Lamanfo.com

Laman Informasi

INFLASI NAIK KEPADA 2.4% TAHUN 2020

KUALA LUMPUR: MIDF Research menjangka tekanan inflasi meningkat kepada 2.4 peratus tahun ke tahun pada 2020 sebahagian besarnya disebabkan dasar subsidi minyak kerajaan.

Inflasi pada 2019 dijangka pada sekitar 0.6 peratus tahun ke tahun, iaitu lebih rendah daripada satu peratus pada 2018.

Ketua Penyelidikannya, Mohd Redza Abdul Rahman, berkata harga RON95 dihadkan kepada RM2.08 seliter sejak Februari lalu, lebih rendah daripada harga purata RM2.20 pada 2018, memacu tekanan penurunan kepada keseluruhan inflasi pada tahun ini terutamanya melalui indeks pengangkutan.

Bagaimanapun, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan subsidi minyak bersasar baharu mulai Januari 2020 akan memberi kesan limpahan kepada komponen kumpulan lain seperti makanan.



Skim subsidi minyak bersasar itu dijangka memberi manfaat kepada kumpulan isi rumah berpendapatan rendah yang kecil dan mengapungkan harga RON95 di bawah skim ini yang mana harga minyak semasa sebanyak AS$62 satu tong, harga akan menjadi lebih tinggi daripada harga yang dihadkan sebanyak RM2.08.

"Inflasi yang meningkat antara faktor menyebabkan ekonomi sederhana bagi Malaysia pada tahun depan berikutan ia akan menjejaskan permintaan domestik.

"Kami menjangka ekonomi Malaysia akan terus berkembang pada kadar sederhana sebanyak 4.5 peratus berikutan faktor global dan domestik seperti tekanan inflasi yang meningkat," katanya pada taklimat media berhubung Prospek Pasaran 2020 - ‘Navigating Through Adversity’ di sini semalam.

Mohd Redza berkata, MIDF menjangka Bank Negara Malaysia akan melaksanakan pengurangan 25 mata asas pada suku pertama tahun depan, dengan ringgit merosot kepada 4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir tahun dan purata pada 4.18 berbanding dolar AS pada 2020.


Penurunan kadar dan penyusutan ringgit pada amnya akan turut memberi tekanan kepada inflasi, katanya.

Beliau berkata, terdapat kebimbangan berhubung prestasi perdagangan luar Malaysia yang menerima impak daripada cabaran luaran, dan firma penyelidikan itu menjangka sektor berasaskan komoditi akan mengurangkan sebahagiannya berikutan harga komoditi dilihat kekal pada tahap yang mencatatkan keuntungan.

"Bagi 2020, kami mengunjurkan minyak mentah Brent kepada purata sebanyak AS$65 satu tong dan minyak sawit mentah (MSM) sebanyak RM2,450 satu tan," katanya.

Dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang sederhana, MIDF Research menjangka perbelanjaan pelaburan yang meningkat oleh sektor awam dan swasta pada tahun depan untuk menyokong pertumbuhan.

Mohd Redza berkata, firma penyelidikan itu menjangka persekitaran ekonomi global yang lebih mencabar pada 2020, dengan permintaan global yang perlahan, risiko geopolitik yang meningkat dan kehilangan momentum pertumbuhan negara-negara utama dunia termasuk Amerika Syarikat, China dan Eropah.


Bagaimana inflasi diukur di Malaysia?

Inflasi diukur melalui Indeks Harga Pengguna (IHP) atau Consumer Price Index (CPI). Ia mengukur purata harga barangan dan perkhidmatan yang biasa digunakan oleh isi rumah pada suatu tempoh masa yang telah ditetapkan. IHP diukur dengan membandingkan purata harga barangan dan perkhidmatan pada tahun asas dengan purata harga barangan dan perkhidmatan pada tahun semasa.

Terdapat 12 kumpulan barangan dan perkhidmatan yang akan diambil harganya bagi tujuan pengiraan indeks harga pengguna. Pengkelasan ini berpandukan kepada garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui Klasifikasi Penggunaan Individu Mengikut Tujuan atau Classification of Individual Consumption According To Purpose (COICOP).

Salah satu komponennya ialah perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain yang mewakili 21.4% dari keseluruhan indeks.

Jadi, sekiranya harga petrol meningkat, sudah pastilah IHP juga akan meningkat sepertimana yang dirasai oleh rakyat Malaysia pada tahun 2008. Walaupun petrol merupakan salah satu komponen sahaja dalam pengiraan IHP, namun peningkatan harga petrol menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan turut meningkat yang pada akhirnya akan turut menyebabkan inflasi turut meningkat.



Apabila ini berlaku, wang sebanyak RM50.00 yang kita bawa untuk membeli barang keperluan seperti di pasar malam hanya dapat membeli barang yang sedikit sahaja. Cuba kita lihat apa yang kita boleh beli dengan duit RM50.00 tadi di pasar malam.

1. Daging Lembu Segar 1 Kg - RM20.00
2. Ikan Kembung 1 Kg - RM8.00
3. Ayam Seekor 2 Kg - RM14.00
4. Telur Ayam 1 Papan - RM8.00
Jumlah RM50.00

Jadi gambaran yang saya cuba paparkan di atas menunjukkan, seseorang yang cuma ada peruntukan sebanyak RM50.00 sahaja bagi membeli barang basah di pasar malam hanya dapat membeli sebahagian sahaja barang.


Bagaimana rakyat Malaysia boleh menangani inflasi dan kenaikan harga barangan?

Adalah sukar untuk pengguna untuk mempengaruhi kadar inflasi sebagai individu kerana ianya adalah berbeza di setiap negara.

Walau bagaimanapun, apa yang rakyat Malaysia mampu lakukan ialah dengan bertindak bijak dalam menguruskan wang mereka untuk menangani inflasi dan kos sara hidup yang tinggi.

“Ambil kesempatan ke atas fasiliti kewangan yang tersedia untuk mengelakkan pembaziran dalam perbelanjaan. Malah, keputusan untuk mendapatkan kad kredit yang sesuai untuk anda mampu memberikan penjimatan yang besar,” kata Lee Ching Wei, pengasas bersama dan CEO Kumpulan iMoney.my.


“Ianya juga adalah bijak untuk meletakkan simpanan anda di dalam ‘kenderaan pelaburan’ (investment vehicles) yang memberikan anda pulangan di atas kadar inflasi. Simpanan di dalam akaun simpanan dengan faedah sebanyak 1% pada kadar semasa inflasi bermaksud simpanan anda masih akan kehilangan kuasa membelinya dari masa ke masa.

Salah satu cara biasa untuk menangani inflasi ialah dengan menyimpan simpanan anda dalam pelaburan yang memberikan anda pulangan yang lebih tinggi dari kadar inflasi semasa secara berkala. Contohnya, sesetengah pelaburan deposit tetap dapat memberikan anda pulangan sehingga 3%-4% setahun,” tambah Lee lagi.

Menurut Lee, pengetahuan kewangan yang baik juga boleh membantu anda untuk membuat keputusan yang bijak apabila berdepan dengan isu simpanan serta penjanaan wang. Sebelum mendapatkan sebarang produk kewangan seperti pinjaman peribadi atau kad kredit, bandingkan pilihan yang ada di pasaran dan pilih produk yang sesuai dengan gaya hidup anda.


Sumber: Berita Harian, MyBijakWang, IMoney.my

Catat Ulasan

0 Ulasan