Lamanfo.com

Laman Informasi

RON95 GRED TINGGI E4M MULA DIJUAL JANUARI 2020.



PUTRAJAYA: Gred petrol RON95 berkualiti tinggi dengan spesifikasi standard bahan bakar Eropah EURO4M (E4M) akan diperkenalkan di stesen minyak seluruh negara bermula pada Januari 2020.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Muez Abd Aziz berkata E4M, yang merupakan petrol berkualiti setanding RON97, akan menggantikan standard E2 yang sedang digunakan.

Menurutnya, tidak banyak negara yang mempunyai standard E4M dan antara negara yang menggunakannya ialah United Kingdom dan Australia.

Muez berkata antara kebaikan RON95 E4M adalah aspek penjagaan kualiti alam sekitar kerana penggunaannya dapat mengurangkan pengeluaran asap serta penjagaan enjin lebih bersih.

Beliau berkata KPDNHEP mendapatkan kerjasama syarikat petrol seperti Shell, Petronas dan Petron bagi pelaksanaan inisiatif itu.

Muez berkata mana-mana syarikat yang didapati melanggar arahan tersebut boleh diambil tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pada 18 Ogos 2014, kerajaan telah bersetuju dengan pelaksanaan spesifikasi kualiti bahan api petrol EURO4M dan EURO5 iaitu Petrol RON97 EURO4M pada 1 Sept 2015, RON95 E4M (1 Okt 2018), Diesel EURO5 (1 Sept 2020) dan Petrol EURO5 (1 Sept 2025).

Namun pada 5 Okt 2018, Saifuddin Nasution berkata kerajaan memutuskan tarikh pelaksanaan RON95 E4M ditangguhkan dari 1 Okt tahun itu ke 1 Jan 2020 bagi menjajarkan perubahan harga kos produk bagi RON95 E4M dengan permulaan kerja-kerja transisi kepada produk RON95 E4M di peringkat depoh minyak dan stesen minyak.

Walau bagaimanapun, RON95 tidak boleh dikatakan sama bagus dengan RON97. Mari kita fahamkan serba sedikit mengenai Euro 4M RON95.



Apa itu RON?

RON bermaksud Research Octane Number, iaitu satu sukatan yang mengukur tahap tahan ketukan (anti knocking resistance) di dalam enjin-enjin yang menggunakan palam pencucuh.

Dalam erti kata paling ringkas, sebuah enjin petrol mempunyai kadar RON minimum yang diperlukan. Kadar RON itu bergantung kepada pembuat enjin itu sendiri dan selalunya, sebelum sebuah kenderaan dilancarkan, enjin yang dipilih mesti mampu menggunakan petrol dengan kadar RON paling minimum yang dijual di dalam pasaran tersebut.

Contohnya jika Jenama A mahu menjual kenderaan di Malaysia, enjin petrol itu perlu mampu menggunakan bahan api dengan kadar RON95 kerana itu yang paling minima.

Ada juga enjin-enjin berprestasi tinggi yang hanya menerima kadar RON97 ke atas, tetapi tidak banyak kerana tidak ramai yang akan membelinya.

Penggunaan RON yang salah mampu memudaratkan. Contohnya jika enjin itu memerlukan petrol dengan kadar minimum RON100, ia boleh mengalami kerosakan dalam jangka masa panjang jika RON97 atau RON95 sering digunakan.

Jika enjin anda pula memerlukan RON95 sebagai paling minima, menggunakan RON97 tidak akan memberikan sebarang kesan.

Namun begitu, di Malaysia, petrol dengan RON97 atau tinggi sering diberikan aditif yang berlebihan agar memberikan impak prestasi yang lebih baik kerana harga bahan api itu lebih tinggi.

Jadi itu ialah RON - dan ia adalah keperluan teknikal untuk operasi enjin petrol.


Apa itu EURO?

Euro dalam bahan api merujuk kepada piawaian asap Eropah atau European Emission Standards.

Petrol atau diesel, kualiti bahan api memainkan peranan penting dalam kadar asap yang akan dihasilkan.

Tanpa piawaian Euro, asap dari kenderaan tidak akan terkawal dan pencemaran teruk akan berlaku.

Semasa bahan api Euro 1 diperkenalkan dalam tahun 1992 di Eropah, syarikat kenderaan di sana terpaksa memasang catalytic converter dan bahan api pula ditukar kepada tanpa plumbum (unleaded).
Ini agar kadar asap boleh lulus ujian piawaian Euro 1 ketika itu.

Kemudiannya ia meningkat kepada Euro 2 (1996), Euro 3 (2000), Euro 4 (2005), Euro 5 (2009), Euro 6 (2014) dan Euro 6d (2017).

Bahan api dengan kadar EURO yang lebih tinggi juga secara amnya boleh dikatakan lebih bersih.

Contohnya, bahan api Euro 5 mempunyai kadar sulfur yang jauh lebih rendah dari bahanapi Euro 2.

Bahan api yang lebih "bersih" ini membolehkan kita menggunakan enjin yang lebih modern dan berprestasi tinggi.

Jadi sekiranya enjin anda ditala untuk penggunaan bahan api Euro 2, menggunakan bahan api Euro 5 tidak akan memberikan sebarang kesan langsung, kecuali jika aditif ditambah untuk "efek" ekstra.

Untuk Malaysia, piawaian Euro yang digunakan sedikit berbeza dan tidak dapat difahamkan secara tepat.

Ini ialah kerana penarafan Euro 2M tidak sama dengan Euro 2 yang digunakan oleh negara-negara lain. Samada ia lebih rendah atau lebih tinggi, tidak ada jawapan tepat.

Sama juga dengan petrol RON95 Euro 4M yang bakal dilancarkan bulan hadapan. Tidak ada kepastian samada ia lebih tinggi dari Euro 4 atau lebih rendah.

Diharapkan pihak kerajaan mampu tampil dan bercerita akan perkara sebenar bagaimana huruf M itu digunakan dan cara Malaysia membeli bahan api secara pukal dari pasaran global.

Anda boleh baca mana-mana risalah atau laman web syarikat minyak dan semuanya akan berkata penggunaan bahan api petrol RON95 Euro 4M akan memberikan kadar sulfur yang lebih rendah dan kadar pelepasan asap yang lebih bersih - tidak ada kaitan dengan penambahan tenaga langsung.

Ini sangat berbeza dengan kenyataan oleh Datuk Muez Abd Aziz itu yang berkata petrol RON95 Euro 4M merupakan petrol berkualiti setanding dengan RON97. Mungkin beliau tersilap tetapi ini adalah satu kesilapan faktual yang sangat besar.

Diharapkan agar kerajaan mengambil langkah lebih serius sebelum membuat sebarang pengumuman atau sebarang janji-janji kerana rakyat perlu informasi yang lebih tepat datang dari pihak kerajaan.


Sumber: Astro Awani, Careta.my

Catat Ulasan

0 Ulasan