Lamanfo.com

Laman Informasi

MUAT TURUN PEMIKIRAN ANDA KE DALAM KOMPUTER : NEURALINK.

(Sumber: Interesting Engineering) 

Salah satu projek seumpama sains fiksyen yang sedang diusahakan oleh Elon Musk ialah Neuralink. 

Sekiranya Neuralink ini berjaya, syarikat beliau akan memperkenalkan satu era yang baru dalam "kognitif manusia super". Tetapi, apa sebenarnya Neuralink ini? 

Neuralink merupakan satu syarikat diasaskan oleh Elon Musk pada 2016 yang meneroka otak manusia dan bagaimana ia boleh disambungkan kepada komputer. 

Beroperasi secara kecil-kecilan berbanding dengan Tesla dan SpaceX, syarikat ini bertujuan untuk menggunakan alat antara muka otak ke mesin untuk mengintegrasikan manusia dengan kepintaran buatan (AI) dengan secara surgikal iaitu menanam alat pemproses ke dalam otak manusia melalui prosidur yang kurang menyakitkan. 

Alat antara muka otak-mesin bukanlah sesuatu yang baru malah ianya berpotensi membantu jutaan manusia sepertimana menurut terbitan kertas kajian Neuralink. Walau bagaimanapun, sebab utama mengapa manusia ingin menyambung otak kepada komputer ialah disebabkan ancaman sedia ada iaitu kepintaran buatan atau AI.

(Sumber: Interesting Engineering)

Jurupakar, tokoh perniagaan dan para pengkaji seluruh dunia percaya AI mempunyai kuasa untuk mengubah dunia ke arah yang lebih baik dan dapat memberi impak kepada semua industri di dunia. Namun, sebahagian daripada tokoh tersebut termasuk Elon Musk percaya AI berpotensi menjadi ancaman sekiranya tidak ditangani dengan berhati-hati. 

Penerangan yang lebih mudah, Neuralink dapat menawarkan peningkatan kepada otak manusia yang membolehkan kita menjadi lebih kompetetif terhadap AI yang berada pada tahap pemikiran tinggi. 

Dengan tibanya alat antara muka otak-mesin Neuralink dengan jalur lebar ultra tinggi dapat memandu ke arah evolusi baru manusia. Namun, sebenarnya kita telah maju ke depan dengan sendirinya.


Melihat Pada Masa Depan. 

Mari kita bayangkan satu senario. Lima tahun akan datang anda duduk dengan selesa di rumah pintar anda yang juga dilengkapi dengan peralatan pintar. Pada suatu petang, anda bercadang untuk minum kopi. Tanpa bangun dari kerusi sofa, anda menggunakan pemikiran untuk mengarahkan mesin pembuat kopi untuk beroperasi. Pada masa yang sama anda ingin mendengar muzik dan juga dengan hanya menggunakan pemikiran radio memainkan muzik sepertimana yang anda mahu. 

Neuralink berupaya membawa kita ke masa depan seperti senario di atas. Walau bagaimanapun, ianya melangkau lebih dalam daripada hanya mengawal peralatan pintar anda.


Alat antara muka otak-mesin boleh membantu mereka yang menderita ketidakupayaan mobiliti agar dapat hidup dengan lebih sempurna, membolehkan mereka berkomunikasi dengan orang tersayang dengan lebih dinamik atau menyempurnakan tugas harian yang sebelumnya agak mustahil bagi mereka. Manusia kelainan upaya boleh mengawal peralatan pintar dan komputer. 

Bagi memberikan manusia kuasa super ini, Neuralink akan memasang peranti khusus untuk membina "antara muka kortikal secara terus" untuk memuatnaik dan memuat turun pemikiran anda. Sejak penubuhan syarikat tersebut pada 2016, tidak banyak yang dilaporkan mengenai projek tersebut. Walau bagaimanapun, pada 2019 Elon Musk berkongsi bagaimana pasukan beliau bercadang menjadikan Neuralink suatu kenyataan dan mereka telah hampir dekat daripada yang disangkakan.

(Sumber: Interesting Engineering)

Pada Julai 2019, pada satu persembahan di San Francisco, Musk mempersembahkan apa yang dia dan pasukannya yang terdiri daripada 100 pekerja sedang usahakan di Neuralink. Pasukan beliau telah menghasilkan satu peranti yang terdiri daripada cip kecil, dipanggil N1 yang mengandungi lebih 3,000 elektrod. 

