KINI ANDA BOLEH MENJALANI UJIAN COVID-19 DI RUMAH.

Lamanfo.com

Laman Informasi

KINI ANDA BOLEH MENJALANI UJIAN COVID-19 DI RUMAH.


Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Kini orang ramai tak perlu lagi pergi ke hospital apabila ujian COVID-19 boleh dijalani di rumah, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pengambilan sampel itu akan dilakukan oleh pegawai perubatan dan paramedik swasta yang terlatih dan sampel tersebut kemudian akan dihantar ke makmal untuk analisa. 

"Perkhidmatan ini bagaimanapun tertakluk kepada bayaran yang dikenakan oleh pihak swasta terbabit," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Isnin.

Difahamkan bahawa setiap ujian akan dikendalikan oleh tiga pegawai perubatan swasta dan melibatkan kos antara RM600 dan RM700.

Dr Noor Hisham memberitahu sekiranya ujian mendapati positif COVID-19, mereka akan segera dirujuk ke hospital kerajaan. 

Beliau turut menjelaskan bahawa perlaksanaan ini ialah kolaborasi di antara KKM dengan Bookdoc, Pantai Premier Pathology Sdn Bhd, Lablink (M) Sdn Bhd (KPJ), Qualitas Medical Group Sdn Bhd, Gleneagles Kuala Lumpur, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Hospital Pantai Cheras, Hospital Pantai Klang, Hospital Pantai Ayer Keroh, Melaka, Twin Tower Medical centre, KLCC dan DoctorOnCall.

Senarai hospital itu katanya, akan ditambah dari semasa ke semasa.

"Orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan ini dengan memuatnaik aplikasi berkaitan serta melayari laman web syarikat-syarikat berkenaan bagi maklumat lanjut," jelasnya.

Ditanya mengenai penularan wabak COVID-19 yang dikaitkan dengan suhu, Dr Noor Hisham menjelaskan, COVID-19 tidak dapat bertahan lama sekiranya suhu melebihi 30 darjah Celcius.

"Semasa musim sejuk, virus ini akan lebih mengganas jika dibandingkan di kawasan panas," ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau memaklumkan, KKM sedang mempertimbangkan sama ada sekatan kemasukan sementara akan diperluaskan atau sebaliknya.

Buat masa ini katanya, KKM kini sedang memantau rapat penularan wabak tersebut di Amerika Syarikat (AS), Perancis, Sepanyol dan  Switzerland.

Sebelum ini Malaysia membuat sekatan sementara kemasukan pelawat dari China, Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran.


Sumber: Astro Awani


Post a comment

0 Comments