Pengecaman paras muka
telah banyak diaplikasikan di banyak negara oleh penguatkuasa undang-undang dan
pengurusan keselamatan bangunan bagi
mempertingkatkan kawalan dan pengawasan. Tetapi sejauh mana keberkesanannya
untuk mengenalpasti seseorang di bawah keadaan sekeliling yang berbeza-beza?
Ketepatan sistem
pengecaman paras muka telah mendapat tindakbalas yang semakin meruncing di
Amerika Syarikat apabila Oakland dan San Francisco mengharamkan penggunaannya
oleh pihak berkuasa bandaraya, dengan alasan bahawa perisian tersebut boleh
disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Walaupun pengecaman
bergantung kepada beberapa faktor dan akan menjadi sukar dengan pemakaian
topeng muka, sistem pengecaman yang terkini masih dapat membuat pengecaman
terhadap seseoang, menurut beberapa pengkaji yang bekerja di syarikat yang
berkaitan dengan kecerdasan buatan (AI) di China.
Pandangan para
pengkaji tersebut adalah berdasarkan teknik pengawasan yang lebih terperinci
berbanding sistem pengecaman paras muka yang biasa.
Ia termasuk pengecaman sebahagian muka yang terdedah, gaya pergerakan badan dan
beberapa ciri-ciri badan seseorang.
Di China, pengecaman
paras muka digunakan di beberapa bandaraya untuk mengenalpasti dan memalukan
pesalah-pesalah kecil, mengenalpasti penjenayah yang berada di khalayak orang
ramai dan pengesahan identiti penumpang di lapangan terbang. Dengan menggunakan
algotritma yang canggih, syarikat teknologi China dan juga beberapa
syarikat-syarikat besar telah mengadaptasi sistem ini di dalam bidang
penjualan, pelancongan dan juga perbankan.
Di sini diterangkan
secara ringkas bagaimana proses sistem pengecaman paras muka berfungsi, menurut
pengkaji teknologi pengawasan.
![]() |
Pengecaman paras muka di khalayak ramai. |
Bagaimana Kecerdasan
Buatan (AI) berfungsi dalam sistem pengecaman paras muka?
Sistem pengecaman
paras muka melibatkan pengenalpastian seseorang daripada maklumat imej yang
terkumpul termasuk gambar foto dan video. Penggunaan deep learning iaitu sebahagian daripada kecerdasan buatan (AI) mempercepatkan
kebolehan pengimbasan dan pada masa yang sama memproses maklumat yang didapati.
Sistem ini memerlukan jumlah maklumat yang banyak untuk menjadikan proses
pengecaman menjadi lebih pantas dan tepat.
Sistem ini menjana
apa yang dipanggil sebagai “cetakan unik muka” untuk setiap subjek yang diimbas
dengan mengukur beberapa ribu “titik nod” termasuk jarak antara mata, lebar
hidung dan kedalaman soket mata. Dengan adanya sistem kamera litar tertutup, pelbagai
ciri-ciri dapat diproses termasuk tinggi, umur dan warna baju.
Pada peranti Iphone, kameranya dapat menganalisa lebih 30,000 titik
inframerah dan menghasilkan model tiga dimensi paras muka penggunanya. Ianya
direkabentuk agar dapat mengenalpasti perubahan pada paras muka seseorang
seperti pemakaian alat solek, pencahayaan yang berbeza, pemakaian topi, skaf atau kacamata, menurut Apple.
![]() |
Klik untuk video |
Adakah topeng akan
menyebabkan pemakainya tidak dapat dikenali?
Tidak sepenuhnya
benar, menurut pakar penyiasat dari China.
Sistem pengecaman
yang canggih masih dapat menganalisa bahagian yang terdedah walaupun seseorang
memakai topeng muka menurut mereka. Ianya masih dapat menyenaraipendekkan ramai
subjek kepada jumlah yang kecil menerusi kaedah pemadanan dan menghasilkan
keputusan yang tepat.
Kesimpulan tersebut
disokong oleh sekumpulan pengkaji dari Universiti Bradford, United Kingdom. Para
pengkaji tersebut pernah menyiarkan satu kertas kerja pada bulan Mei yang
mengatakan teknologi pengecaman paras muka boleh mencapai seratus peratus
ketepatan walaupun hanya sebahagian sahaja paras muka yang terdedah.
