ANCAMAN KESELAMATAN SIBER PADA TAHUN 2020.

Lamanfo.com

Laman Informasi

ANCAMAN KESELAMATAN SIBER PADA TAHUN 2020.


Kepintaran Buatan atau Artificial Inteliigence (AI) akan menjadi peralatan utama yang akan menjadi ancaman keselamatan siber pada tahun 2020 menurut pakar bidang tersebut.

Peralatan dan pengetahuan untuk membina AI dan kod pembelajaran mesin yang berniat jahat akan menjadi trend utama dengan data yang banyak di luar sana menurut Etay Maor, Ketua Keselamatan di syarikat keselamatan siber IntSights.

"Kita akan melihat penggunaan AI sebagai alat untuk serangan yang disasarkan dan juga serangan secara automatik," kata Maor.

Idea mengenai program komputer yang boleh belajar untuk menyerang dengan sendirinya dan mengembangkan pengetahuannya untuk menjadi lebih sofistikated amatlah menakutkan. Oleh yang demikian, ianya perlu diambil perhatian memandangkan ancaman siber telah berkembang sejak beberapa tahun  ini dan dilihat sebagai risiko besar dalam ekonomi dunia.

Pada masa dahulu, gangguan kepada laman web dan mencuri informasi kad kredit dilihat sebagai serangan siber yang utama. Walau bagaimanapun, serangan tersebut agak mahal oleh kerana penyerang memerlukan banyak masa dan keperluan lain untuk dilaksanakan. Namun dengan teknologi AI, penyerang kini boleh melaksanakan beberapa serangan secara berulangkali terhadap sesuatu rangkaian hanya dengan beberapa garis kod pemprograman. 



Ancaman Deepfakes

Berkaitan dengan AI ialah juga peningkatan dalam penyebaran informasi palsu dan juga deepfakes, khususnya tahun 2020 merupakan tahun pilihanraya Amerika Syarikat, menurut Maor.

Deepfakes ialah imej dan video dibuat menggunakan komputer dan perisian khas untuk menjadikannya seperti benar walaupun ianya palsu. Pakar menjangkakan teknologi ini boleh digunakan untuk menimbulkan kekeliruan dan penyebaran maklumat palsu terutama dalam konteks politik dunia dan ianya amat sukar untuk dikesan.

"Ini akan lebih sukar untuk diperangi dalam perkembangan teknologi dan dengan infrastruktur kini yang mudah diakses oleh penyerang," kata Maor.

Pakar keselamatan yang lain bersetuju. Dalam sebuah blog bulan Oktober, Pengetua Penganalisa Forrester, Jeff Pollard menulis bahawa kos berkaitan penipuan deepfakes akan bertambah 250 juta dollar AS pada tahun 2020. Laporan media turut melaporkan bahawa beberapa syarikat telah ditipu dengan memberikan sejumlah wang yang banyak.

"Memandangkan teknologi deepfakes telah menunjukkan kelebihan dari segi ekonomi, kita boleh menjangkakan perkembangan serangan berkaitan deepfakes dengan pemalsuan audio dan video yang lebih meyakinkan dengan kos yang rendah." menurut Pollard.

Syarikat keselamatan siber, Forcepoint menjangkakan penjenayah siber boleh menggunakan teknologi deepfakes untuk menghasilkan foto dan video palsu mengenai seseorang individu dan mengancam untuk menyiarkannya sekiranya bayaran pampasan tidak dibayar.

"Pada tahap organisasi, deepfakes boleh juga digunakan untuk menggambarkan sasaran yang berprofil tinggi untuk menipu pekerjanya dengan membuat transaksi ke dalam akaun penjenayah," menurut Alvin Ridrigues, Pengarah Kanan dan Pakar Strategi Keselamatan Asia Pasifik di Forcepoint.

"Dalam arena politik pula, kita boleh menjangkakan deepfakes digunakan untuk menjatuhkan calon pilihanraya dan menyiarkan berita palsu kepada pengundi melalui laman sosial," tambahnya lagi.



Berhubung dengan deepfakes, firma Keselamatan Siber, Check Point memberitahu bahawa perang dingin di antara kuasa Barat dan Timur telah terjadi disebabkan peningkatan penyelewengan dalam teknologi dan maklumat perisikan.

"Serangan siber akan digunakan secara kerap sebagai proxy dalam konflik di antara negara-negara kecil, dibiayai dan membolehkan negara besar meluaskan pengaruh mereka," kata syarikat tersebut dalam blog mereka. Ianya merujuk kepada negara AS yang telah membuat operasi rahsia siber terhadap negara Iran selepas negara tersebut menyerang fasiliti minyak Arab Saudi.


Ancaman yang lain.

Disebalik AI dan deepfakes, terdapat beberapa lagi ancaman yang pakar keselamatan jangkakan pada tahun 2020:

Serangan terhadap rantaian bekalan dan pihak ketiga - Maor dari IntSight berkata syarikat besar melabur banyak dalam pencegahan keselamatan siber dan ini menyebabkan penyerang akan memfokuskan serangan mereka pada sasaran yang senang, kecil dan yang kurang belanjawan untuk keselamatan khususnya firma yang membekal organisasi besar. 

Beliau menjangkakan bahawa serangan sebegini kemungkinan besar akan berlaku pada bidang kesihatan, automotif dan penyiaran. "Ini merupakan satu kebimbangan kerana syarikat besar tidak dapat mengawal tahap keselamatan vendor-vendornya," katanya lagi.



5G akan memudahkan lagi pencurian maklumat - Rodrigues daripada Forcepoint memberitahu media akhbar bahawa generasi terbaru internet berkelajuan tinggi dikenali sebagai 5G akan  memudahkan penjenayah siber untuk memindahkan maklumat dengan jumlah besar dari satu server ke server lain dengan pantas. "Dengan penggunaan 5G pada tahun 2020, kita boleh menjangkakan peningkatan jumlah dan kepantasan dalam pencurian maklumat." katanya.

Serangan pada infrastruktur yang kritikal akan meningkat - Penjenayah menyerang infrastruktur utiliti yang kritikal akan berterusan pada tahun depan sebagaimana yang dijangkakan oleh Check Point dalam blog mereka. "Dalam banyak kes, infrastruktur pembahagian kuasa letrik dan air masih menggunakan teknologi lama dan ianya terdedah kepada ancaman eksploitasi disebabkan kerja-kerja peningkatan keselamatannya melibatkan gangguan bekalan dan penutupan bekalan," menurut firma tersebut.

Geopolitik mendorong kepada pengintipan siber dan peperangan - Syarikat keselamatan siber, FireEye berkata pada laporan jangkaan 2020 mereka bahawa ketegangan geopolitik selalunya mendorong kepada pencerobohan dan peperangan. Ini dilihat dengan operasi yang melibatkan negara-negara seperti Rusia, China, Iran dan Venezuela. "Walaupun cerita-cerita kelihatan berkisar mengenai sesuatu pilihanraya, aktiviti perisikan kelihatan banyak terjadi pada masa-masa tersebut," menurut syarikat tersebut dengan merujuk kepada pilihanraya yang bakal yerjadi pada tahun 2020 di Taiwan, Korea Selatan, Perancis, Poland dan Amerika Syarikat.


Sumber: CNBC

Lihat juga: DEEPFAKES FITNAH YANG TERKINI

                         APA ITU 5G?

Post a comment

0 Comments