TAHUKAH ANDA MAKNA NAMA-NAMA BANDAR DAN PEKAN DI SABAH?

Lamanfo.com

Laman Informasi

TAHUKAH ANDA MAKNA NAMA-NAMA BANDAR DAN PEKAN DI SABAH?









1. Manggatal

Nama ‘Manggatal’ diambil sempena nama sejenis pokok mangga yang buahnya apabila dimakan boleh menyebabkan kegatalan. Tempat itu kemudian disebut “Mangga Gatal”, namun lama kelamaan sebutan itu diringkaskan menjadi “Manggatal”. Sebelum ini dieja 'Menggatal' sebelum ditukar kepada 'Manggatal'. 



2. Tawau

Nama Tawau itu sendiri adalah berasal dari perkataan menuwau iaitu cara orang-orang dahulu memancing ikan. Tawau ini dahulu merupakan perkampungan nelayan. 

Kemudiannya panggilan itu lebih dikenali dengan sebutan ‘Tawao” mengikut panggilan masyarakat Suluk yang merupakan penduduk majoriti di sekitar perairan wilayah Kesultanan Melayu Islam Sulu.



3. Penampang

Nama “Penampang” diambil daripada nama salah sebuah kampung yang terawal di daerah itu, iaitu Kampung Penampang yang terletak di tepi Sungai Moyog/Petagas. 

Ia berasal daripada perkataan Kadazan yang bermaksud “batu besar”. Ini kerana pada masa itu terdapat banyak batu besar di kampung tersebut. Lama-kelamaan sebutan “Pampang” bertukar menjadi Penampang.



4. Putatan 

Putatan mendapat namanya daripada sejenis pokok yang digelar Pokok Putat yang tumbuh dengan banyak di sekitar daerah Putatan.

Berdasarkan cerita lisan, Putatan adalah sebuah pekan kecil yang dikenali sebagai ‘Putat Town’ oleh penjajah Inggeris suatu ketika dahulu. Namun di kalangan penduduk tempatan, ‘Putat Town’ dikenali sebagai Putatan atas sebab sebutan dalam dialek tempatan hinggalah ke hari ini.



5. Papar 

Papar suatu ketika dahulu terletak di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei. Jadi, asal usul nama Papar adalah daripada perkataan melayu Brunei yang bermaksud tanah rata. 



6. Tuaran 

Nama Tuaran dipercayai berasal dari perkataan Melayu iaitu tawaran. Maksudnya ialah ‘jualan’ atau ‘tawar’ atau ‘diskaun’ atau ‘promosi’. 

Nama ini dipercayai berasal daripada fungsi pasar dimana para penduduk bumiputera yang datang dari perkampungan tepi bukit dan genting bukit datang ke sini untuk menjual hasil tanaman mereka kepada para nelayan pantai dan masyarakat Cina pantai.



7. Kota Belud 

Nama Kota Belud ini berasal daripada bahasa Bajau iaitu “kota”. Maksudnya ialah kubu pertahanan manakala “belud” pula bermaksud bukit. Jadi, Kota Belud ini dirujuk sebagai “Kubu Pertahanan di atas Bukit”.



8. Ranau 

Asal-usul nama Ranau dipercayai berasal dari perkataan Ranahon. Perkataan Ranahon ini membawa maksud kawasan sawah padi dalam bahasa Kadazan Dusun.

Masyarakat Kadazan Dusun yang tinggal di daerah Ranau ini cukup dikenali dengan menjalankan aktiviti menanam padi huma atau padi bukit. Hal ini adalah kerana ia amat bersesuaian dengan bentuk muka bumi di kawasan Ranau yang berbukit-bukau.

Buat mereka yang tinggal di kawasan lembah Ranau, mereka lebih kepada mengusahakan tanaman padi sawah atau dalam bahasa tempatan disebut sebagai Ranahon. Perkataan Ranahon ini akhirnya telah disingkatkan dan dipendekkan menjadi Ranau.



9. Telupid 

Pada suatu ketika dahulu, di sepanjang Sungai Telupid terdapat sejenis pokok yang tumbuh dengan banyaknya yang dipanggil Tapid-Apid dalam bahasa penduduk tempatan dari suku kaum Dusun di Telupid pada ketika itu.

