Soalan 1: Apakah maksud darurat
Jawapan:
Darurat maksudnya suatu keadaan berkaitan keselamatan,
ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem
pentadbiran biasa.
Pengisytiharan darurat adalah suatu pemasyhuran yang dibuat
oleh Yang di-Pertuan Agong melalui suatu pewartaan bahawa keadaan tersebut
telah wujud atau hampir berlaku.
Soalan 2: Apakah
kesan pengisytiharan darurat
Jawapan:
Kesan umum pengisytiharan darurat ialah, Perlembagaan
digantung dan pentadbiran negara adalah ditentukan oleh pihak eksekutif.
Tentera juga boleh mengambil alih teraju dalam hal berkaitan
keselamatan sekiranya keadaan memerlukan, lebih-lebih lagi apabila darurat
diisytiharkan kerana berlakunya ancaman kepada keselamatan negara.
Parlimen masih boleh bersidang sekiranya tidak dibubarkan.
Ketika proklamasi darurat berkuat kuasa, kuasa eksekutif
Persekutuan adalah juga meliputi semua perkara dalam kuasa perundangan Negeri
dan memberi arahan kepada kerajaan negeri atau mana-mana pegawai atau pihak
berkuasa Negeri. (Perkara 150(4)).
Kesan lain, dari segi pentadbiran dan perundangan
dibincangkan dalam jawapan kepada soalan seterusnya.
Soalan 3: Adakah
pengisytiharan darurat dibenarkan oleh Perlembagaan
Jawapan:
Ya. Perlembagaan membenarkan pengisytiharan darurat melalui
Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 150 adalah satu daripada tiga peruntukan yang berada
di bawah Bahagian XI Perlembagaan Persekutuan, iaitu Bahagian berkaitan Kuasa
Khas Menentang Perbuatan Subversif, Keganasan Terancang, Dan Perbuatan Dan
Jenayah Yang Memudaratkan Orang Awam Dan Kuasa Darurat.
Bahagian XI ini membenarkan undang-undang bagi tujuan
pencegahan dibuat, termasuklah tahanan pencegahan bagi tujuan menangani keadaan
darurat.
Soalan 4: Apakah yang
membolehkan Yang di-Pertuan Agong membuat pengisytiharan darurat
Jawapan:
Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat di bawah
Per 150(1) Perlembagaan Persekutuan jika darurat besar kepada keselamatan atau
kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana
bahagiannya (TELAH) wujud.
Di bawah Perkara 150(2), Yang di-Pertuan Agong juga boleh
membuat proklamasi darurat sekiranya baginda berpuas hati ancaman darurat
besar, atas sebab keselamatan negara, atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman
awam HAMPIR BENAR berlaku.
Tiga asas atau alasan boleh digunakan oleh Yang di-Pertuan
Agong bagi membuat pengisytiharan darurat, iaitu, ancaman ke atas
i. Keselamatan negara; atau
ii. Kehidupan ekonomi; atau
iii. Ketenteraman awam
Soalan 5: Bilakah dan
di manakah darurat boleh diisytiharkan
Jawapan:
Darurat boleh diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada
bila-bila masa, sama ada semasa Parlimen masih ada, sedang bersidang atau pun
tidak, atau juga semasa parlimen bubar.
Syarat yang diperlukan ialah, telah dibuktikan elemen yang
dinyatakan, iaitu ancaman atau darurat atas keselamatan, kehidupan ekonomi atau
ketenteraman awam telah atau hampir benar berlaku.
Darurat boleh diisytihar atas seluruh Persekutuan atau
mana-mana bahagian dalam Persekutuan. Perkara 150(1) dan (2).
Soalan 6: Adakah Yang
di-Pertuan Agong membuat pengisytiharan darurat atas kuasanya sendiri atau atas
nasihat Perdana Menteri
Jawapan:
Pengisytiharan darurat ialah kuasa prerogatif Yang
di-Pertuan Agong.
Kuasa prerogatif ringkasnya bermaksud kuasa yang dimiliki
oleh institusi beraja dari awal bahkan jauh sebelum gubalan Perlembagaan
Persekutuan bagi Tanah Melayu (Malaysia).
Kuasa tersebut kekal dalam milik institusi beraja. Walau
bagaimana pun persoalan timbul ialah adakah kuasa prerogatif tersebut
dilaksanakan secara budi bicara atau atas nasihat Perdana Menteri?
