Lamanfo.com

Laman Informasi

SAINTIS MENJUMPAI KAEDAH MENGURAIKAN PLASTIK MENGGUNAKAN CAHAYA MATAHARI.


Saintis di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Singapura telah menjumpai kaedah untuk menukarkan plastik menjadi bahan kimia berguna dengan menggunakan cahaya matahari.

Menurut laporan akhbar, kumpulan pengkaji di NTU yang diketuai oleh Prof. Madya Soo Han Sen dari Sekolah Sains Fizikal dan Matematik telah membuat eksperimen mencampurkan plastik dengan bahan pemangkin di dalam pelarut.

Hasil untuk menyelesaikannya ialah dsngan menggunakan tenaga cahaya untuk menukarkan plastik yang larut kepada asid formik iaitu bahan kimia yang digunakan dalam sel-sel bahanapi untuk menjana elektrik.

Bahan pemangkin yang digunakan diperolehi daripada logam bercirikan vanadium yang tidak bertoksik.

Apabila pemangkin dilarutkan di dalam rumusan plastik yang bukan biodegradable dan kemudian dikenakan cahaya lampu, pemangkin tersebut menguraikan plastik tersebut dalam jangkamasa enam hari sahaja.

Teknik ini merupakan pertama kali di dunia dimana plastik dapat diuraikan dalam masa yang singkat. 

"Rawatan kimia yang baru ini merupakan proses yang pertama kali dilaporkan dapat menguraikan plastik bukan biogradeable seperti polyethylene menggunakan cahaya dan pemangkin yang tidak mengandungi logam berat," kata Soo.



Proses ini menukarkan plastik kepada asid formik dimana asid formik ialah pengawet semulajadi dan agen antibakteria yang biasanya ditemui di dalam pengawet makanan dan produk pencuci.




Ianya juga boleh digunakan untuk menjana tenaga di stesen janakuasa dan di dalam sel bahanapi hidrogen untuk kenderaan seperti bas dan keretapi.




Tambahan pula kaedah ini lebih murah dan berdaya tahan disebabkan ianya menggunakan tenaga cahaya yang bersih, percuma dan sumber boleh baharu.

Oleh itu, ianya juga akan mengurangkan jejak karbon untuk teknologi tersebut sekaligus membuktikannya sebagai lebih mesra alam dalam pembakaran plastik.

Kebanyakan sampah plastik di Singapura dibakar dan menghasilkan gas rumah hijau seperti karbon dioksida.

Selesai dibakar, abunya akan dihantar ke tapak pembuangan di Semakau, satu-satunya tapak pembuangan sampah di Singapura dan dijangka akan penuh menjelang tahun 2035.

Oleh yang demikian, eksperimen dan penghasilan larutan tanpa menghasilkan sampah merupakan sebahagian daripada sasaran NTU Smart Campus dalam mewujudkan masa depan yang berdaya tahan.



Buat masa ini kaedah tersebut mempunyai seratus peratus kadar penukaran untuk plastik yang bukan PET (Polyethylene terephthalate).

Dalam laporan oleh Mothership, Soo berkata kumpulannya sedang dalam percubaan untuk mendapatkan geran untuk kajian tersebut dan menarik pengkaji yang berbakat dan memperkembangkan lagi kajian mereka. Setakat ini kajian mereka ada lebih kurang lima tahun lagi sebelum ianya dapat dikomersilkan.

Peringkat yang seterusnya termasuk melihat bagaimana teknologi ini digunakan untuk jenis plastik yang lain dan juga mempercepatkan proses penguraiannya.

Menurut Mothership, para saintis akan selanjutnya membuat ujian terhadap teknologi tersebut pada alat Demonstrasi Integrasi Tenaga Boleh Baharu (Renewable Energy Integrator Demonstrator) di Pulau Semakau, Singapura dimana tenaga baharu dalam bentuk yang lain dapat digunakan untuk menjana atau mempercepatkan proses tersebut. 





Jenis-jenis plastik.

Apabila anda mengambil kontena plastik, anda akan dapat melihat nombor di dalam simbol kitar semula biasanya di bahagian bawah atau atas kontena tersebut dengan nombor dari 1 hingga 7. Nombor tersebut bermakna 7 jenis plastik yang berada di pasaran. Jenis-jenis ini adalah terdiri daripada 299 juta ton plastik yang dibuat setahun untuk botol air, alat sukan, alat perubatan, DVD dan secara umumnya apa sahaja bahan yang menggunakan plastik. 

Nombor tersebut merupakan kod identifikasi resin yang berhubungkait dengan jenis plastik tersebut. Sesetengah plastik dikadarkan kurang bertoksik dan lebih mesra alam, sesetengah yang lain kurang sikit, manakala sesetengahnya boleh dikitar semula dan yang lain tidak.



Plastik #1

Polyethylene terephthalate, atau lebih dikenali sebagai PETE atau PET. Biasanya lutsinar dan kebanyakan kontena pakai buang untuk makanan dan botol menggunakan plastik #1. Plastik ini juga digunakan untuk kontena produk pembersihan. Plastik jenis ini biasanya selamat digunakan tetapi penting juga dipastikan ianya tidak dipanaskan kerana ia boleh mengeluarkan carcinogen (seperti penahan api antimony trioxide) dan meluntur ke dalam air minuman anda. 

