Lamanfo.com

Laman Informasi

CHINA BERI AMARAN KEPADA AS BERHUBUNG PERATURAN BARU KEPADA HUAWEI.




BEIJING -- Kementerian perdagangan China mengatakan akan mengambil "semua langkah yang diperlukan" sebagai tindakbalas terhadap sekatan baru AS terhadap syarikat teknologi gergasi China, Huawei untuk menggunakan teknologi Amerika, dan menyebut tindakan tersebut sebagai penyalahgunaan kuasa negara dan pelanggaran prinsip pasaran.

Seorang jurucakap tidak dikenali memetik satu kenyataan di laman web kementerian mengatakan peraturan itu juga mengancam keselamatan "rantaian perindustrian dan bekalan global."

"AS menggunakan kuasa negara, dengan alasan ancaman kepada keselamatan negara, dan menyalahgunakan langkah kawalan eksport untuk terus menindas dan membendung perusahaan tertentu dari negara lain," kata kenyataan itu.

China akan "mengambil semua langkah yang diperlukan untuk secara tegas melindungi hak dan kepentingan sah perusahaan China," katanya.

Di bawah peraturan baru, pembuat semikonduktor asing yang menggunakan teknologi Amerika mesti mendapatkan lesen AS untuk menghantar semikonduktor yang direka oleh Huawei ke syarikat China berkenaan. 

Peralatan rekabentuk dan pembuatan cip yang digunakan di kilang semikonduktor dunia kebanyakannya dibuat di AS, jadi peraturan baru ini mempengaruhi pengeluar asing yang menjual kepada Huawei dan sekutu termasuk HiSilicon, yang khususnya merekabentuk chipset yang digunakan pada telefon pintar dan stesen pangkalan tanpa wayar. Jabatan Perdagangan AS mengatakan bahawa pengecoran asing akan diberi tempoh masa 120 hari untuk cip-cip yang sudah dalam pembuatan. 

Setiausaha Perdagangan AS Wilbur Ross mengatakan pada hari Jumaat bahawa Washington ingin mencegah Huawei daripada menghindari sekatan yang dikenakan sebelumnya terhadap penggunaan teknologi Amerika untuk merekabentuk dan menghasilkan semikonduktor di luar negara.

Huawei Technologies Ltd., jenama teknologi global pertama di China dan pembuat peralatan rangkaian dan telefon pintar, sedang berada di tengah-tengah konflik antara AS dengan China mengenai cita-cita perkembangan teknologi Beijing.

Pegawai Amerika mengatakan Huawei adalah risiko kepada keselamatan AS, yang mana telah dinafikan oleh syarikat itu.

Tidak jelas apa bentuk tindakbalas oleh China, tetapi kedua belah pihak sudah dalam konflik terbesar atas tuduhan AS mengenai pencurian hakcipta dan perdagangan yang tidak adil oleh firma-firma dalam ekonomi China yang dikuasai oleh negara.

Kanada menahan ketua pegawai kewangan Huawei, Meng Wanzhou, anak perempuan pengasas Huawei, pada bulan Disember 2018 dalam kes yang mencetuskan kemarahan diplomatik di antara ketiga-tiga negara dan perbincangan perdagangan AS-China yang rumit. China pula menahan dua warga Kanada sebagai pembalasan terhadap penangkapan Meng.

Sumber: Ctvnews

Catat Ulasan

0 Ulasan