BENARKAH 15 RAMADAN PADA HARI JUMAAT TAHUN 2020 AKAN TERJADI BENCANA?

Lamanfo.com

Laman Informasi

BENARKAH 15 RAMADAN PADA HARI JUMAAT TAHUN 2020 AKAN TERJADI BENCANA?



Persoalan ini timbul sejak kebelakangan ini apabila didapati pertengahan Ramadan pada tahun 2020 akan terkena pada hari Jumaat iaitu pada 8 May 2020. Dikatakan pada hari tersebut akan terjadinya dukhan yang disebabkan oleh perlanggaran meteor ke bumi. 

Hadith atau riwayatnya boleh ditemui di dalam kitab al-Fitan oleh Nu’aim bin Hammad, Kanz al-‘Ummal oleh al-Muntaqa al-Hindi, al-Mu’jam al-Kabir oleh Imam al-Thabarani dan juga di dalam al-Mustadrak oleh Imam al-Hakim.

يَكُونُ فِي رَمَضَانَ صَوْتٌ، وَفِي شَوَّالٍ مَهْمَهَةٌ

Maksudnya: “Bila telah muncul suara di bulan Ramadhan, maka akan terjadi huru-hara di bulan Syawal.” [Lihat: al-Fitan oleh 
Nu’aim bin Hammad, 226/1]

Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

يَكُونُ فِي رَمَضَانَ صَوْتٌ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ فِي أَوَّلِهِ أَو فِي وَسَطِهِ أَو فِي آخِرِهِ؟ قَالَ: لَا، بَلْ فِي النِّصْفِ مِنْ رَمَضَانَ، إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ يَكُونُ صَوْتٌ مِنَ السَّمَاءِ

Maksudnya: “Akan berlaku di bulan Ramadhan satu suara. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah SAW pada awal, pertengahan atau di akhir Ramadhan?. Rasulullah SAW menjawab: Tidak, bahkan di pertengahan Ramadhan apabila malam pertengahan tersebut jatuh malam Jumaat maka akan muncul suara dari langit.” [Lihat: al-Mu’jam al-Kabir, 332/18] [Imam al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid, 310/7 menilai salah seorang perawi di dalam riwayat ini iaitu Abd al-Wahab bin al-Dhahhak adalah seorang yang matruk (riwayatnya ditinggalkan)]


Hukum Hadith

Antara ulama’ yang memberi komentar berkaitan hadith adalah:

Imam al-Uqailiy mengatakan hadith ini bukanlah daripada kalangan perawi thiqah dan bukannya juga daripada sumber dipercayai. Antaranya Abd al-Wahid bin Sulaim dan dia merupakan seorang perawi yang majhul dan hadithnya tidak dihafal dengan baik serta riwayatnya tidak boleh dijadikan sokongan (pada hadith-hadith yang lain). [Lihat: al-Dhu’afa’ al-Kabir, 208/5]

Al-Hakim berkata hadith ganjil pada matannya dan seorang perawi bernama Maslamah yang tidak dibolehkan dijadikan hujah. [Lihat: al-Mustadrak, 563/4]

Imam Ibn al-Jauzi mengatakan hadith ini adalah palsu daripada Nabi SAW. [Lihat: al-Mawdhu’at, 190/3]

Imam Ibn al-Qayyim menukilkan hadith ini dan meletakkan hadith ini di dalam bab hadith-hadith masa depan yang tidak sahih. [Lihat: al-Manar al-Munif, 91]


Adapun berkaitan riwayat-riwayat Nu’aim bin Hammad, di sini kami sertakan pendapat Imam al-Zahabi terhadap beliau dan terhadap kitabnya al-Fitan:


لاَ يَجُوْزُ لأَحَدٍ أَنْ يَحْتَجَّ بِهِ، وَقَدْ صَنَّفَ كِتَابَ (الفِتَنِ)، فَأَتَى فِيْهِ بِعَجَائِبَ وَمَنَاكِيْرَ

Maksudnya: “Tidak boleh bagi sesiapa pun berhujah dengannya dan dia telah menyusun kitab al-Fitan dengan menyebutkan di dalamnya keanehan-keanehan serta kemungkaran-kemungkaran.” [Lihat: Siyar ‘alam al-Nubala’, 117/20]


Melihat kepada beberapa pandangan ulama’ di atas, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith berkaitan suara di bulan Ramadhan adalah tidak sahih (palsu) dan kita sama sekali tidak dibenarkan menyandarkan kepada Rasulullah SAW serta menyebarkannya kepada orang lain melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya.



Penutup

Kesimpulannya, status hadith tersebut termasuk dalam kategori yang teramat dha’if (dha’if jiddan). Syawahid yang ada juga dalam kategori yang sama sehingga ia tidak boleh menguatkan sanad hadith tersebut. 

Oleh yang demikian, hadith seumpama ini tidak boleh dijadikan hujah apatah lagi sebagai sandaran dalam membahaskan perkara ghaib. Ini kerana, persoalan apa yang berlaku pada masa hadapan termasuk dalam perkara ghaibiyyat yang tidak diketahui kecuali menerusi nas-nas wahyu yang sahih. 

Oleh yang demikian, kami menasihatkan agar hadith seumpama ini tidak disebarkan ke tengah-tengah masyarakat kecuali bagi tujuan memberikan penjelasan oleh mereka yang berkeahlian. 

Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara lidah-lidah kita daripada menyampaikan dan menyebarkan hadith-hadith yang tidak sahih. Amin.


Sumber: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Google Image. 

Post a comment

0 Comments