Tambahan pula, keadaan permukaannya yang berliang membolehkan bakteria terkumpul dan dinasihatkan untuk tidak menggunakannya semula.


Plastik #2

Polyethylene berketumpatan tinggi, atau HDPE. Kebanyakan digunakan untuk botol susu, sabun cuci, tab mentega dan kelengkapan peribadi. Biasanya berwarna legap, plastik ini selamat dan risiko perlunturan rendah. Biasanya plastik ini diambil untuk kitar semula.


Plastik #3

Polyvinyl chloride atau PVC. Digunakan sebagai pembungkus makanan, botol minyak masak, tabir bilik mandi, tilam angin dan paip air biasa. PVC walaupun agak kuat tetapi tidak selamat untuk masakan atau kepanasan. PVC mengandungi bahan kimia yang melembutkan dipanggil phthalates yang memberibkesan kepada pembangunan hormon. Jangan sesekali memasak menggunakan pembungkus makanan, terutama sekali dalam ketuhar gelombang mikro. Periksa label pada alat permainan angin, permainan bayi, dll bagi memastikan ianya bebas PVC (dan juga phthalates dan BPA). Plastik jenis ini amat jarang dikitar semula.


Plastik #4

Polyethylene berketumpatan rendah (LDPE) biasa digunakan sebagai beg kedai runcit, beberapa pembungkus makanan, botol boleh picit dan pembungkus roti paun. Plastik ini dikategorikan selamat. Masalah LDPE ialah dari segi alam sekitar kerana ia tidak dapat dikitar semula. Dicadangkan plastik ini digunakan semula dan tidak dibuang selepas digunakan.


Plastik #5

Ini ialah polypropylene (PP). Plastik ini digunakan sebagai cawan yogurt, botol kicap dan ubat, alat dapur dan kontena untuk ketuhar gelombang mikro. Polypropylene adalah selamat untuk ketuhar gelombang mikro kerana ianya tahan panas dan tidak akan cair oleh gelombang mikro. Namun, tidak bermakna makanan akan selamat sekiranya dipanaskan dalam kontena plastik jenis ini di dalam ketuhar gelombang mikro. Adalah baik menggunakan kontena kaca untuk memanaskan makanan dalam ketuhar gelombang mikro (terdapat jenis kontena kaca yang berlainan untuk gelombang mikro). Selagi anda tidak menggunakannya dalam ketuhar gelombang mikro, PP dikategorikan plastik yang selamat. Ianya juga banyak dikitar semula.


Plastik #6




Polystyrene atau Styrofoam dimana kebanyakan kontena pakai buang digunakan untuk makanan dan juga biasa digunakan untuk pembungkus kekacang. Kajian menunjukkan plastik jenis ini melarut bahan kimia berbahaya apabila dipanaskan. Adalah lebih baik menjauhi plastik #6 ini. Ianya juga amat sukar dikitar semula dan hanya diterima oleh fasiliti kitar ssmula yang khusus. Lebih teruk lagi, plastik jenis ini mengambil masa beratus tahun untuk terurai sekiranya tidak dikitar semula.


Plastik #7

Kategori ini biasanya bermaksud "yang lain-lain" dan termasuk jenis plastik yang baru seperti plastik bio dan jenis-jenis plastik yang lain. Penggunaan plastik jenis ini adalah atas risiko anda sendiri kerana kita tidak mengetahui daripada apa ianya diperbuat. Polycarbonate termasuk dalam kategori ini termasuk yang mengandungi BPA yang bertoksik tinggi. Produk dari jenis ini termasuk botol bayi dan air, peralatan sukan, alat perubatan dan pergigian, CD dan DVD dan juga bahagian komponen komputer dan teknologi lain. Adalah dinasihatkan untuk tidak mengambil makanan atau minuman dalam bahan yang dipercayai mengandungi BPA. Amat sukar untuk mengitar semula plastik ini dan ia biasanya tidak diterima oleh program kitaran semula.

Secara jujur anda sepatutnya tidak menggunakan semua plastik tetapi ianya agak sukar dielakkan dalam masyarakat yang bergantung dengan plastik. Sekiranya anda ingin menggunakannya juga anda perlu ingat plastik mana yang kurang berbahaya. Sebagai kesimpulannya, plastik kategori #2, #4 dan #5 secara umumnya adalah selamat. 

Elakkan menggunakan plastik dalam ketuhar gelombang mikro walaupun ada label "selamat dalam gelombang mikro". Plastik #1, #3, #6 dan #7 seharusnya digunakan dengan berhati-hati terutama sekali pada makanan dan minuman. Daripada senarai ini, plastik #1 tidaklah begitu teruk, tetapi perlu disimpan di tempat yang sejuk dan tidak digunakan semula.



Sumber: Says, Non Toxic Revolution
­

Catat Ulasan

0 Ulasan