Perkara 150(1) menyatakan “Jika Yang di-Pertuan Agong
berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan
keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam
Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong
boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu
perisytiharan yang bermaksud sedemikian”.
Frasa “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati” atau dalam
bahasa Inggeris, “if the Yang di-Pertuan Agong is satisfied” menjadi persoalan,
adakah puas hati Yang di-Pertuan Agong seorang diri (as sole judge) atau atas
nasihat.
Beberapa keputusan kes telah membuat pernyataan tentang
perkara ini.
Kes Stephen kalong Ningkan (No.2) (tahun 1968) menyatakan
bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat sekiranya baginda
berpuas hati.
Barakbah Lord President, dalam keputusan majoriti menyatakan
“….In my opinion the Yang di-Pertuan Agong is the sole judge…”
Walaubagaimana pun, keputusan kes Teh Cheng Poh oleh Privy
Council pada tahun 1979 menyatakan tindakan Yang di-Pertuan Agong adalah atas
nasihat Jemaah Menteri.
Ini adalah kedudukan undang-undang yang disepakati.
Lord Diplock menyatakan:
“Although this, like other powers under the Constitution, is
conferred nominally upon the Yang di Pertuan Agong by virtue of his office as
the Supreme Head of the Federation and is expressed to exercisable if he is
satisfied of a particular matter, his functions are those of a constitutional
monarch and except on certain matters that do not concern the instant appeal,
he does not exercise any of his functions under the Constitution on his own
initiative but is required by Article 40(1) to act in accordance with the
advice of the Cabinet.
So when one finds in the Constitution itself or in a Federal
law powers conferred upon the Yang di-Pertuan Agong that are expressed to be
exercisable if he is of opinion or is satisfied that a particular state of
affair exists or that particular action is necessary, the reference to his
opinion or satisfaction is in reality a reference to the collective opinion or
satisfaction of the members of the Cabinet, or the opinion or satisfaction of a
particular Minister to whom the Cabinet have delegated their authority to give
advice upon the matter in question”.
Justeru, menerusi keputusan kes Teh Cheng Poh ini,
pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong perlu dibuat atas nasihat
Perdana Menteri, atau Jemaah Menteri, atau seorang Menteri yang diberikan kuasa
oleh Jemaah Menteri.
Soalan 7: Adakah
Keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytihar darurat dan membuat Ordinan
semasa darurat boleh dipersoalkan (justiciable)
Jawapan:
Keputusan kes Stephen kalong Ningkan (No.2) secara nyata
Barakbah Lord President, dalam keputusan majoriti menyatakan “….In my opinion
the Yang di-Pertuan Agong is the sole judge and once His Majesty is satisfied
that a state of emergency exists, it is not for the court to inquire as to
whether of not he should have been satisfied”.
Maksudnya, menurut Ketua Hakim Barakbah, mahkamah tidak
boleh mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong.
Pandangan majoriti ini disanggah oleh Ong Hock Thye, Hakim
Mahkamah Persekutuan, dalam penghakiman sama. Hakim Ong Hock Thye menyatakan
pandangan minoriti.
Beliau menyatakan:
“His Majesty is not an autocratic ruler since Article 40(1)
of the Federal Constitution provides that “in the exercise of his function
under this Constitution or federal law the Yang di-Pertuan Agong shall act in
accordance with the advice of the Cabinet…Article 150 specifically provide that
the emergency must be one ‘whereby the security or economic life of the
Federation or any part thereof is threatened.. If those words of limitation are
not meaningless verbiage….Article 150 does not confer on the Cabinet an
untrammeled discretion to cause an emergency to be declared at their mere whim
and fancy.”
Maksudnya, Yang di-Pertuan Agong bukan memerintah secara
autokratik kerana baginda bertindak atas nasihat.
Dalam pelaksanaan kuasa baginda, mahkamah boleh memeriksa
keputusan yang dibuat oleh baginda dan juga Jemaah Menteri ketika membuat
proklamasi darurat supaya ia terhad kepada keadaan yang disebut, iaitu
keselamatan negara dan kehidupan ekonomi.
Perkara 150 tidak memberikan kuasa budi bicara yang tidak
teratur.
Keputusan Teh Cheng Poh, seperti yang dipetik di atas adala
juga menyatakan tindakan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 boleh
disemak oleh mahkamah.
