Lamanfo.com

Laman Informasi

LIHAT ANIMASI 57,000 SATELIT YANG DIRANCANG MENGELILINGI BUMI DALAM 9 TAHUN.

Manusia telah melancarkan 9,158 kapal angkasa sejak 1957 dan satu animasi telah dihasilkan menunjukkan bagaimana jumlahnya akan bertambah dalam jangkamasa yang singkat. 

Sumber: Pixabay
Kebanyakan kapal angkasa berada pada zon yang agak dekat dengan planet kita dipanggil orbit rendah Bumi ataupun dalam lingkungan 1,200 batu dari permukaan bumi. Namun, hanya kira-kira 2,200 sahaja daripada jumlah tersebut yang masih berfungsi. 

Walau bagaimanapun, kini terdapat kecenderungan luar jangkaan daripada syarikat persendirian untuk melancarkan satelit rangkaian internet pantas yang meliputi keseluruhan bumi menjelang penghujung dekad ini. 

Bila digabungkan dengan satelit yang telah dirancang oleh negara-negara seperti China, lebih 57,000 satelit baru atau 25 kali lebih banyak kapal angkasa yang aktif akan mengorbit Bumi menjelang 2029.

Itu menurut Dan Oltrogge, jurutera aeroangkasa di Analytical Graphics, Inc. dan Pengarah kepada Pusat Piawai Angkasa dan Inovasi AS. Animasi Oltrogge telah ditayangkan di Konferens Tahunan ke-23 Pengangkutan Angkasa Komersil anjuran Pentadbiran Aviasi Persekutuan (FAA) yang lalu di Washington, DC. 

Dan Oltrogge (Sumber: centerforspace.com)

Video animasi Oltrogge telah dimainkan di hadapan panel konferens sehari selepas dua satelit "mati" iaitu satelit GGSE-4 (satelit pengukur graviti kepunyaan Tentera Udara Amerika yang dilancarkan pada 1967) dan satelit IRAS (teleskop inframerah angkasa NASA) hampir berlanggar di udara Pittsburgh. Sekiranya kedua-dua satelit itu berlanggar, ianya akan jelas kelihatan dari bumi dan akan menghasilkan beratus ribu serpihan dari angkasa. 


"Kejadian kemalangan nyaris ini semakin banyak berlaku. Ianya bukan lagi kejadian yang berlaku setahun sekali," kata Kevin O'Connell, Pengarah Jabatan Dagangan di Pejabat Dagangan Angkasa semasa menjadi panel konferens tersebut. 

Tetapi kejadian nyaris tersebut sudah terjadi sebelum ketibaan ribuan kapal angkasa sepertimana dalam animasi Oltrogge. Sekiranya sebahagian daripada kapal angkasa yang dirancang tersebut berjaya berada di orbit, Oltrogge menjangka mungkin 5 - 15 peratus daripada 57,000 satelit akan mencapai orbit dan situasi di sekeliling planet kita akan mengalami perubahan secara operasi. 

"Masalah yang kita ada sekarang adalah kompleks dan  menimbulkan keraguan," tambah O'Connell. 

SpaceX yang diasaskan oleh usahawan teknologi  Elon Musk kini telah mendahului dengan jumlah satelit Starlink yang merangkumi 12,000 buah satelit yang terbang rendah dan memancarkan internet setelah mendapat kelulusan  dari Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC). 

Starlink juga boleh berkembang lebih besar bermula dari 12,000 kapal angkasa tersebut. Dalam permohonan yang dihantar oleh SpaceX kepada FCC, syarikat berkenaan memohon untuk menghantar 30,000 lagi satelit sebelum hujung dekad ini menjadikan jumlah keseluruhan kepada 42,000 satelit. 

