Lamanfo.com

Laman Informasi

KERAJAAN SABAH AKAN BENTANG RUU PENUBUHAN SURUHANJAYA TENAGA PERINGKAT NEGERI SABAH.



PAPAR: Satu rang undang-undang (RUU) baharu akan dibentangkan berkaitan penubuhan sebuah suruhanjaya tenaga bagi mengurus tadbir bekalan gas dan elektrik di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata RUU itu dijangka dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Mac tahun depan, sebelum kerajaan negeri mengambil alih Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau menjelaskan, penubuhan suruhanjaya itu ialah antara proses yang perlu dilaksanakan berhubung pengambilalihan SESB seperti dipersetujui Kerajaan Persekutuan sebelum ini yang prosesnya dijangka bermula awal tahun depan.

“Kita faham Kerajaan Persekutuan sudah pun membuat keputusan menyerahkan SESB kepada kerajaan negeri dan kita akan menguruskan dengan baik, namun saya hendak memaklumkan ada proses serta beberapa peringkat perlu dilalui.

“Antaranya, saya akan membentangkan satu RUU baharu pada Mac tahun depan berhubung penubuhan suruhanjaya tenaga pada peringkat Sabah untuk mengurus tadbir bekalan dan pengagihan gas serta elektrik di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran dan Sambutan Krismas Persatuan Kadazandusun Murut (KDM) Malaysia di Kampung Kelatuan pada 14 Disember.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, penubuhan suruhanjaya itu akan turut menentukan pengurusan harga dan kadar bekalan tenaga di negeri ini.


Mengenai hutang dan kedudukan kakitangan SESB pula, beliau berkata, perkara itu akan diteliti dan diurus sebaik mungkin menerusi beberapa mesyuarat dengan pihak terbabit yang sudah pun bermula.


Sumber: Berita Harian, Google Image

Catat Ulasan

0 Ulasan