MUSIM cuti sekolah telah tiba dan semestinya anda akan menerima banyak undangan ke majlis perkahwinan, tidak kira dalam kalangan ahli keluarga mahupun sahabat handai.
Oleh itu mari kita kongsikan 9 adab semasa menghadiri majlis kahwin:
1. Memenuhi undangan
Apabila kita dijemput untuk menghadiri ke sesuatu majlis contohnya majlis kahwin, sewajarnya kita penuhi jemputan tersebut. Sekiranya tiada halangan atau perkara penting yang lain untuk dilakukan maka hadirlah bagi memenuhi jemputan tersebut.
Sekiranya kita tidak dapat memenuhi jemputannya maka maklumkanlah seawal yang boleh kepada tuan rumah yang menjemput kita.
Tuan rumah telah berpenat lelah membuat persiapan dan sewajarnya kita perlu menghargainya disamping kita dapat mengeratkan hubungan sesama tetamu yang lain.
2. Berjumpa dengan tuan rumah
Pertama sekali apabila tiba di majlis tersebut, kita sebaiknya berjumpa dahulu dengan tuan rumah. Bermesra, tanyakan khabar berita serta ucapkan tahniah!
Elakkan dari terus mengambil tempat untuk menjamu selera kerana perbuatan itu tidak sopan dan tidak menghormati tuan rumah.
3. Pakaian sopan
Pakailah pakaian yang bersesuaian dengan majlis dan tidak menjolok mata khususnya bagi wanita agar dapat menghormati majlis tersebut.
Bagi lelaki sewajarnya berpakaian kemas dan memakai kasut dan tidak memakai selipar agar tuan rumah rasa dihargai tidak kira berapa besar dan di mana majlis tersebut diadakan.
4. Ikhlas
Setiap tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan wajib berniat ikhlas untuk hadir meraikan pengantin dan memuliakan tuan rumah, bukan secara paksa atau sekadar untuk memenuhkan perut yang lapar.
5. Mendoakan pengantin.
Mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan ke atas pengantin sangat dituntut. Bukan sahaja sekadar ucapkan tahniah, malah mendoakan perkahwinan yang dibina semoga kekal berpanjangan juga mampu menggembirakan hati pengantin.
6. Jaga percakapan.
Sering diingati agar hindari diri daripada mengucapkan kata-kata yang tidak baik ketika berada di majlis berkenaan. Ini bagi menjaga hati tuan rumah.
Misalnya, jika majlis perkahwinan tersebut dibuat sekadar ala kadar atau simple, jangan pula anda mengutuk atau membanding-bandingkan majlis itu dengan suasana keraian orang lain. Jagalah tingkah laku dan adab kita.
7. Makan tanpa berlengah.
Jangan berlengah-lengah ketika makan kerana pada waktu kemuncak majlis selalunya ramai tetamu yang datang. Jadi jika anda sudah selesai menjamu selera, segeralah beralih dan memberi tempat duduk supaya tetamu lain dapat menjamu selera.
8. Jangan membazir.
Seeloknya janganlah membazir walaupun majlis tersebut menyediakan pelbagai pilihan makanan tetapi sebagai tetamu anda perlulah mengambil makanan mengikut keperluan bukan mengikut nafsu!
Ini kerana, sesungguhnya membazir itu adalah sebahagian daripada sifat syaitan.
9. Angpau atau 'salam kaut'
Sekiranya kita tak dapat memberikan hadiah berbentuk benda adalah lebih baik kita menghadiahkan sedikit wang kepada pengantin.
Janganlah dirisaukan berapa jumlah yang sesuai diberikan cukup sekadar yang termampu serta ikhlas. Pemberian anda mungkin dapat meringankan beban pengantin yang banyak mengeluarkan belanja majlis perkahwinan tersebut.
Sumber: Mstar dan penulis sendiri
0 Ulasan