Dalam temuramah dengan Business Insider, Oltrogge berkata dengan adanya perancangan SpaceX dan juga syarijat lain seperti Iridium, OneWeb, Projek Kuiper Amazon, dan termasuk Apple, mendorong beliau dan rakan yang lain untuk mengkaji kebarangkalian untuk konstelasi satelit yang besar (perkataan megakonstelasi  biasa digunakan tetapi Oltrogge mengelakkan penggunaan mega kerana ia membawa maksud berjuta satelit. "Belum ada sesiapa lagi yang mencadangkan sejuta satelit," katanya) 

Akibatnya ialah akan bertambah jumlah pertembungan nyaris antara satelit menurut kertas putih pada Januari 2020 yang dibantu-karang oleh Oltrogge. Beliau dan rakannya ingin mengetahui berapa kerap sesebuah objek menghampiri satu sama lain dalam lingkungan jarak satu batu yang didefinisikan sebagai pertembungan nyaris atau "close encounter". 

Situasinya mungkin nampak hebat tetapi Oltrogge berkata "ia bukanlah pengakhiran kepada dunia" dan "langit tidak akan runtuh". 

Ini kerana, katanya, ruang orbit Bumi adalah luas untuk satelit yang banyak tersebut. Kedua, satelit versi baru dibina untuk terbakar di atmosfera Bumi pada penghujung hayatnya dan tidak akan terus berada pada orbit - sepertimana satelit IRAS atau GGSE - 4. Ketiga, satelit baru termasuk Starlink telah direkacipta untuk mempunyai sistem pengelakan dan mengurangkan kemungkinan perlanggaran. 

Beliau berkata ianya tidak dapat dielakkan kerana satelit akan makin bertambah dan cabaran terkini dalam menguruskan ruang angkasa Bumi akan lambat laun perlu ditetapkan juga. 


Radar Haystack dan HAX terletak di Tyngsboro, Massachusets. Radar-radar ini mengumpul 600 jam maklumat serpihan orbit setiap tahun dan merupakan punca maklumat NASA yang utama untuk serpihan yang bersaiz sentimeter. Masalah yang dihadapi oleh NASA ialah teleskop, radar pemerhati dan peralatan lain untuk menjejaki serpihan tersebut adalah seumpama lampu suluh yang hanya boleh menunjukkan beberapa serpihan dalam satu masa khususnya yang sedang dalam pertembungan nyaris. 

Sekiranya kami mendapat pengesan yang lebih banyak dan lebih baik, operator satelit akan dapat menjumpai lebih banyak serpihan dan cabaran besar seterusnya ialah dalam melabel, menjejaki dan mengelakkan terjadi sampah angkasa tersebut. 

"Kita akan berhadapan dengan puluhan satelit yang aktif, puluhan serpihan dan jumlah pertembungan nyaris yang kerap dan ini akan menjadi masalah kepada operator untuk menguruskannya, 'Adakah saya perlu mengerakkan yang ini atau biarkan ia dan lihat sahaja?" kata Oltrogge. 

Beliau menambah: "Kita perlu mempunyai maklumat yang lengkap untuk menyokong kesemuanya. Salah satu kata-kata yang saya minati ialah sekiranya anda ingin mencari jarum di dalam jerami, anda perlu mengalihkan semua jerami tersebut. Dalam kesedaran mengenai situasi terkini di angkasa, oleh kerana kita kekurangan kualiti dan masa mengenai maklumat yang diperlukan, kita menerima banyak amaran palsu."

Untuk mengatasi isu ini dan mengelakkan terjadinya serpihan yang mengancam kapal angkasa, Oktrogge berkata SpaceX, Amazon dan syarikat lain bukan hanya  perlu bekerjasama dengan operator satelit dalam perkongsian maklumat tetapi juga dalam menghasilkan algoritma pintar yang dapat secara efisien mengalihkan jerami tersebut untuk menampakkan jarum yang berbahaya. 

"Nasib baik dua satelit ini tidak bertembung semalam," katanya mengenai IRAS atau GGSE-4. "Tetapi satelit yang lain akan mungkin bertembung juga akhirnya pada masa akan datang." 


Sumber: Business Insider

Catat Ulasan

0 Ulasan