UNTUNG BERSIH SEMBILAN BULAN TNB RM3. 86 BILLION

Lamanfo.com

Laman Informasi

UNTUNG BERSIH SEMBILAN BULAN TNB RM3. 86 BILLION




KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) meraih pendapatan lebih tinggi sebanyak RM38.76 bilion untuk tempoh sembilan bulan pertama bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2019.

Ia meningkat sebanyak 2.4 peratus daripada RM37.85 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama, tahun lalu.

Bagi tempoh dikaji, kumpulan juga merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM3.86 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata TNB telah mencatatkan prestasi mampan tahun ke tahun, dipacu oleh fokus syarikat untuk mendapatkan pulangan bagi perniagaan teras serta portfolio pelaburan antarabangsa kumpulan.

“Ketika kami melaksanakan perancangan perniagaan strategik dan inisiatif transformasi yang bergerak seiring untuk merealisasikan matlamat perancangan pada 2025, adalah penting untuk mengekalkan fokus ini bagi memastikan kecemerlangan operasi dan penambahbaikan berterusan terhadap kadar kecekapan kami,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kenyataan sama, TNB berkata, pencapaian syarikat didorong oleh peningkatan jualan elektrik yang lebih tinggi, prestasi kukuh syarikat bersekutu, pertambahan pendapatan daripada operasi lain dalam tempoh berkenaan, serta pengurangan rosot nilai yang dicatatkan pada 9 bulan tersebut.

Jumlah jualan elektrik Kumpulan pada 9 bulan TK2019 meningkat 4.2 peratus kepada RM36.93 bilion berbanding RM35.43 bilion pada 2018.

Dari segi Gigawatt jam (GWh), jualan elektrik meningkat 3.4 peratus kepada 92,832.4 GWh, sejajar dengan pertumbuhan permintaan di Semenanjung Malaysia sebanyak 3.2 peratus untuk tempoh sama.

Prestasi syarikat bersekutu TNB terus berkembang pada 9 bulan TK2019, dengan sumbangan positif RM93.1 juta berbanding kerugian RM183.9 juta untuk tempoh sebelumnya.

Mengulas mengenai pelaburan antarabangsa TNB, Amir Hamzah berkata, portfolio TNB di United Kingdom (UK) menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada yang dijangkakan, sementara pelaburan di Turki menunjukkan tanda-tanda positif selepas dilakukan  langkah-langkah pemulihan.

TNB memiliki dua syarikat tenaga boleh diperbaharui di UK iaitu Vortex Solar (50 peratus pegangan) dan Tenaga Wind Ventures (80 peratus pegangan), serta memiliki 30 peratus pegangan ekuiti dalam GAMA Enerji di Turki.

Mengulas lanjut, katanya, TNB akan bersandarkan kepada aset syarikat di UK serta pengalaman dalam pasaran untuk meningkatkan portfolio tenaga boleh diperbaharui menjelang 2021, melalui pemerolehan projek-projek baru dan pengambilalihan projek sedia ada.



Sumber: Berita Harian, Youtube


Post a comment

0 Comments