Lamanfo.com

Laman Informasi

APA ITU SUKUK?


Sukuk (Bahasa Arab: صكوك‎, jamak صك Sakk) adalah nama di dalam bahasa Arab bagi sijil-sijil kewangan, tetapi biasanya merujuk kepada bon dalam kewangan Islam. 

Sukuk adalah satu sijil kewangan Islam yang mengambil konsep sama seperti bon dalam kewangan Barat. Sukuk yang dikeluarkan perlu mematuhi undang-undang agama Islam yang dikenali sebagai Syariah.

Struktur membayar faedah terhadap pelaburan bon dalam tradisional Barat adalah tidak dibenarkan kerana mengandungi unsur-unsur riba maka wujudlah penerbitan sukuk yang menggantikan konsep bon dengan menjual sijil kepada para pelabur dan kemudian menggunakan hasil jualan sukuk itu untuk membeli sesuatu aset.

Para pelabur akan memiliki aset sokongan dan pulangan terhadap aset sokongan tersebut akan dibayar secara tetap dalam tempoh masa yang panjang. Penerbit sukuk juga perlu membuat janji kontrak untuk membeli balik sukuk tersebut pada tarikh hadapan pada nilai par.


3 Persamaan Sukuk Dan Bon Konvensional

1. Kedua-duanya menyediakan pelabur dengan aliran pembayaran tetap. Pelabur Sukuk menerima keuntungan yang dijana oleh aset sandaran secara berkala manakala pelabur bon menerima bayaran faedah juga secara berkala.

2. Bon dan sukuk diterbitkan untuk para pelabur.

3. Kedua-duanya dianggap sebagai pelaburan yang lebih selamat daripada ekuiti.


4 Perbezaan Utama Sukuk Dan Bon Konvensional

1. Sukuk melibatkan pemilikan aset manakala bon adalah obligasi hutang.

2. Jika harga aset sokongan sukuk meningkat, maka keuntungan bulanan pelabur juga meningkat manakala keuntungan kadar faedah bon adalah tetap.

3. Aset sokongan sukuk mestilah mematuhi Syariah manakala penerbitan bon berkemungkinan mengandungi unsur-unsur riba dan boleh membiayai perniagaan yang tidak mematuhi syariah.

4. Penilaian sukuk adalah berdasarkan kepada nilai aset sokongan mereka  manakala harga bon sebahagian besarnya ditentukan oleh penarafan kredit.


Terdapat 5 Jenis Sukuk:

1. Sukuk Mudharabah

Kontrak perkongsian keuntungan antara dua pihak – pelabur dan Penerbit. Semua keuntungan akan dikongsi berdasarkan nisbah perkongsian keuntungan yang telah dipersetujui.

Walau bagaimanapun, dalam kes kehilangan – semua akan ditanggung oleh pelabur melainkan jika ia adalah disebabkan oleh kecuaian atau salah urus pengurusan perkongsian tersebut, maka kerugian tersebut kemudiannya akan ditanggung oleh Penerbit.

2. Sukuk Musharakah

Satu perkongsian antara dua pihak atau lebih untuk membiayai usaha niaga perniagaan. Semua pihak menyumbangkan modal kepadanya sama ada dalam bentuk wang tunai atau benda untuk tujuan membiayai usaha ini.

Keuntungan bagi usaha itu akan diagihkan berdasarkan nisbah perkongsian keuntungan yang telah di persetujui. Walau bagaimanapun, kerugian dikongsi berdasarkan berdasarkan sumbangan modal.

3. Sukuk Murabahah

Kontrak jual beli aset di mana kos dan margin keuntungan (harga mark up) adalah diketahui untuk semua pihak.

4. Al-Wakalah

Secara umum, ia adalah kontrak di mana pihak yang membenarkan pihak lain (biasanya ejen atau “Wakeel”) untuk bertindak bagi pelabur berdasarkan terma dan syarat yang di persetujui selagi dia masih hidup.

Di sini, “Wakeel” dilantik untuk menguruskan portfolio wakalah dengan tujuan untuk mendapatkan persetujuan terhadap pulangan keuntungan.

5. Ijarah

Kontrak yang mempunyai pemilik aset (pemberi pajak/lessor) bersetuju menyewakan aset tersebut kepada penerima pajak (lessee) dalam satu perjanjian sewa pajakan untuk tempoh pajakan yang telah ditetapkan.

Walau bagaimanapun, hak milik sendiri aset tersebut tidak dipindahkan dan akan sentiasa kekal dengan pemajak.


Malaysia Merupakan Pengeluar Sukuk Terbesar Dunia. 



Kalau nak tahu, negara kita merupakan pengeluar Sukuk terbesar dunia. Kita menguasai hampir separuh daripada pasaran Sukuk dunia pada tahun 2016.


Sukuk Prihatin 

Penerbitan Sukuk Prihatin RM500 juta yang juga sukuk digital pertama Malaysia dan patuh syariah dilancarkan baeu-baru ini boleh dilanggan dengan pelaburan minimum RM500 serta tiada had maksimum langganan ditetapkan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sukuk itu diterbitkan hasil permintaan pelbagai pihak untuk turut sama membantu dalam usaha pemulihan negara dan ia boleh dilanggan atau dibeli seratus peratus melalui perkhidmatan perbankan digital, menggunakan kemudahan JomPAY dan DuitNow.

"Kadar keuntungan dua peratus setahun, selama dua tahun. Ini satu kadar kompetitif memandangkan ia ditetapkan selama dua tahun. Keuntungan dikreditkan ke dalam akaun pelabur setiap suku tahun," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Sukuk Prihatin di sini, semalam.

Pelancaran Sukuk Prihatin itu disaksikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka juga berkenan menjadi pelabur terawal sukuk berkenaan.

Turut hadir ialah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, tempoh langganan Sukuk Prihatin bermula semalam hingga 17 September depan dan keuntungan akan dibayar setiap suku tahun serta dikecualikan cukai.

Kementerian Kewangan berkata, sukuk itu instrumen patuh syariah berlandaskan prinsip Tawarruq melalui pengaturan Komoditi Murabahah untuk warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas.

Maybank adalah bank pengedar utama sukuk itu.

Tengku Zafrul berkata, Sukuk Prihatin ini satu inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang dilancarkan perdana menteri pada 5 Jun lalu.

"Di dalam strategi 6R Kerajaan yang merangkumi enam pendekatan iaitu Resolve, Resilience, Restart, Recovery, Revitalise dan Reform, hasil penerbitan sukuk ini akan digunakan untuk langkah Pemulihan atau Recovery, iaitu pendekatan yang keempat.

"Sukuk ini diharap dapat membantu usaha menjamin kesejahteraan hidup pihak berkepentingan yang disasarkan," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya berkata, langganan daripada terbitan Sukuk Prihatin itu akan disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Covid-19, yang akan membiayai program bagi manfaat pihak yang terkesan oleh Covid-19.

Antaranya, menambah baik kesalinghubungan kepada sekolah-sekolah luar bandar, membiayai perusahaan kecil dan sederhana serta mikro terutama usahawan wanita dan menampung geran penyelidikan penyakit-penyakit berjangkit.


Sumber: Wikipedia, Majalah Labur, Harian Metro


<undur                                           seterusnya>

Catat Ulasan

0 Ulasan