Pokok tersebut digunakan oleh penduduk tempatan untuk keperluan harian mereka sama ada untuk tujuan aktiviti pertanian mahupun nelayan.

Memandangkan pokok tersebut begitu dominan dalam kehidupan mereka, mudah diperolehi dan memudahkan aktiviti kehidupan harian mereka maka penduduk Daerah Telupid telah menamakan daerah ini mengambil sempena nama pokok tersebut dengan nama TELUPID.



10. Kudat 

Kaum Rungus merupakan penduduk asal Kudat sebelum kedatangan kaum-kaum lain. Kudat dipanggil sebagai “Tonjung Berungus” atau disebut juga sebagai Tambarungus. 

Mengikut cerita yang diceritakan oleh kaum Rungus, terdapat beberapa orang peniaga Cina yang datang ke Tanjung Berungus. Ketika itu, Kudat dipenuhi oleh rumput lalang,  membuatkan peniaga Cina yang hairan melihat rumput-rumpai yang tumbuh di merata-rata.

Peniaga Cina bertanya tentang rumput tersebut kepada penduduk yang ketika itu terdiri daripada kaum Rungus  yang memberitahu mereka bahawa rumput itu bernama “Kutad” yang membawa maksud “Rumput Lalang” dalam bahasa Rungus.

Peniaga Cina yang tidak dapat menyebut perkataan “kutad” kerana pelat telah menyebutnya sebagai Kudat.

Namun begitu, menurut cerita lisan yang diceritakan oleh penduduk tempatan, nama Kudat berasal dari satu peristiwa yang berlaku pada 100 tahun yang lalu.

Dikatakan pada suatu malam, semasa penduduk di pinggir laut sedang tidur, mereka dikejutkan dengan bunyi yang kuat dari hon sebuah kapal “Santi” yang menyebabkan mereka menjerit “takuddat aku” sambil berlari.

Seterusnya perkataan ‘takuddat’ dipendekkan dan menjadi ‘Kudat’, dan perkataan ini dikekalkan menjadi nama bagi tempat ini.



11. Beaufort 

Nama Beaufort diambil sempena memperingati seorang gabenor bernama Leicester P. Beaufort yang telah mentadbir Sabah antara tahun 1896 hingga 1900. Sebelum ini, daerah ini dinamakan Padas bersempena dengan nama sungai Padas yang mengalir di daerah ini.



12. Kuala Penyu

Lagenda sebiji batu berbentuk seekor mamalia yang menyerupai penyu kini dipercayai masih wujud terbenam di Kuala Sungai Tasik Sitompok yang membawa nama asal dengan sebutan "Sitompok" telah melahirkan nama sebuah daerah hingga ke hari ini sebagai daerah Kuala Penyu. 



13. Menumbok

Mengikut sejarah dan cerita dari nenek-moyang, nama Menumbok ini telah diambil bersempena dengan nama sejenis ikan pada masa dahulu iaitu nama Ikan Menumbuk. 



14. Keningau

Keningau ini dahulunya adalah merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di kawasan pedalaman Sabah yang mana hari ini telah pun berkembang maju dan menjadi bandar tumpuan orang ramai.

Mengikut cerita orang lama, kawasan Keningau ini dahulunya merupakan sebuah perkampungan yang banyak ditumbuhi oleh pokok kayu Manis atau lebih dikenali sebagai Pokok Keningau.

Dalam bahasa kaum Murut, mereka menyebutnya sebagai Kayu Keningau iaitu sejenis rempah yang digunakan untuk memasak. Kedatangan orang Inggeris ke kawasan tersebut turut menjadikan menjadikan kulit kayu Keningau sebagai salah satu barang dagangan mereka.

Oleh yang demikian, secara tidak langsung kawasan tersebut menjadi antara pengeluar kulit kayu Keningau yang penting pada ketika itu.

Asalnya, Keningau ini adalah merupakan sebahagian daripada wilayah Brunei semasa pemerintahan Kesultanan Brunei dan Sulu yang mana ia berlaku dalam sekitar tahun 1860.

