SARAWAK INGIN MENJADI PEMBEKAL GAS HIDROGEN DI DUNIA.

Lamanfo.com

Laman Informasi

SARAWAK INGIN MENJADI PEMBEKAL GAS HIDROGEN DI DUNIA.




KUCHING - Sarawak akan mencontohi negara Brunei Darussalam sebagai pembekal gas hidrogen kepada negara-negara yang menggunakan hidrogen sebagai bahanapi seperti negara Jepun dan Korea Selatan.

Kerajaan negeri pada 25 Mei telah melancarkan pengujian dan operasi kepada projek pilot kilang pembuatan integrasi hidrogen dan projek stesen pengisian semula bahanapi. Ianya merupakan yang pertama di Asia Tenggara.

Pembinaan dan operasi kilang hidrogen dan stesen pengisian semula tersebut dilaksanakan oleh Sarawak Energy Bhd (SEB) dengan kerjasama Linde EOX Sdn. Bhd., anak syarikat Linde Malaysia.

Selepas itu, kerajaan negeri telah memperkenalkan 3 buah bas hidrogen sebagai percubaan untuk perjalanan komuter ke seluruh bandaraya sebagai satu inisiatif memperkenalkan pengangkutan awam yang mesra alam.


Naib Presiden Pembangunan Korporat dan Strategi SEB, Ting Ching Zung berkata pembangunan hidrogen bukan sahaja untuk sektor pengangkutan di negeri itu tetapi juga untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport hidrogen di dunia.

"Projek pilot ini dimulakan sebagai jalan kepada kami (SEB dan Linde EOX) mengumpulkan maklumat penting dalam langkah untuk menjana tenaga boleh baharu (hidrogen).

"Langkah seterusnya ialah dengan meningkatkan kesedaran awam mengenai penggunaan gas hidrogen sebagai bahanapi dalam skala besar sebelum kita bergerak ke fasa yang seterusnya," katanya lagi semasa lawatan media ke kilang hidrogen dan stesen pengisian semula di Bintawa.

Ting berkata hidrogen akan menjadi bahanapi pada masa hadapan dan pengguna tidak lagi perlu bergantung kepada bahanapi berdasarkan karbon yang digunakan sekarang.

"Oleh itu projek pilot ini ialah inisiatif kami untuk persediaan ke tenaga boleh baharu dalam menjaga alam sekitar," katanya.

Setakat ini, kilang tersebut mampu menghasilkan 130 kilogram hidrogen sehari pada tahap kebersihan 99.999 peratus dan boleh menampung dan mengisi semula sehingga 5 buah bas.

Sarawak telah menyediakan RM16 juta untuk perlaksanaan kilang pembuatan integrasi hidrogen dan stesen pengisian semula termasuk kajian dan pembangunan berkaitan gas hidrogen.




Sumber: Bernama 

Catat Komen

0 Ulasan