Lamanfo.com

Laman Informasi

ANIMASI PENDEK TEMPATAN 'BATIK GIRL' TERIMA PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA



Filem animasi tempatan bertajuk Batik Girl telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila ia telah ditayangkan di 26 festival filem di 17 negara terpilih di seluruh dunia.

Pengarah dan rakan kongsi The R&D Studio, Irwan Junaidy memberitahu bahawa proses pembikinan Batik Girl mengambil masa selama 12 bulan melibatkan pembangunan cerita dan proses penganimasian, sebelum ia mula dihantar ke festival filem pada Julai 2018.

Susulan kejayaan tersebut, beliau memaklumkan filem berdurasi sembilan minit itu bakal dikembangkan ke skala yang lebih besar.

“Kami percaya dengan sokongan yang sesuai, Batik Girl dapat diperkembangkan dalam format lain."

Batik Girl turut berjaya memenangi beberapa anugerah termasuk anugerah Filem Animasi Pendek terbaik Festival de Largos y Cortos de Santiago di Chile dan anugerah Honorable Mention in Audience Favourite di Florida.

“Kami bertuah kerana menerima Geran Cabaran Pereka Harta Intelek (IPCC) yang dianjurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada Ogos 2017.

“Melalui program ini, kami mendapat tunjuk ajar daripada mentor-mentor yang berjaya dalam industri. Geran ini membolehkan kami untuk bekerjasama dengan studio animasi lain, serta para penggubah muzik,” ujarnya.

Batik Girl mengetengahkan hubungan erat antara cucu dan neneknya, yang nyata berjaya menyentuh hati penonton di seluruh dunia.

Mengulas mengenai idea, penulisnya, Heidi Shamsuddin berkata ia tercetus ketika beliau dan Irwan menyertai Pesta Buku Kanak-Kanak di Bologna, Itali pada 2017.

“Ketika itu, kami ingin menghasilkan sebuah buku bergambar tanpa perkataan yang menampakkan ciri-ciri Malaysia.

“Pada masa yang sama, ramai orang tertarik dengan alas meja yang digunakan di Malaysian Pavilion. Saya amat meminati seni batik, dan ingin meneroka kisah atau naratif di sebalik simbol-simbol dan corak seni batik,” jelasnya.

Katanya, kekuatan utama Batik Girl dapat dilihat pada perincian animasi dalam kedua-dua babak dunia nyata dan dunia batik, selain jalan cerita yang sederhana, namun mampu menyentuh hati para penonton di seluruh dunia.

Batik Girl mengisahkan tentang seorang kanak-kanak perempuan bernama Mas yang terpaksa mengharungi kehidupan selepas berdepan tragedi kehilangan ibu bapa.

Pengembaraan yang dilalui oleh Mas di dunia batik menunjukkan perasaan sedih, marah, takut, dan ditinggalkan oleh ibu bapanya, di mana kanak-kanak perempuan itu kemudian dapat merasa perasaan sayang dan mula menerima nasibnya.

“Dalam “Batik Girl”, kami memilih untuk memberi tumpuan kepada hubungan di antara seorang nenek dan cucu perempuannya, kerana ia merupakan satu emosi asas yang dapat difahami oleh orang ramai.

“Walaubagaimanapun, filem pendek ini menceritakan tentang kesedihan dalam kehilangan orang tersayang.

“Akhirnya, Mas keluar dari pengembaraan itu menjadi seorang yang lebih kuat dengan bimbingan neneknya,” kata Heidi.


Sumber: Astro Awani

Catat Ulasan

0 Ulasan