaptasi sistem ini di dalam bidang penjualan, pelancongan dan juga perbankan.

Di sini diterangkan secara ringkas bagaimana proses sistem pengecaman paras muka berfungsi, menurut pengkaji teknologi pengawasan.


Pengecaman paras muka di khalayak ramai.


Bagaimana Kecerdasan Buatan (AI) berfungsi dalam sistem pengecaman paras muka?

Sistem pengecaman paras muka melibatkan pengenalpastian seseorang daripada maklumat imej yang terkumpul termasuk gambar foto dan video. Penggunaan deep learning iaitu sebahagian daripada kecerdasan buatan (AI) mempercepatkan kebolehan pengimbasan dan pada masa yang sama memproses maklumat yang didapati. Sistem ini memerlukan jumlah maklumat yang banyak untuk menjadikan proses pengecaman menjadi lebih pantas dan tepat.

Sistem ini menjana apa yang dipanggil sebagai “cetakan unik muka” untuk setiap subjek yang diimbas dengan mengukur beberapa ribu “titik nod” termasuk jarak antara mata, lebar hidung dan kedalaman soket mata. Dengan adanya sistem kamera litar tertutup, pelbagai ciri-ciri dapat diproses termasuk tinggi, umur dan warna baju.

Pada peranti  Iphone, kameranya  dapat menganalisa lebih 30,000 titik inframerah dan menghasilkan model tiga dimensi paras muka penggunanya. Ianya direkabentuk agar dapat mengenalpasti perubahan pada paras muka seseorang seperti pemakaian alat solek, pencahayaan yang berbeza, pemakaian topi,  skaf atau kacamata, menurut  Apple.


Klik untuk video

Adakah topeng akan menyebabkan pemakainya tidak dapat dikenali?

Tidak sepenuhnya benar, menurut pakar penyiasat dari China.

Sistem pengecaman yang canggih masih dapat menganalisa bahagian yang terdedah walaupun seseorang memakai topeng muka menurut mereka. Ianya masih dapat menyenaraipendekkan ramai subjek kepada jumlah yang kecil menerusi kaedah pemadanan dan menghasilkan keputusan yang tepat.

Kesimpulan tersebut disokong oleh sekumpulan pengkaji dari Universiti Bradford, United Kingdom. Para pengkaji tersebut pernah menyiarkan satu kertas kerja pada bulan Mei yang mengatakan teknologi pengecaman paras muka boleh mencapai seratus peratus ketepatan walaupun hanya sebahagian sahaja paras muka yang terdedah.

Menurut para pengkaji tersebut sistem pengecaman paras muka yang dilatih hanya untuk mengecam seluruh paras muka ketepatannya akan menurun kepada 40 peratus apabila membuat imbasan dengan muka yang hanya mata dan hidung sahaja yang terdedah. Ketepatan sistem tersebut akan meningkat kepada 90 peratus sekiranya ia juga dilatih untuk mengecam muka sebahagian terdedah dan juga muka dengan mata dan hidung tertutup.


Bagaimana pula kebolehan sistem pengecaman sedia ada di China untuk muka yang sebahagian terdedah?

Walaupun penggunaan teknologi pengecaman paras muka telah berkembang dan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan di China, ketepatan sistem sedia ada hanya dapat mengecam seseorang yang paras muka terdedah seluruhnya.

Ramai pengguna di China dengan rela berkongsi data peribadi mereka (termasuk gambar) kepada perkhidmatan secara talian untuk tujuan kemudahan mendapatkan produk dan servis daripada syarikat-syarikat komersil. Dengan tersedianya maklumat data peribadi yang meluas ini telah membantu meningkatkan lagi kecekapan sistem pengecaman tersebut.

Sehubungan itu, banyak syarikat berkaitan AI di China dapat memfokuskan kajian mereka dengan membuat pengecaman secara sukarela dan pengecaman secara berhadapan dengan seseorang untuk kegunaan  aplikasi yang memerlukan ketepatan tinggi.

Sesetengah pengkaji menjangkakan ketepatan pengecaman paras muka akan menurun sebanyak 70 peratus sekiranya satu perlima paras mukanya tertutup. Sesetengah yang lain pula berkata kadar ketepatan bergantung kepada bahagian mana muka tersebut ditutup.

Pada masa kini, beberapa syarikat AI telah mula menghasilkan perisian pengecaman paras muka yang terlatih untuk mengecam paras muka sebahagian tertutup.


Klik untuk video

Apakah teknologi terkini yang dapat membantu mengecam seseorang yang tertutup sebahagian muka?

Pengecaman Gaya: Syarikat dari China, Watrix telah memperkenalkan perisian yang dapat mengecam seseorang dari jarak 50 meter walaupun mukanya tertutup atau seseorang itu berdiri membelakangi kamera.

Teknologi tersebut dapat menganalisa ribuan ciri-ciri gaya berjalan seseorang yang kemudiannya disimpan sebagai data maklumat dan ciri-ciri tersebut juga termasuk bentuk badan, sudut pergerakan tangan dan gaya berjalan.

Teknik tersebut boleh dibuat tanpa disedari oleh seseorang dan boleh digunakan khusus untuk penjenayah yang mengelak dirinya dilihat oleh kamera litar tertutup atau mengelak muka mereka dibuat imbasan, menurut kata En. Huang Yongzhen iaitu pengasas dan juga merangkap Ketua Eksekutif Watrix.

Pengecaman Suara: Teknologi ini sebenarnya telah lama digunakan dengan meluas khususnya dalam bidang automotif dan perkakasan perumahan pintar. Perisian ini dihasilkan untuk mengenalpasti suara seseorang dan juga menganimasikan katalaluan. Sistem ini sesuai jika digandingkan dengan sistem kamera litar tertutup yang boleh merakam audio untuk analisa lebih terperinci.

Laser Kadar Denyutan Jantung: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat telah menghasilkan satu alat dipanggil Jetson yang dapat mengesan kadar denyutan jantung seseorang dari jarak lebih 200 meter dengan menggunakan laser infra merah, menurut laporan daripada MIT Technology Review.

Pengesan infra merah biasanya digunakan untuk merekod nadi seseorang pesakit secara otomatik menurut laporan tersebut. Ia melibatkan proses mengesan kadar perubahan pada pantulan cahaya infra merah yang disebabkan peredaran darah seseorang. Secara kontrasnya, alat Jetson menggunakan teknik yang dinamakan laser vibrometry yang dapat mengesan pergerakan permukaan kulit manusia disebabkan denyutan jantung.

Pihak Pentagon memberitahu bahawa Jetson mempunyai kadar ketepatan sebanyak 95 peratus di bawah keadaan yang sesuai. Kelemahan sistem ini pula ialah ianya memerlukan rujukan data maklumat denyutan jantung seseorang yang simpanan rekodnya agak terbatas.



(Sumber:  South China Morning Post / The Star)

Catat Ulasan

0 Ulasan