SABAH NEGERI PALING BANYAK MASJID DI MALAYSIA.

Lamanfo.com

Laman Informasi

SABAH NEGERI PALING BANYAK MASJID DI MALAYSIA.

PUTRAJAYA: Sabah terus kekal sebagai paling banyak masjid di Malaysia sepanjang tahun 2020 iaitu berjumlah 1,072 buah berbanding 1,045 buah pada 2019.

Perangkaan terbaharu itu disiarkan menerusi laman sesawang rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang turut memaparkan sejumlah 6,465 buah masjid terdapat di seluruh negara.

Menurut agensi itu, Sabah turut merekodkan bilangan masjid bertaraf mukim tertinggi di negara ini iaitu 1,042 buah pada 2020 daripada hanya 1,022 buah pada tahun sebelumnya.

Secara umum, negeri di bawah bayu itu memiliki sebuah masjid bertaraf negeri, lapan masjid kerajaan dan 21 masjid daerah untuk kegunaan sekitar 2.2 juta umat Islam di seluruh Sabah.

Penduduk Sabah berjumlah lebih 3.3 juta orang dengan majoriti besar Muslim dalam kalangan etnik Bajau sekitar 450,000 orang diikuti Melayu, Kadazan Dusun, Murut dan bumiputera lain.

Johor berada di tempat kedua terbanyak masjid di negara ini iaitu 822 buah pada tahun lalu daripada 805 buah pada 2019, malah paling banyak masjid bertaraf negeri iaitu empat buah.

Ini disusuli pula Perak (649 buah), Pahang (598 buah), Kelantan (584 buah), Kedah (577 buah), Terengganu (484 buah), Selangor (421 buah), Sarawak (369 buah), Negeri Sembilan (298 buah), Pulau Pinang (213 buah) dan Melaka (194 buah).

Jakim turut melaporkan negeri yang kurang masjid kerana saiz kecil iaitu Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya cuma tiga buah, diikuti WP Labuan (15 buah), WP Kuala Lumpur (67 buah) dan Perlis (99 buah).

Dalam pada itu, statistik agensi hal ehwal Islam nasional tersebut memaklumkan, Selangor masih kekal negeri paling banyak surau di Malaysia pada tahun lalu iaitu 2,170 buah.

Angka berkenaan meningkat dua buah berbanding rekod pada 2019, bahkan negeri itu tertinggi surau dengan kebenaran solat Jumaat di Malaysia iaitu 259 buah.

Kedah pula direkodkan paling banyak surau tanpa tauliah solat Jumaat di negara ini iaitu 2,065 buah, manakala Kelantan pula langsung sifar surau dengan kebenaran solat Jumaat.

Walau bagaimanapun, secara keseluruhan Kedah di tempat kedua paling banyak surau termasuk surau Jumaat selepas Selangor dengan 2,088 buah diikuti Johor (2,042 buah) dan Perak (1,973 buah).

Disusuli Terengganu (1,849 buah), Pahang (1,727 buah), Sabah (1,172 buah), Negeri Sembilan (1,106 buah), Kelantan (1,068 buah), Sarawak (832 buah), Melaka (811buah), Pulau Pinang (554 buah) dan WP Kuala Lumpur (513 buah).

Perlis (203 buah), WP Putrajaya (106 buah) dan WP Labuan (43 buah). Jumlah surau di seluruh Malaysia pada akhir tahun lalu ialah 18,257 buah termasuk 694 buah surau kebenaran solat Jumaat.

Angka itu menunjukkan penurunan berbanding sebanyak 18,311 buah pada 2019 tetapi surau tauliah solat Jumaat pula bertambah daripada 674 buah dicatatkan pada tahun berkenaan.


Sumber: Utusan Online


<undur.                                           Seterusnya> 

Catat Komen

0 Ulasan