Lamanfo.com

Laman Informasi

EHANG 216: KERETA TERBANG MALAYSIA YANG PERTAMA?




Kereta terbang Malaysia yang pertama akan mula terbang pada Khamis. Ia bukanlah model Vector yang dilaporkan buatan syarikat tempatan Aerodyne Group. Laporan daripada akhbar ianya merupakan model buatan asing iaitu Ehang 216, sebuah dron penumpang dihasilkan oleh syarikat China Beijing Yi-Hang Creation Science & Technology Co.


Menurut laporan, kenderaan tersebut yang akan dikenali sebagai Super Dron, adalah projek usahasama di antara syarikat tempatan EastCap dan dua syarikat China iaitu EHang Intelligent Equipment (Guangzhou) dan Strong Rich Holdings. Usahasama yang strategik ini melibatkan pengurusan pemasaran, operasi dan senggeraan kepada Super Dron tersebut. 


Awal minggu ini, adalah dilaporkan bahawa Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof akan menaikinya bersama seorang juruterbang pada Khamis ini di Subang. 



EHang 216 merupakan sebuah dron penumpang dengan lapan batang kaki yang setiapnya terpasang dua motor untuk kipas menjadikannya 16 kipas kesemuanya. Dron ini seberat 360kg dengan ciri-ciri struktur aero yang dapat memuatkan dua penumpang dengan had muatan 260kg. Maklumat dari internet menunjukkan kelajuannya 130km sejam dan jarak penerbangan kira-kira sejauh 35km.


Adalah dilaporkan bahawa syarikat Eastcap yang terlibat dalam industri perladangan telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Rumah Koperasi Indonesia (RKI) untuk pembelian 1000 unit Super Dron khususnya untuk kegunaan pemetaan dan penyembur racun. 


Syarikat berkenaan telah menyatakan bahawa pengenalan Super Dron di negara ini bukan bermaksud untuk kegunaan pengangkutan awam tetapi lebih kepada pengawasan sempadan oleh penguatkuasa dan sebagai bantuan kecemasan. Eastcap juga memberitahu bahawa mereka menyasarkan untuk menghasilkan fasiliti pemasangan dron tersebut di Malaysia dengan kapasiti 10,000 unit setahun. 


Bulan lepas, Redzuan mengatakan kenderaan terbang yang kedua sedang dalam pembinaan dan ianya akan digunakan untuk teknologi yang lain dan dijangka akan mula terbang pada suku kedua tahun 2020.




Ianya berkemungkinan dari model Vector, kenderaan seperti dron yang akan dihasilkan oleh syraikat tempatan Malaysia, Aerodyne Group dengan kerjasama syarikat dari Jepun.


Vector dilaporkan menggunakan empat motor dan satu bateri Lithium. Dengan berat 600kg dan had muatan sehingga 200kg. Kenderaan ini berupaya terbang setinggi 50 meter dari aras tanah dengan kelajuan 60km sejam dan dengan masa penerbangan dari 30 hingga 90 minit.

Maklumat terkini bahawa PIhak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak ada memberikan kebenaran untuk terbang pada Khamis yang dijangka akan dibuat di hangar Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT), Subang. 


Sumber: Berita Harian, Awani, Youtube

Catat Ulasan

0 Ulasan