UNIVERSITI MANSUH 55 PROGRAM KEJURUTERAAN

Lamanfo.com

Laman Informasi

UNIVERSITI MANSUH 55 PROGRAM KEJURUTERAAN



KUALA LUMPUR: Universiti tempatan di negara ini mengugurkan 55 program kejuruteraan atas pelbagai faktor, termasuk tiada permintaan daripada pelajar serta kandungan kursus pengajian yang hampir sama di setiap universiti.

Universiti juga mahu menyediakan graduan kejuruteraan yang mempunyai kebolehpasaran yang seiring dengan kemajuan dalam bidang teknologi semasa.

Pengerusi Majlis Akreditasi Kejuruteraan Malaysia (EAC), Prof Ir Megat Johari Megat Mohd Noor, berkata pengguguran 55 program kejuruteraan itu membabitkan lima universiti awam (UA) dan tujuh universiti swasta.

Lima UA berkenaan ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Universiti swasta yang terbabit INTI International University (INTI), Universiti Selangor (UNISEL), MAHSA University, Universiti Multimedia (MMU), University of Nottingham Malaysia (UNMC), Swinburne University dan Manipal International University (MIU).

Beliau yang juga Ahli Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) menjelaskan, faktor lain membawa kepada penamatan program yang ditawarkan ialah penggabungan dua atau lebih program yang hampir sama serta perubahan nama program selari dengan perubahan struktur pengajian.

“Sebagai contoh bagi program kejuruteraan elektrik, ada universiti memberikan pelbagai nama, namun dari segi kandungan pengajian dan latihan amali adalah sama.
“Ada pula universiti menyediakan banyak kursus yang perlu diikuti pelajar tapi kita mengesan sekurang-kurangnya hanya lima kursus yang berbeza,” katanya.

Megat Johari menjelaskan, antara kawalan itu adalah menetapkan 12 ciri dalam pengeluaran seorang jurutera antaranya mesti berasaskan ilmu dalam sains dan matematik serta mampu melaksanakan analisis, reka bentuk dan kewangan.

“Universiti wajib berpandukan kepada 12 ciri ini untuk menghasilkan seorang graduan kejuruteraan dan bagaimana program itu diaturkan, ia ditentukan sendiri oleh universiti,” katanya.

“Institusi ini mengurangkan program kejuruteraan, sebaliknya menambah program teknologi kejuruteraan yang dilihat amat diperlukan oleh kebanyakan industri yang beroperasi di Malaysia.

“Perubahan ini membawa kepada keseimbangan nisbah jurutera negara dengan jurutera teknologi yang diperlukan,” katanya.

Ditanya kemungkinan ketiadaan penawaran program berkenaan akan menyebabkan pengeluaran jurutera baharu negara menurun, Megat Johari menjelaskan, LJM tidak melihat perkara itu sebagai penurunan permintaan sebaliknya memberi perkembangan yang baik kepada industri negara.

“Institusi pendidikan negara perlu menentukan kesesuaian program dengan kebolehan dan kelulusan pelajar yang akan mengambil program mereka. “Mereka boleh menjadi yang terbaik apabila pihak industri mampu mengenal pasti program yang sudah menjadi penanda aras pada peringkat dunia,” katanya.

Pada September yang lalu sebanyak 38 program akademik di 19 universiti awam seluruh negara telah digugurkan kerana dilihat tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa.

Difahamkan, keputusan itu dibuat kerana bidang pengajian pada peringkat sarjana dan sarjana muda terbabit, tidak menjanjikan peluang pekerjaan terbaik kepada graduan sejajar permintaan semasa industri.


Sumber: Berita Harian

Post a comment

0 Comments