BADAK SUMBU SUMATERA PUPUS DI MALAYSIA.

Lamanfo.com

Laman Informasi

BADAK SUMBU SUMATERA PUPUS DI MALAYSIA.



Kota Kinabalu: Badak sumbu Sumatera terakhir di Malaysia pupus selepas ‘Iman’ disahkan mati pada usia 25 tahun, jam 5.35 petang tadi di Santuari Badak Borneo, Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, di Lahad Datu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata, kematian Iman adalah secara alami dan dikategorikan sebagai mati mengejut.

“Walaupun kami tahu ia akan berlaku namun tidak menyangka berlaku dengan begini cepat dan kami sangat sedih dengan berita ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, petang tadi.

Christina berkata, Iman diberi penjagaan dan perhatian yang terbaik sejak Mac 2014 sehingga ia sembuh. Iman sebenarnya hampir mati apabila beberapa kali kehilangan banyak darah akibat ketumbuhan atau tumor pada uterusnya beberapa tahun lalu.

“Pasukan di Tabin memberikan sokongan sepenuhnya dan berjaya memulihkan tahap kesihatannya dan menghasilkan sel telur,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata kematian Iman berlaku lebih awal daripada yang dijangkakan.

“Tetapi kami tahu Iman mula mengalami kesakitan akibat tekanan yang semakin bertambah pada tumor di pundi kencingnya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Iman semakin tenat dan menyebabkan proses pengambilan telur untuk pembiakan secara in-vitro (IVF) sukar dilakukan.


FAKTA ASAS BADAK SUMATERA


Badak tergolong di dalam Order Perissodactyla dan famili Rhinocerotidae. Terdapat dua subfamili badak iaitu yang mempunyai satu sumbu dan yang mempunyai dua sumbu. Lima spesies badak yang ditemui iaitu Badak Hitam Diceros bicornis, Badak Putih Ceratotherium simum di Afrika, Badak Sumatera Dicerorhinus sumatrensis, Badak
India Rhinoceros unicornis dan Badak Raya
Rhinoceros sondaicus di Asia. 

Perkataan rhinoceros bermaksud ‘hidung yang mempunyai tanduk’. Ini amat bersesuaian memandangkan hanya spesies badak yang mempunyai sumbu di atas hidungnya.

Badak Sumatera amat jarang ditemui di dunia dan diancam kepupusan di seluruh kawasan taburannya. Pada masa dahulu, badak boleh ditemui di Asia Tenggara tetapi kini ianya terhad dalam populasi yang kecil dan terpencil di Malaysia, Thailand, selatan Myanmar, Kemboja atau Vietnam. 

Di Semenanjung Malaysia, taburan Badak Sumatera terhad kepada beberapa buah negeri sahaja iaitu Kedah, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan. 


Spesies ini boleh ditemui di hutan tanah pamah sehingga ke hutan gunung dan kebiasaannya pada ketinggian 1000m dari aras laut. Pada tahun 1990an, Badak Sumatera boleh ditemui di seluruh Semenanjung Malaysia walaupun populasinya ketika itu tidak dapat ditentukan. Pada tahun 2009, populasi spesies ini dianggarkan kurang daripada 70 ekor. 

Bagaimanapun masih terdapat beberapa kawasan yang belum ditinjau contohnya Banjaran Titiwangsa yang mempunyai keluasan melebihi 12,000 km persegi. Taburan dan Populasi Badak Sumatera atau lebih dikenali sebagai Badak Sumatra adalah yang terkecil jika dibandingkan dengan lain-lain spesies badak.

Ia mempunyai purata berat badan di antara
600 hingga 800 kilogram dengan ketinggian
sehingga 1.5 meter. Kulitnya yang menyerupai perisai berlipat berwarna perang kekelabuan diliputi oleh bulu berwarna perang kemerahan. Bentuk badannya kelihatan tegap tetapi rendah dan kaki menyerupai tiang yang kukuh. Ia mempunyai 2 sumbu di atas bahagian hidung dengan sumbu hadapan lebih panjang daripada belakang. Kebiasaannya sumbu badak jantan lebih besar daripada yang betina. Bibir atasnya seakan menyerupai cangkuk.

Berkubang merupakan aktiviti utama Badak Sumatera Spesies ini pada kebiasaannya bersendirian kecuali dalam musim mengawan. Ia melahirkan seekor anak pada setiap kelahiran.

Kelebihan spesies ini ialah dapat bergerak pada cerun yang curam. Berkubang merupakan kegemarannya. Spesies ini biasanya memakan daun, pucuk, akar dan kulit pokok kayu serta buah-buahan hutan
yang jatuh ke tanah.


Sumber: Berita Harian, Perhilitan

Post a comment

0 Comments