BERMINAT MENJADI JURUTERBANG?

Lamanfo.com

Laman Informasi

BERMINAT MENJADI JURUTERBANG?




Kepada anda yang berminat untuk mencuba menjadi juruterbang boleh berkunjung ke pusat simulator penerbangan, Sky Simulator (M) Sdn Bhd, terletak di pusat beli-belah eCurve, Mutiara Damansara.

Pengalaman yang ditawarkan ialah bagaimana mengendalikan kapal terbang Boeing 737-800NG dalam pelepasan (take-off) dan mendarat (landing) secara simulator dalam kokpit.

Pusat simulator tersebut menggunakan teknologi skrin tiga dimensi (3D) untuk memperoleh situasi sebenar pesawat berlepas, terbang dan ketika mendarat.


Tiada gerakan atau gegaran dirasai, sebaliknya pengunjung boleh mendengar bunyi enjin pesawat dan komunikasi antara juruterbang dengan pengendali pusat kawalan trafik udara.

Jurulatih penerbangan, Mohamaad Zulhilmi Jailani, berkata sebelum mengendalikan simulator berkenaan, bakal juruterbang mahupun pengunjung yang bercita-cita menjadi ‘juruterbang segera’ perlu menyelaras bacaan yang tertera pada panel komputer pengurusan pesawat atau flight management computer (FMC).

“Mereka diminta menentukan di mana lapangan terbang pesawat berkenaan ingin berlepas dan mendarat. Bagi yang memilih pakej Ultimate Flyer iaitu mengendalikan pesawat secara simulator selama 60 minit.


“Kami menyarankan mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (WMKL),” katanya.

Apabila sudah membuat pilihan lapangan terbang, selaraskan bacaan pada panel juruterbang automatik atau auto pilot panel. Tentukan ‘heading’ iaitu landasan atau runway untuk anda berlepas iaitu 32R bagi KLIA.

Seterusnya perlu melepaskan ‘parking brake’ supaya pesawat berkenaan bergerak. Tentukan pendikit atau throttle pada kedudukan kuasa penuh untuk tujuan pelepasan maksimum.

Bagi tujuan pelepasan dan mendarat, pesawat akan dikendalikan secara manual. Apabila pesawat stabil dalam penerbangan, ia akan diselaras pula secara penerbangan automatik (autopilot).

“Tiba waktu mendarat, prosedur operasi standard (SOP) penerbangan perlu dipatuhi, beri tumpuan kepada flight director (FD) menuju ke landasan.

Sekiranya pesawat berada pada kedudukan betul menuju ke landasan, lampu penunjuk laluan pendekatan ketepatan atau PAPI light akan kelihatan dua titik putih dan dua titik merah. Maka, pesawat akan mendarat selamat,” katanya.

“Pengunjung perlu merasai pengalaman ini bagi mengetahui bagaimana kerjaya juruterbang dan keseronokan mengendalikan pesawat sebegini,” katanya

Fakta ringkas pesawat Boeing 737-800NG ialah seperti berikut:

189 penumpang - Maksimum penumpang
12,424 meter - ketinggian maksimum
143 knots - kelajuan angin yang selamat untuk berlepas dan mendarat



Sumber: Berita Harian, Youtube, Google Image

Post a comment

0 Comments