Lamanfo.com

Laman Informasi

CHINA HADKAN MASA BERMAIN PERMAINAN ATAS TALIAN.


BEIJING:  Bagi langkah menghadkan masa kanak-kanak bermain permainan atas talian, China telah mengenakan perintah berkurung bertujuan membanteras ketagihan internet dalam kalangan belia di negara tersebut.

Golongan di bawah usia 18 tahun tidak boleh bermain permainan atas talian antara jam 10.00 malam dan 8.00 pagi, dan hanya selama 90 minit sahaja pada waktu siang.

Selain itu, garis panduan diperkenalkan bagi mengurangkan jumlah wang yang dibelanjakan oleh golongan bawah umur untuk permainan atas talian kepada 200 RMB (RM116) sebulan, meningkat kepada 400 RMB (RM236) bagi mereka yang berusia antara 16 dan 18 tahun.

Peraturan baharu juga memerlukan semua pemain menggunakan nama sebenar ketika pendaftaran dan butiran seperti akaun WeChat, nombor telefon atau nombor kad pengenalan untuk mendaftar.

Dalam kenyataan yang disiarkan kelmarin, kerajaan juga menggesa penerbit permainan untuk mengubahsuai kandungan permainan, fungsi atau peraturan, bagi mengelakkan ketagihan dalam kalangan pemain muda.

China adalah pasaran permainan video terbesar dunia, tetapi kerajaan mengetatkan peraturan ke atas industri itu di tengah kebimbangan mengenai kesihatan, kadar penglihatan yang semakin teruk dalam kalangan kanak-kanak dan ketagihan permainan atas talian.

Hashtag mengenai peraturan baharu adalah antara paling dibincangkan di Weibo hari ini dengan 210 juta penonton.

“Kenyataan ini bermakna remaja tidak boleh bermain permainan atas talian kerana kebanyakan remaja di China, mereka perlu ke sekolah dari jam 6.30 pagi dan berakhir jam 10.00 malam,” kata seorang pengguna.

Tahun lalu, Beijing mengumumkan kawalan baharu bilangan permainan boleh dimainkan atas talian, mengehadkan penerbitan baharu, dan mengenakan peraturan ke atas pemain bawah umur untuk mengurangkan masa mereka di hadapan skrin.


Sumber: Berita Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan