Lamanfo.com

Laman Informasi

BAGAIMANA ALAT VENTILATOR BERFUNGSI?


Ventilator atau alat bantuan pernafasan ialah mesin yang membantu pernafasan seseorang (pengudaraan). Mesin ini biasa digunakan di hospital sebagai alat sokongan hidup pesakit yang mengalami masalah pernafasan atau tidak dapat bernafas dengan sendirinya. Ventilator mekanikal terdiri daripada jenis yang invasif atau bukan invasif. Jenis invasif memerlukan tiub atau alat dimasukkan melalui intubasi endotracheal atau tracheostomi. Manakala satu contoh jenis bukan invasif ialah penggunaan topeng muka yang ketat. 

Bukan invasif. 

Bila Ventilator Digunakan? 

Ventilator mekanikal biasa digunakan secara sementara sahaja seperti contoh semasa prosidur pembedahan sedang dibuat. Ini kerana apabila seseorang pesakit telah diberi ubat penenang, pernafasannya akan terganggu. Ventilator digunakan untuk memastikan pesakit terus bernafas semasa tidur apabila pembedahan dibuat. Doktor akan memeriksa kadar pernafasan seseorang pesakit bagi menentukan kadar pernafasannya. 


Seseorang dengan penyakit paru-paru yang teruk atau dalam keadaan perubatan yang menggangu proses pernafasan  amat memerlukan ventilator sehingga mereka pulih. Penjagaan begini biasanya disediakan di Unit Penjagaan Rapi (ICU) atau Unit Penjagaan Kritikal (CCU) di hospital.

Ventilator perlu digunakan walaupun sekiranya pesakit yang mempunyai paru-paru yang tidak berfungsi itu dapat bernafas dengan sendiri tetapi mereka akan merasa sedikit kesukaran untuk bernafas. Kesukaran bernafas yang teruk (dyspnea) boleh mewujudkan kesusahan dan ketidakselesaan, tetapi ventilator boleh membantu meringankan proses pernafasannya dan membolehkan pesakit untuk berehat dan sembuh. 

Banyak penyakit dan faktor lain yang merosakkan fungsi paru-paru dan menyebabkan kesukaran bernafas sehingga seseorang memerlukan ventilator untuk menstabilkan keadaan mereka. Contoh ialah seperti berikut:

-Jangkitan pernafasan seperti pneumonia, demam selsema dan virus corona (Covid-19).

-Penyakit paru-paru seperti asma, COPD (penyakit kronik Obstructive Pulmonari), Cystic fibrosis dan kanser paru-paru.

-Sindrom Respirasi Distress Akut (ARDS)

-Kerosakan pada saraf atau otot yang berkait dengan pernafasan (boleh jadi disebabkan kecederaan pada bahagian atas saraf tunjang, polio, amyotrophic lateral sclerosis, myasthenia gravis dan lain-lain), 

-Kecederaan otak, 

-Strok, 

-Pengambilan dadah berlebihan. 


Pesakit yang tidak boleh bernafas dengan sendirinya juga menggunakan ventilator semasa  menjalani rawatan dalam keadaan kegagalan respiratori atau kekejangan respiratori. Ventilator jangka panjang akan digunakan sekiranya pesakit tidak dapat pulih daripada kesukaran bernafas secara sendiri. 


Bagaimana Ventilator Membantu Seseorang Bernafas? 

Ventilator jenis invasif secara perlahan memasukkan udara biasa (atau campuran udara dengan tambahan oksigen) melalui tiub pernafasan, ke dalam laluan pernafasan pesakit dan turun ke paru-paru. Ventilator mekanikal tidak hanya memastikan pesakit menerima cukup oksigen tetapi juga membantu mengeluarkan karbon dioksida, gas buangan keluar dari paru-paru. Seseorang yang tidak dapat bernafas dengan efisien secara sendirinya akan menahan karbon dioksida di dalam badannya yang boleh terkumpul dan menjadi toksik. 

Amat penting untuk difahami bahawa ventilator hanya digunakan sebagai alat sokongan hidup dan ianya tidak dapat merawat atau menyembuhkan apa-apa penyakit. 


Intubasi dan Tracheostomi

Tiub pernafasan boleh dimasukkan menggunakan dua kaedah: intubasi atau tracheostomi. Semasa intubasi, satu hujung tiub pernafasan dimasukkan melalui hidung atau mulut pesakit dan digerakkan ke dalam kerongkong sehingga sampai ke trakea. Tiub pernafasan yang dipasang seperti ini dipanggil tiub endotracheal. Pita pelekat atau pengikat khas yang dipanggil pemegang tiub endotracheal dipasang untuk menetapkan tempatnya. Tiub endotracheal biasanya digunakan apabila pesakit memerlukan ventilator pada jangka masa yang pendek. 

Kaedah intubasi. 

Apabila pesakit memerlukan ventilator mekanikal untuk jangka masa panjang, tiub pernafasan akan dipasang pada paip angin melalui prosidur dipanggil tracheostomi. Dalam tracheostomi, jurubedah akan membuat luka kecil pada leher dan trakea pesakit untuk membuat lubang dipanggil stoma. Tiub pernafasan kemudian akan dimasukkan terus ke trakea melalui stoma tersebut dan ditetapkan pada tempatnya menggunakan pemegang khas yang diikat pada leher. Tiub pernafasan yang dipasang dengan kaedah ini dipanggil tracheostomi atau "trach". 

Kaedah tracheostomi. 

Kecuali pada keadaan kecemasan dimana ventilator mekanikal diperlukan dengan segera, kedua-dua prosidur intubasi dan tracheostomi dilakukan dalam bilik pembedahan semasa pesakit sudah dibius. 


Sumber: Agingcare.com dan USA Today

Catat Ulasan

0 Ulasan