COVID-19: ROBOT BUATAN MALAYSIA DIREKACIPTA UNTUK MEMBANTU BARISAN HADAPAN DI HOSPITAL.

Lamanfo.com

Laman Informasi

COVID-19: ROBOT BUATAN MALAYSIA DIREKACIPTA UNTUK MEMBANTU BARISAN HADAPAN DI HOSPITAL.


Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama-sama dengan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM dan juga DF Automation and Robotics Sdn Bhd (DF) telah bekerjasama merekacipta robot yang bertugas di hospital untuk membantu doktor dan jururawat yang mengendalikan pesakit Covid-19. 

Robot tersebut yang dinamakan "Makcik Kiah 19" (MCK19) merupakan robot penghantaran pertama buatan Malaysia yang digunakan untuk membantu barisan hadapan di hospital untuk memberi perkhidmatan kepada pesakit Covid-19.

Projek pembinaannya dimulakan sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diketuai oleh pengasas DF, Professor Madya Dr. Yeong Che Fai dari Sekolah Kejuruteraan Elektrikal UTM. 

"MCK19 menggunakan Zalpha, robot komersil DF yang boleh mengangkat berat sehingga 300kg dan dapat bernavigasi secara sendirinya untuk membantu para doktor atau jururawat dalam menghantar makanan atau ubat-ubatan ke dalam bilik pesakit. 

“MCK19 dapat mengurangkan pendedahan jururawat dan barisan hadapan kepada pesakit yang dalam pemantauan yang berkemungkinan boleh menjangkiti dan perlu diasingkan. 


"Oleh itu, ia juga boleh mengurangkan keperluan alat perlindungan diri (PPE) dimana hospital mengalami kekurangan," menurut UTM dalam satu kenyataan. 

"MCK19 dijangka akan diuji di HCTM pada hujung minggu ini. Sekiranya robot ini didapati berguna, DF akan komited untuk menambah jumlahnya untuk dibekalkan di banyak hospital di Malaysia atau mana-mana organisasi yang memerlukannya." katanya lagi. 

Sementara itu, Yeong memberitahu bahawa DF telah terlibat dalam robotik sejak 2012 yang dipercayai dapat membantu dalam banyak tugas-tugas seperti penghantaran, disinfeksi, pembersihan, pemantauan dan perkhidmatan yang lain. 

"MCK19 akan menjadi percubaan pertama kami dan sekiranya berjaya, kami akan meneruskan untuk perkhidmatan yang lain pula," tambah beliau lagi. 


Naib Canselor UTM Prof. Dr Wahid Omar berkata ciptaan robot ini merupakan satu lagi bantuan UTM dalam memerangi virus Covid-19.

"Sebagai sebuah universiti yang dikurniakan dengan pelbagai kepakaran, kami percaya bahawa menjadi tanggungjawab kami untuk membantu kerajaan khususnya barisan hadapan yang berjuang untuk rakyat pada masa yang sukar sekarang," kata beliau. 


Sumber: Malaysiakini

Post a comment

0 Comments