Pada waktu itu, Keningau adalah merupakan antara pusat perdagangan rempah ratus yang terbesar di wilayah Brunei.

Disebabkan laluan perdagangan Selat Melaka dari seluruh pelosok dunia, persisiran pantai barat Jesselton (Kota Kinabalu) menjadi tempat strategik selepas tumpasnya pangkalan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (BNBCC) di Pulau Gaya oleh Mat Salleh dan orang Bajau dan kemusnahan bandar Sandakan pada masa itu.



15. Semporna 

'Tong Talun’ adalah merupakan nama asal bagi daerah Semporna yang bererti “Hujung Hutan” dalam istilah Suku Kaum Bajau. Orang yang bertanggungjawab untuk menamakan Tong Talun ialah Panglima Uddang, Panglima Sallehangni dan Panglima Sakti dari keturunan Bajau Kubang.

Ini kerana pada ketika itu daerah Semporna diliputi/diselubungi oleh hutan belantara di awal penemuannya. Kemudian, Tong Talun telah ditukar dengan nama SEMPORNA yang membawa pengertian “Tempat Yang Aman atau Damai” sehinggalah sekarang.



16. Lahad Datu

Perkataan Lahad Datu berasal dari bahasa Bajau, iaitu “Lahad” bererti tempat dan “Datu” membawa makna orang-orang kenamaan pada zaman dahulu.

Tempat ini mendapat nama kerana penghijrahan golongan Datu-datu dari kerajaan Suluk yang diketuai oleh Datu Puti sebelum tahun 1879 akibat daripada penyerahan kuasa kawasan ini oleh Sultan Brunei kepada Sultan Suluk.



17. Tambunan

Pada zaman dahulu kawasan Tambunan hanya dipenuhi oleh hutan hujan tropika. Hutan di situ penuh dengan pelbagai jenis haiwan, daripada lintah yang menghisap darah hinggahlah kerbau liar Borneo. Tidak ada manusia yang tinggal di situ pada mulanya.

Namun demikian beberapa lama kemudian peneroka mula berhijrah ke selatan dari Nunukragang dan beberapa orang daripada mereka menetap di Tambunan. Kumpulan orang pertama yang sampai ketika itu dipimpin oleh Gombunan.

Beliau seorang pahlawan dari kalangan puak Nunukragang, di samping juga seorang pemimpin yang berkebolehan dan baik hati. Beliau mula meneroka dataran Tambunan yang subur disamping pengikutnya termasuk isteri dan anak mereka.

Mereka menanam tanaman seperti padi huma, jagung ubi kayu, labu dan keladi merupakan aktiviti utama kaum wanita. Kaum lelaki pula banyak menghabiskan masa dengan memburu binatang liar daripada tupai hingga babi hutan dan rusa.

Penduduk kampung itu menggelarkan diri mereka orang dataran (oleh kerana mereka tinggal di dataran Tambunan) menjadi bertambah maju dan aman damai dan berharmoni di bawah kepimpinan Gombunan.

Tetapi pada satu hari, sekumpulan pahlawan yang ganas dari puak Tonsundung yang datang dari kawasan berbukit-bukau datang di sebelah timur menyerang orang dataran. Mereka memusnahkan tanam tanaman dan harta benda lain dan juga membunuh sebahagian daripada orang kampung itu.

Gombunan dan pahlawannya bertindak cepat dan berjaya menghalau mereka dan penyerang-penyerang tersebut telah mengalami kecedreraan yang teruk. Puak Tonsundung yang marah atas kekalahan mereka itu bercadang hendak membalas dan membunuh Gombunan.

Kejadian itu berlaku pada satu hari lebih kurang 30 orang pahlawan Tonsundung menangkap Gombunan yang ketika itu bersendirian di ladangnya dan membunuhnya. Mereka mencincang badannya dan membawa balik kepalanya sebagai tanda kemenangan.

Kepala Gombunan digantung pada tiang yang tinggi untuk membolehkan orang Tonsundung membaca mentera dan memperolokan kematian ketua orang dataran. Orang Dataran amat berdukacita apabila mengetahui kematian ketua mereka.