Menurut para pengkaji
tersebut sistem pengecaman paras muka yang dilatih hanya untuk mengecam seluruh
paras muka ketepatannya akan menurun kepada 40 peratus apabila membuat imbasan dengan muka yang hanya mata dan
hidung sahaja yang terdedah. Ketepatan sistem tersebut akan meningkat kepada 90
peratus sekiranya ia juga dilatih untuk mengecam muka sebahagian terdedah dan
juga muka dengan mata dan hidung tertutup.
Bagaimana pula
kebolehan sistem pengecaman sedia ada di China untuk muka yang sebahagian
terdedah?
Walaupun penggunaan teknologi
pengecaman paras muka telah berkembang dan telah menjadi sebahagian daripada
kehidupan di China, ketepatan sistem sedia ada hanya dapat mengecam seseorang
yang paras muka terdedah seluruhnya.
Ramai pengguna di
China dengan rela berkongsi data peribadi mereka (termasuk gambar) kepada
perkhidmatan secara talian untuk tujuan kemudahan mendapatkan produk dan servis
daripada syarikat-syarikat komersil.
Dengan tersedianya maklumat data peribadi yang meluas ini telah membantu meningkatkan
lagi kecekapan sistem pengecaman tersebut.
Sehubungan itu,
banyak syarikat berkaitan AI di China dapat memfokuskan kajian mereka dengan
membuat pengecaman secara sukarela dan pengecaman secara berhadapan dengan
seseorang untuk kegunaan aplikasi yang
memerlukan ketepatan tinggi.
Sesetengah pengkaji
menjangkakan ketepatan pengecaman paras muka akan menurun sebanyak 70 peratus
sekiranya satu perlima paras mukanya tertutup. Sesetengah yang lain pula
berkata kadar ketepatan bergantung kepada bahagian mana muka tersebut ditutup.
Pada masa kini,
beberapa syarikat AI telah mula menghasilkan perisian pengecaman paras muka
yang terlatih untuk mengecam paras muka sebahagian tertutup.
![]() |
Klik untuk video |
Apakah teknologi
terkini yang dapat membantu mengecam seseorang yang tertutup sebahagian muka?
Pengecaman Gaya:
Syarikat dari China, Watrix telah memperkenalkan perisian yang dapat mengecam
seseorang dari jarak 50 meter walaupun mukanya tertutup atau seseorang itu
berdiri membelakangi kamera.
Teknologi tersebut
dapat menganalisa ribuan ciri-ciri gaya berjalan seseorang yang kemudiannya disimpan
sebagai data maklumat dan ciri-ciri tersebut juga termasuk bentuk badan, sudut
pergerakan tangan dan gaya berjalan.
Teknik tersebut boleh
dibuat tanpa disedari oleh seseorang dan boleh digunakan khusus untuk
penjenayah yang mengelak dirinya dilihat oleh kamera litar tertutup atau mengelak
muka mereka dibuat imbasan, menurut kata En. Huang Yongzhen iaitu pengasas dan
juga merangkap Ketua Eksekutif Watrix.
Pengecaman Suara:
Teknologi ini sebenarnya telah lama digunakan dengan meluas khususnya dalam bidang
automotif dan perkakasan perumahan pintar. Perisian ini dihasilkan untuk mengenalpasti
suara seseorang dan juga menganimasikan katalaluan. Sistem ini sesuai jika
digandingkan dengan sistem kamera litar tertutup yang boleh merakam audio untuk
analisa lebih terperinci.
Laser Kadar Denyutan
Jantung: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat telah menghasilkan satu alat dipanggil
Jetson yang dapat mengesan kadar denyutan jantung seseorang dari jarak lebih 200
meter dengan menggunakan laser infra merah, menurut laporan daripada MIT
Technology Review.
Pengesan infra merah biasanya digunakan untuk merekod nadi seseorang pesakit secara
otomatik menurut laporan tersebut. Ia melibatkan proses mengesan kadar perubahan pada pantulan cahaya infra merah yang disebabkan peredaran darah seseorang. Secara
kontrasnya, alat Jetson menggunakan teknik yang dinamakan laser vibrometry yang
dapat mengesan pergerakan permukaan kulit manusia disebabkan denyutan jantung.
Pihak Pentagon memberitahu
bahawa Jetson mempunyai kadar ketepatan sebanyak 95 peratus di bawah keadaan
yang sesuai. Kelemahan sistem ini pula ialah ianya memerlukan rujukan data maklumat denyutan jantung seseorang yang
simpanan rekodnya agak terbatas.
(Sumber: South China Morning Post / The Star)
0 Ulasan