Terlekat pada benang yang halus iaitu lebih halus daripada rambut manusia, elektrod-elektrod ini boleh mengawasi aktiviti 1,000 neuron. Rekabentuknya juga mempunyai tujuan tertentu. 

Peranti Neuralink boleh menyasarkan kawasan di otak secara spesifik. Ini membolehkan alat tersebut secara surgikalnya lebih selamat dan membolehkannya menyasarkan kawasan spesifik di otak. Tambahan pula, Neuralink menyatakan bahawa pesakit boleh memiliki lebih 10 cip N1 ditanam di kawasan tertentu. Elon Musk telah menyatakan prosesnya tidak menyakitkan malah tiada beza dengan pembedahan LASEK.

(Sumber: Interesting Engineering)

Peranti Neuralink anda akan ditanam menggunakan kaedah pembedahan neuro secara tradisional yang lebih selamat dan mudah dengan menggunakan robot. Sepertimana yang diterbitkan pada kertas kajian Neuralink, "Kami juga telah membina robot pembedahan neuro yang berkebolehan memasukkan enam benang (192 elektrod) dalam satu minit. Setiap benang boleh dimasukkan setiap satu ke dalam otak menggunakan ketepatan mikron untuk mengelak salur vaskular pada pemukaannya dan menyasarkan kawasan otak yang spesifik."


Adakah Percubaan Peranti Sudah dimulakan?

(Sumber: Interesting Engineering)

Pasukan Neuralink telah memulakan eksperimen menggunakan pelbagai versi peranti tersebut terhadap kedua-dua haiwan tikus dan monyet. Hasil keputusannya amat memberansangkan. Semasa persembahan di San Francisco, Musk dan pasukannya menyatakan pada satu masa seekor monyet dapat mengawal komputer hanya dengan menggunakan otaknya. Namun begitu, eksperimen menggunakan manusia masih belum dibuat. Pasukan tersebut berharap mendapat kelulusan FDA dan membuat ujian dengan manusia seawal tahun ini.


Apakah risikonya? 

Semasa persembahan tersebut, Elon Musk mengulangi bahawa Neuralink akan menjadi penting pada masa akan datang,  yang akhirnya akan membolehkan kita bersimbiosis dengan kepintaran buatan, AI. "Dengan alat antara muka otak-mesin berjalur lebar, kita dapat menyelusuri dan secara efektif bersatu dengan AI", kata Musk. Manakala mengenai risikonya, Musk meyakinkan penonton bahawa peranti tersebut adalah selamat. 

Tambahan pula, teknologi BMI bukanlah sesuatu yang baru dan kini telah digunakan untuk membantu mereka yang kurang berkeupayaan. Walau bagaimanapun, teknologi ini masih pada peringkat awal. Ini keistimewaan Neuralink. Sistem jalur lebar N1 menjanjikan keselamatan dan mudah diintegrasikan dengan kehidupan seharian. 

Namun begitu, terdapat banyak cabaran dari segi teknikal dan juga etika yang bakal ditempuhi oleh Neuralink untuk menjadikannya satu kenyataan. Mampukah seseorang untuk menggodam peranti ini pada masa hadapan? Apa yang perlu kita buat dengan maklumat terkumpul N1 pesakit? Krittika D'Silva, seorang pengkaji AI dari Makmal Pembangunan Frontier dan hadirin semasa acara tersebut menyatakan, "Teknologi yang diperkenalkan oleh Neuralink amatlah menakjubkan kerana ianya kurang invasif berbanding kerja-kerja berkaitan sebelumnya."


Adakah ia benar-benar bermanfaat? 

Menurut CEO Neuralink, Max Hodak, orang pertama yang boleh menguji alat antara muka Neuralink ialah pesakit yang menderita quadriplegia disebabkan kecederaan saraf tunjang. Neuralink boleh membantu mereka yang mengalami gangguan neurologi dimana otak tidak dapat berhubung dengan saraf seluruh badan. Musk memberi gambaran dimana teknologi ini menjadi sesuatu yang biasa menuju zaman baru dimana manusia bersatu dengan teknologi untuk bersaing dengan AI.



Sumber: Interesting Engineering, Youtube

Sila lihat: PENGKAJI MENGHASILKAN ALAT YANG MENYAMAI SEL OTAK MANUSIA.

Catat Ulasan

0 Ulasan