Selepas keputusan kes Teh Cheng Poh seperti yang dipetik di
atas, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dengan memasukkan peruntukan yang
secara jelas TIDAK membenarkan mahkamah menyemak keputusan Yang di-Pertuan
Agong, atau apa-apa tindakan yang dibuat oleh baginda berkenaan kuasa, fungsi
dan peranan di bawah Perkara 150. Hal ini terdapat pada Perkara 150(8) yang
menyatakan:
Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan Persekutuan ini
–
(a) hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut Fasal
(1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar
atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan; dan
(b) tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk
melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa
jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan
(i) sesuatu Proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu
perisytiharan yang dibuat dalam Proklamasi itu yang bermaksud seperti yang
dinyatakan dalam Fasal (1):
(ii) kuat kuasa berterusan Proklamasi itu;
(iii) mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal
(2B); atau
(iv) penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan itu.
Walaupun begitu, Fasal 8 ini belum diuji di mahkamah.
Soalan 8: Apakah
kuasa Yang di-Pertuan Agong berkaitan Pengisytiharan Darurat
Jawapan:
Kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 mengenai pengisytiharan
darurat termasuk kuasa untuk membuat proklamasi yang berlainan atas alasan
berlainan atau keadaan berlainan.
Ini bermaksud Yang di-Pertuan Agong boleh membuat beberapa
proklamasi darurat pada masa sama atau pada masa berlainan. Hal ini terdapat
dalam Perkara 150(2A).
Soalan 9: Bilakah
Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan Darurat
Jawapan:
Yang di-Pertuan Agong boleh boleh mengisytiharkan dan
menguatkuasakan darurat ketika Majlis Parlimen masih ada, sama ada semasa
berlaku persidangan atau tidak, atau ketika Parlimen telah dibubarkan.
Soalan 10: Apakah
peranan Yang di-Pertuan Agong semasa Darurat
Jawapan:
Sekiranya proklamasi dibuat semasa Majlis Parlimen tidak
bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan undang-undang,
yang dinamakan Ordinan, sekiranya baginda berpuas hati hal atau keadaan
tertentu menyebabkan perlu bagi baginda mengambil tindakan serta merta. Ini
disebut dalam Perkara 150(2B).
Maksud “Majlis Parlimen tidak bersidang serentak” boleh
difahami dalam fasal (9) Perkara 150, yang memperuntukkan “Majlis-Majlis
Parlimen hendaklah dikira sebagai bersidang HANYA jika ahli setiap Majlis itu
masing-masingnya berhimpun bersama dan menjalankan urusan Majlis”.
Sekiranya Parlimen telah mula bersidang secara serentak,
kuasa Yang di-Pertuan Agong terhenti dan kuasa perundangan dipulangkan kepada
Parlimen.
Sekiranya Parlimen telah kembali bersidang secara serentak,
semua kuasa membuat undang-undang kembali kepada Parlimen walaupun keadaan
darurat masih berlangsung.
Walaubagaimana pun, Parlimen boleh membuat Ordinan untuk
memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat undang-undang (keputusan
Privy Council dalam kes Teh Cheng Poh).
Soalan 11: Adakah
parlimen boleh membuat undang-undang semasa darurat
Jawapan:
Semasa keadaan darurat ini Parlimen boleh membuat Ordinan
jika didapati oleh Parlimen dikehendaki bagi tujuan darurat dan prosedur
perundangan boleh diketepikan.
Undang-undang ini adalah sah walaupun ia tidak selaras
dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kes En Keok Cheng, Wylie C.J menyatakan, “The true
effect of Article 150 is that, subject to certain exceptions set out therein,
Parliament has, during an emergency, power to legislate on any subject and to
any effect, even if inconsistencies with articles of the Constitution
(including the provisions on fundamental liberties) are involved”.
Fasal (2C) Perkara 150 menyatakan “…Parlimen berkuasa
membuat undang-undang, tanpa menghiraukan tatacara perundangan atau tatacara
lain yang dikehendaku diikuti, atau perkadaran jumlah undi yang dikehendaki
diperoleh dalam mana-mana satu Majlis Parlimen”.
Lihat juga Perkara 150(5), yang mana Parlimen boleh membuat
undang-undang tanpa persetujuan atau keizinan, atau tanpa perundingan bersama
mana-mana pihak sebagaimana disyaratkan oleh undang-undang.
