Lamanfo.com

Laman Informasi

BERHATI-HATILAH APABILA MENULIS PERKATAAN WALLAHU A’LAM.

(Kredit: Komunikasipraktis.com)

Anda mungkin biasa membaca penulisan keagamaan dari media akhbar dan juga dari laman sosial dan lazimnya ia akan diakhiri dengan kalimat Wallahu a'lam yang membawa maksud: "Dan Allah yang Maha Mengetahui". Kadangkala ianya ditambah dengan Wallahu a'lam bish-shawabi (والله أعلمُ بالـصـواب) yang membawa maksud: "Dan Allah yang Maha Mengetahui yang sebenarnya." 

Namun kita harus berhati-hati apabila meletakkan tanda koma di atas. Tanda koma tersebut sewajarnya diletakkan di antara huruf "a" dan "l" iaitu "Wallahu a'lam" yang betul membawa maksud "Dan Allah yang Maha Mengetahui". 

Tanda petik tunggal atau koma di atas (‘) dalam a’lam itu ialah sebenarnya terjemahan daripada Bahasa Arab ke Bahasa Malaysia untuk menunjukkan terdapat huruf ‘ain (ع) seperti Jum’ah, Ka’bah, Bid’ah, Ma’ruf, dan sebagainya. 

Kata a’lam pula artinya “lebih tahu” dan daripada kata dasar ‘alima itu kemudian terbentuk kata ‘ilman (isim mashdar, artinya ilmu/ pengetahuan), ‘alimun (fa’il/ pelaku, yakni orang yang berilmu), ma’lumun (pemberitahuan, maklumat), dan sebagainya, termasuk a’lamu/ a’lam (lebih tahu).

Walau bagaimanapun kita sering juga terlihat tanda koma diletakkan seperti contoh di bawah:

Wallahu ‘alam (koma di atas [‘] diletakkan sebelum huruf "a").

Perkataan seperti di atas telah berbeza maksudnya iaitu "Dan Allah itu alam". Di sini tidak jelas apa yang dimaksudkan alam. Sekiranya kita menulis perkataan Alhamdulillahi robbil 'alamin maka perkataan 'alamin atau 'aalamin jelas membawa maksud alam semesta. 

Oleh yang demikian sekiranya kita ingin menulis  “Dan Allah Maha Mengetahui” maka penulisan yang benar adalah Wallahu a’lam  dan bukannya Wallahu ‘alam.

Kemungkinan penulisan yang terdapat kesalahan tersebut tidak menyedari kesilapannya atau menganggap penggunaannya betul. Oleh yang demikian kita seharusnya menyebarkan ilmu ini agar dapat dimanfaatkan bersama. 

Wallahu a'lam.


Sumber: zmd94.com dan penulis. 

Catat Ulasan

0 Ulasan