TNB DAPAT KELULUSAN TERUSKAN ICPT

Lamanfo.com

Laman Informasi

TNB DAPAT KELULUSAN TERUSKAN ICPT


KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memberi kelulusan kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk terus melaksanakan mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2020.

Sepanjang tempoh itu, kerajaan meluluskan pengurangan surcaj ICPT daripada paras semasa 2.55 sen/kWh kepada 2.00 sen/kWh bagi pelanggan bukan domestik, kata syarikat utiliti itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ia berkata, pengurangan 0.55 sen/kWh ICPT itu berikutan pengurangan dalam kos sebenar arang batu bagi tempoh Julai hingga Disember 2019, walaupun purata sebenar kos arang batu masih di atas harga penanda aras bahan api yang ditetapkan dalam tarif asas bagi Tempoh Kawal Selia 2 (RP2) dari 2018 hingga 2020.

Permintaan elektrik yang tinggi juga menyumbang kepada peningkatan dalam bahan api dan kos berkaitan penjanaan bagi tempoh itu, katanya.

“Kami ingin maklumkan bahawa kerajaan meluluskan menerusi surat daripada Suruhanjaya Tenaga bertarikh 6 Disember 2019, pelaksanaan berterusan mekanisme ICPT bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2020," katanya dalam pengumumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.

TNB menjelaskan surcaj ICPT akan dilaksanakan berdasarkan purata tarif asas 39.45 sen/kWh.

Ia berkata, tiada surcaj akan dikenakan kepada pelanggan domestik.

Di bawah mekanisme ICPT, kos bahan api dan kos penjanaan elektrik akan disemak setiap enam bulan dan dilepaskan kepada pengguna elektrik dalam bentuk rebat atau surcaj bergantung kepada penjimatan atau peningkatan kos yang terbabit.


Apakah yang dimaksudkan dengan Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT)? 


ICPT atau Imbalance Cost Pass-Through adalah mekanisma yang diluluskan oleh kerajaan dan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga sejak 1 Januari 2014 di bawah rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (Incentive Based Regulation, IBR). 

Mekanisme ICPT membolehkan TNB sebagai utiliti mengatasi perubahan (sama ada peningkatan atau penurunan) kos bahan api dan penjanaan untuk dilepaskan kepada pengguna melalui tarif elektrik setiap enam (6) bulan bagi tujuan pelarasan dalam bentuk rebat atau surcaj. 

Mekanisme ini dilaksanakan berdasarkan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447]. 

Impak pelaksanaan ICPT adalah neutral terhadap TNB di mana ianya tidak memberi sebarang kesan terhadap operasi perniagaan dan kedudukan kewangan TNB.


Sumber: Berita Harian, TNB

Post a comment

0 Comments