Mereka berkabung beberapa hari sebagai tanda menghormatinya dan bersumpah akan membalas atas kematiannya. Sebagai mengenang akan jasanya mereka telah menamakan penempatan mereka itu GOMBUNAN .

Dalam pada masa itu satu lagi puak dari kawasan berbukit-bukau di sebelah barat datang berhijrah di dataran. Mereka adalah puak Tamadon. Orang Tamadon merupakan orang yang ramah dan baik hati terhadap puak Gombunan.

Mereka bersedia menghulurkan bantuan bagi memerangi puak Tonsudung kerana lambat-laun puak Tonsundung akan menyerang puak Tamadon. Oleh itu sebagai langkah mengelakan sebarang serangan yang mengejutkan daripada puak Tonsundung, puak Tamadon pun bergabung dengan puak Gombunan.

Pada masa yang sama puak Tonsudung juga merancang hendak membunuh semua puak Gombunan. Mereka sebenarnya tidak sedar akan adanya gabungan dan pakatan daripada puak Gombunan dan puak Tamandon.

Sampai sahaja masanya puak Tonsundung pun melaksanakan niat jahat mereka, maka terperanjatlah mereka bahawa bilangan pihak lawan mereka bertambah ramai. Walaupun begitu pertempuran darah yang dashyat berlaku juga, lebih setengah bilangan puak Tonsundung telah terbunuh.

Pahlawan yang terselamat pula telah melarikan diri ke hutan di sebelah timur untuk beberapa lama tidak kelihatan dibanding dengan mereka jumlah yang mengalami kecederaan hanya sedikit.

Puak Gombunan dan puak Tamadon merayakan kemenangan mereka dengan mengadakan pesta besar besaran, makanan dan minuman tapai dihidangkan dengan banyaknya. Kemuncak upacara itu ialah menamakan semula penempatan dari Gombunan ke Tambunan.

Selepas mendapat persetujuan orang orang tua kedua pihak. TAM diambil dari Tamadon dan BUNAN diambil dari Gombunan dengan itu lahirlah TAMBUNAN hingga sekarang.



18. Beluran 

Beluran dahulunya adalah lebih dikenali sebagai Daerah Labuk-Sugut dan dicatatkan telah wujud sejak awal Pentadbiran British North Borneo Chartered Company, ia juga dinyatakan sebagai antara Daerah yang terawal di Negeri Sabah.

Nama bagi Beluran diambil sempena nama bukit yang menjadi “Land Mark” pekan tersebut, iaitu dalam bahasa Dusun Labuk, Sungai dan Tidong disebut “Buludan”.

Pertukaran nama terjadi akibat daripada salah sebutan dan ejaan dalam surat menyurat oleh warga Inggeris yang tidak fasih menyebut perkataan dalam bahasa tempatan menyebabkan Buludan bertukar kepada Beluran dan kekal sehingga kini.

Buludan adalah kata dalam bahasa Dusun yang diberi penambahan “an” dihujung kata “bulud” penambahan kata “an” kepada Buludan tersebut adalah bagi menggambarkan makna kata tersebut sebagai ‘hanya dapat sampai dengan berjalan kaki bertongkatkan tulang betis‘.

Perkataan “bulud” adalah merupakan kata dasar kepada perkataan “Buludan”. “Bulud” adalah kata nama di bahagian kaki manusia mahupun binatang atau dalam bahasa Dusun Talantang bermaksud tulang betis, perkataan ini adalah yang menterjemahkan kata nama “betis” dalam bahasa Melayu.

Jadi secara mudahnya kata “Buludan” ini dapatlah di diertikan sebagai “MEMBETIS” dalam bahasa Melayu atau dalam konteks pemaknaan dalam bahasa Dusun Sugut adalah “Hanya dapat sampai dengan berjalan kaki bertongkatkan tulang betis”.



Sumber: Twitter Mat Hades @hadesmelayu, Sabah Best of Borneo, MyWilayah dan Google Image. 

Post a comment

0 Comments