SEJARAH RINGKAS CERAPAN ANAK BULAN DI MALAYSIA.

Lamanfo.com

Laman Informasi

SEJARAH RINGKAS CERAPAN ANAK BULAN DI MALAYSIA.


 
(Kredit: Pixabay)
 Latar Belakang

Sebelum tahun 1972  semua urusan mengenai penetapan permulaan bulan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha adalah di bawah bidang kuasa negeri masing-masing. Namun, pada tahun 1972, Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat kali yang ke-92 pada 15 dan 16 Mac tahun tersebut telah bersetuju untuk menetapkan tarikh permulaan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha yang meliputi seluruh Malaysia. 

Cerapan anak bulan pertama kali dilakukan bagi menetapkan permulaan puasa seluruh Malaysia ialah pada 7hb Oktober 1972 atau bersamaan dengan 29 Syaaban 1392 di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bermula dari saat itu, pengisytiharan permulaan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha dilaksanakan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui radio dan televisyen setelah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.


Kaedah Penetapan

Kaedah yang digunakan bagi menetapkan permulaan Ramadhan, Hari Raya Aidilfitri dan AidilAdha di Malaysia adalah berdasarkan "Rukyah" (Cerapan Hilal) dan "Hisab" (Kiraan).

Rukyah ditentukan melalui pencerapan di semua 29 tempat yang telah disenaraikan sejak tahun 1972. Laporan daripada pegawai pencerapan meliputi fakta waktu mencerap dan keadaan cuaca ketika mencerap.




Hisab ditentukan oleh ahli falak dari JAKIM mengikut kriteria ketetapan Imkanur-Rukyah, iaitu pernampakan hilal atau anak bulan yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja.

Kriteria tersebut berdasarkan persetujuan bersama oleh anggota Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam Kali Ketiga pada 1hb Jun 1992  bersamaan dengan 29 Zulkaedah 1412 di Wilayah Persekutuan Labuan.


Kaedah Pengumuman

Mesyuarat akan diadakan di antara Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan pihak JAKIM (Bahagian Falak) dan pihak RTM untuk memastikan tindakan sewajarnya, termasuk penentuan bahawa bekalan elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi tidak tergendala pada waktu pencerapan dan semasa urusan pengumuman.

Rakaman pengumuman akan disediakan untuk dua situasi, iaitu mengandaikan (i) anak bulan kelihatan dan (ii) tidak kelihatan iaitu sama ada bulan Syaaban dan Ramadan akan berjumlah 29 atau 30 hari.

Semua laporan daripada pusat pencerapan akan diterima oleh urusetia yang dilantik dan akan disembahkan untuk makluman kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tujuan perkenan baginda. Sebaik sahaja titah perkenan disambut, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan memberitahu pegawai RTM yang juga bertindak sebagai urusetia  untuk beliau membuat pengumuman. Secara kebiasaannya pengumuman tersebut akan disempurnakan sebelum jam 8 malam.


Sumber: Laman Web Rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja

Post a comment

1 Comments