Parlimen tidak boleh membuat Ordinan darurat dalam beberapa
perkara tertentu sahaja, iaitu Hukum Syarak (Undang-Undang Islam), adat Melayu
atau undang-undang atau adat anak Negeri di Sabah dan Sarawak.
Parlimen juga tidak boleh membuat Ordinan yang tidak selaras
dengan peruntukan Perlembagaan dalam perkara berhubungan dengan agama,
kewarganegaraan atau bahasa. (Lihat 150(6A)).
Proklamasi darurat dan Ordinan yang dibuat oleh Yang
di-Pertuan Agong semasa darurat hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua
Majlis Parlimen apabila keduanya bersidang serentak.
Soalan 12: Apakah
kesan Ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong semasa Darurat
Jawapan:
Ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong itu
adalah berkuat kuasa dan berkesan seolah-olah ia adalah Akta Parlimen.
Ia boleh berkesan sehingga dibatalkan. Setelah Parlimen
bersidang, Ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah
dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.
Ordinan tersebut boleh diteruskan sekiranya diluluskan dan
hendaklah dihentikan sekiranya tidak diluluskan oleh Parlimen.
Sekiranya Ordinan tersebut tidak diluluskan oleh Parlimen,
ia tidak memberi kesan ke atas apa jua yang berlaku sebelum itu menurut kuat
kuasa Proklamasi darurat atau Ordinan.
Bahkan, ketidaklulusan oleh Parlimen juga tidak menjejaskan
kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membuat proklamasi darurat yang lain atau
Ordinan yang lain bagi tujuan darurat lain tersebut. (Yang di-Pertuan Agong
boleh membuat beberapa proklamasi pada masa sama atau pada masa berbeza, atas
sebab yang sama atau atas sebab yang berbeza).
Soalan 13: Bolehkah
Yang di-Pertuan Agong membuat Ordinan Perbekalan (Bajet)
Jawapan:
Melihat kepada kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong,
yang mana baginda boleh, sekiranya perlu dan baginda berpuas hati, memasyhurkan
apa-apa ordinan semasa dua Majlis (Dewan) Parlimen tiada atau tidak bersidang
serentak, maka sekiranya baginda berpuas hati dan perlu bagi memasyhurkan
apa-apa perbelanjaan negara, baginda boleh berbuat demikian.
Namun setiap Ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong
hendaklah dibentangkan kepada kedua Majlis Parlimen setelah keduanya bersidang
serentak. Ordinan tersebut boleh dirungkaikan oleh resolusi yang dibuat oleh
Parlimen. (Lihat Perkara 150(2) dan (3)).
Soalan 14: Bilakah
Darurat akan Berakhir dan siapa yang mengumumkan darurat telah berakhir
Jawapan:
Perkara 150 tidak menyebut secara nyata tentang isu
pengungkaian (annulling) proklamasi darurat – bila dan siapa.
Perkara 150(3) menyebut secara tidak langsung, “Proklamasi
Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) … hendaklah
terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang
mengungkaikan Proklamasi…” Frasa yang bergaris ini menunjukkan pengungkaian
(annulment) suatu proklamasi dan undang-undang darurat yang dibuat oleh Yang
di-Pertuan Agong itu boleh dibuat melalui resolusi yang diluluskan oleh
kedua-dua Majlis Parlimen.
Kes The Cheng Poh menyatakan:
"The power to revoke, however, like the power to issue
a proclamation of emergency, vests in the Yang di-Pertuan Agong, and the
Constitution does not require it to be exercised by any formal instrument. In
their Lordships' view, a proclamation of a new emergency declared to be
threatening the security of the Federation as a whole must by necessary
implication be intended to operate as a revocation of a previous Proclamation,
if one is still in force."
Soalan 15: Apakah
akan berlaku kepada Ordinan yang dibuat semasa darurat apabila darurat berakhir
Jawapan:
Ordinan yang dibuat bagi tujuan darurat hendaklah terhenti
berkuatkuasa setelah tamat tempoh enam bulan dikira dari tarikh Proklamasi
Darurat terhenti berkuat kuasa.
Maksudnya Ordinan tersebut boleh berkuat kuasa lagi sehingga
habis tempoh enam bulan dari tarikh darurat berakhir. (Lihat Perkara 150(7)).
Sumber: Astro Awani
0 Ulasan