Lamanfo.com

Laman Informasi

TAHUKAH ANDA SYARIKAT BOLEH MENDAPAT PELEPASAN CUKAI MELALUI BANTUAN KEPADA GOLONGAN KHUSUS DAN BAYARAN PTPTN?


Secara umumnya semua orang tahu bahawa setiap pekerja dan majikan dikenakan cukai pendapatan tahunan oleh kerajaan mengikut kelayakan masing-masing. 

Tetapi mungkin ramai juga yang masih belum tahu bahawa syarikat atau majikan yang membayar gaji pekerja pada setiap bulan juga kini boleh mendapatkan pelepasan/pengecualian cukai dari kerajaan.


Sebagai pemilik syarikat, insentif ini sangat berguna untuk mereka tetapi pemilik syarikat juga  wajib tahu apakah cara dan syarat yang diperlukan untuk menikmati insentif ini.


Berikut ialah tiga jenis pelepasan yang boleh dinikmati oleh sesebuah syarikat disamping membantu golongan yang memerlukan bantuan:

1. Majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada individu Orang Kurang Upaya (OKU)

Bermula pada tahun 2016, bagi majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 50,000 Orang Kurang Upaya (OKU) akal, akan diberikan pelepasan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak dua kali ganda.

Bukan setakat itu sahaja, Pengarah Standard Perburuhan, Kementerian Sumber Manusia iaitu Wan Zulkifli Wan Setapa, berkata majikan akan turut diberikan pelepasan cukai 1/10 daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan menyediakan kemudahan seperti tandas dan bangunan mesra OKU setiap 10 tahun.

2. Insentif cukai akan diberikan kepada syarikat korporat yang mengambil bekas banduan sebagai kakitangan.

Kerajaan juga turut memberikan insentif cukai kepada syarikat-syarikat yang mengambil bekas banduan dan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas akan diberikan pelepasan cukai. Tawaran itu adalah untuk kakitangan yang gaji bulanannya tidak melebihi RM4,000.

Sementara itu, pesara yang layak juga akan turut menerima bantuan tahunan sebanyak RM500. Dasar itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan di bawah Bajet 2019. 

Kenyataan tersebut telah dikeluarkan sendiri oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Bajet 2019.

Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata peluang kedua yang diberikan kepada bekas banduan misalnya, dilihat mampu menangani masalah jenayah berulang melibatkan golongan itu.

“Sebelum ini, masyarakat terutamanya majikan agak skeptikal dengan mereka yang bergelar bekas banduan sehinggakan mereka (bekas banduan) tiada peluang untuk mendapatkan pekerjaan.

“Ini menyebabkan golongan ini kembali melakukan aktiviti jenayah…tetapi dengan apa yang diumumkan hari ini, mereka seperti diberikan ‘nafas’ baharu untuk memulakan kehidupan,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat semalam.

Bagi menggalakkan syarikat menggaji warga emas berumur 60 tahun ke atas atau bekas banduan sebagai pekerja sepenuh masa, kerajaan dalam Belanjawan 2019 mencadangkan potongan tambahan diberi kepada syarikat yang menggaji pekerja dalam kategori tersebut.

Langkah itu yang dicadang dikuatkuasakan mulai tahun taksiran 2019 hingga 2020 adalah bagi penggajian pekerja dalam kategori tersebut yang menerima saraan bulanan tidak melebihi RM4,000.

Mengulas lanjut, Lee berkata inisiatif itu akan mengurangkan sikap kebergantungan negara kepada khidmat pekerja asing.





3. Majikan atau syarikat boleh mendapatkan pelepasan cukai dengan bantu bayar hutang PTPTN kakitangan mereka. 

Untuk pengetahuan anda, semua majikan (merujuk kepada pembayar cukai yang mempunyai perniagaan berdaftar termasuklah perniagaan tunggal) yang menjalankan perniagaan dan membayar cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 layak untuk menikmati insentif pelepasan cukai ini.

Syarat-syaratnya seperti di bawah:


1. Majikan perlu membuat bayaran hutang PTPTN bagi pihak kakitangan.

2. Taraf pekerjaan adalah Sepenuh Masa.
3. Kakitangan tidak boleh dikenakan apa-apa bayaran sebagai balasan kepada pembayaran hutang PTPTN yang telah dijelaskan oleh pihak majikan.

Namun begitu, tahukah anda bahawa tiada amaun minimum atau maksimum bayaran balik hutang PTPTN yang diperlukan untuk syarikat atau majikan menikmati insentif ini.

Majikan layak untuk menikmati potongan cukai ke atas apa-apa jumlah bayaran balik yang telah dijelaskan oleh majikan. Sama ada bayaran ansuran setiap bulan atau penyelesaian penuh dalam tempoh 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2019 ini.

Untuk bukti penyelesaian hutang atau bayaran balik selepas dibuat, majikan boleh mengeluarkan sendiri resit yang telah dicetak sebaik sahaja selesai bayaran telah dibuat melalui portal rasmi PTPTN. Malah, PTPTN akan turut mengeluarkan penyata bayaran hutang PTPTN pada awal tahun 2020 nanti.

Soalan:

"Saya business sendiri dan merupakan majikan kepada perniagaan sendiri. Adakah saya layak untuk dapat insentif ini?"

Jawapannya, tidak layak.

Kerana insentif ini hanya diberikan kepada majikan yang membantu kakitangan untuk membuat bayaran balik hutang PTPTN mereka. Selain itu, antara kategori kakitangan lain yang tidak layak untuk menerima insentif ini adalah majikan yang merupakan pasangan, anak, cucu dan adik-beradik sendiri.

(Sumber: Says.com dan portal rasmi PTPTN)

Catat Ulasan

0 Ulasan