Lamanfo.com

Laman Informasi

DAKWAAN BAHAWA MALAYSIA JADI MANGSA PERISIAN PALSU CIA, BND.

Ibupejabat Crypto AG di Steinhausen, Switzerland

WASHINGTON - Malaysia tersenarai dalam dakwaan antara negara pembeli peranti penyulitan data (encryption) yang ditipu daripada sebuah syarikat yang sudah ditutup, dimiliki Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) dan Perkhidmatan Perisikan Jerman (BND).

The Washington Post melaporkan bagaimana Agensi Perisikan Pusat AS (CIA) dan BND Jerman Barat secara rahsia memiliki syarikat Switzerland, Crypto AG sejak 1970-an.

Kedua-dua agensi itu mendapat faedah dari segi kewangan daripada penjualan peranti itu kepada negara pelanggan dan jugal secara sulit dapat menggunakan peralatan itu untuk mengumpulkan maklumat risikan dari negara sama.

"Firma Swiss membuat jutaan dolar menjual peralatan kepada lebih 20 negara sehingga abad ke-21. Pelanggannya termasuk Iran, junta tentera di Amerika Latin, India dan Pakistan, serta Vatican.

"Tetapi apa yang tidak diketahui pelanggannya adalah Crypto dimiliki secara rahsia oleh CIA dalam perkongsian yang sangat sulit dengan perisikan Jerman Barat dan tiada sebuah negara pun yang menyedari Crypto dikongsi bersama CIA-BND

"Agensi pengintip ini mengubah suai peranti syarikat supaya mereka dengan mudah dapat memecahkan kod yang digunakan negara itu ketika menghantar mesej yang dirahsiakan," tulisnya.

Mesin Crypto

Selain Malaysia, negara yang melanggani Crypto merentas lima benua dan termasuk Indonesia, Jepun, Filipina, Korea Selatan, Thailand, Vietnam, Arab Saudi, Syria, Mesir, Ireland, Argentina, Brazil, Mexico dan Venezuela.

Negara sekutu yang diintip oleh Amerika adalah negara anggota NATO seperti Turki, Greece, Sepanyol dan Itali

Dilaporkan operasi perisikan itu pada mulanya dikenali sebagai 'Thesaurus' sebelum diubah menjadi 'Rubicon'.

Sementara itu, dua syarikat baharu, CyOne Security dan Crypto International membeli aset Crypto selepas syarikat berkenaan dicairkan pada 2018 namun menafikan mempunyai kaitan dengan mana-mana perkhidmatan perisikan.

Bagaimanapun, CyOne dikatakan mempunyai hubungan dengan syarikat lama termasuk menerusi ketua pegawai eksekutifnya yang memegang jawatan berkenaan selama lebih dua dekad sejak Crypto masih dimiliki CIA.

Kerajaan Switzerland mengumumkan ia akan melancarkan siasatan terhadap kaitan Crypto AG dengan CIA dan BND. Awal bulan ini, ia menggantung lesen eksport Crypto International.

Walau bagaimanapun, timbul persoalan apabila dokumen tersebut membuktikan pegawai kerajaan Switzerland sudah pun mengetahui perkara itu sejak berdekad lalu dan hanya campur tangan selepas mengetahui pertubuhan berita berkenaan mahu mendedahkan perkara itu.


Sumber: Sinar Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan