Dan sesungguhnya pada binatang ternak itu benar-benar terdapat pengajaran bagi
kamu. Kami memberimu minum daripada apa yang berada dalam perutnya
(berupa) suatu yang bersih antara najis dan darah, yang mudah ditelan bagi orang-
orang yang meminumnya.
Ayat ini secara jelas menghuraikan bagaimana susu yang dihasilkan oleh binatang ternakan adalah suci dan halal diminum walaupun ia berada di antara najis dan darah. Susu ini terhasil dari makanan yang dimakan oleh haiwan tersebut yang kemudiannya diproses yang mana sebahagiannya menjadi darah, daging dan susu, manakala selebihnya menjadi najis.
Pada dasarnya, ulama sepakat untuk menerima konsep istihalah sebagai satu proses atau alat penyucian bahan bernajis. Walau bagaimanapun ulama berselisih dari skop pemakaian proses ini, ada yang menghadkan pemakaiannya kepada kes-kes dan syarat tertentu sahaja dan sebahagian yang lain yang memperluaskannya.
Bagi Mazhab Hanafi, Maliki dan Ibn Hazm, mereka berpendapat istihalah merupakan salah satu proses yang membolehkan sesuatu bahan yang najis menjadi suci sama ada terjadi secara semulajadi ataupun melalui perantaraan iaitu percampuran dengan bahan lain atau aktiviti lain seperti pembakaran. Alasan yang diberikan adalah bahawa zat asal sesuatu benda itu telah berubah kepada bentuk atau sifat lain.
Bagi Mazhab Syafie dan Hanbali, benda yang najis tidak menjadi suci dengan berubah sifat benda tersebut. Bagi mazhab Syafie, perubahan dari sesuatu yang haram kepada suci atau halal hanya berlaku dalam tiga perkara sahaja iaitu arak yang bertukar menjadi cuka secara semualajadi, kulit bangkai binatang selain anjing dan babi menjadi suci apabila disamak dan sesuatu yang berubah menjadi binatang hidup seperti bangkai berubah menjadi ulat kerana terjadi suatu kehidupan baru. Dalil yang digunakan adalah berdasarkan hadis yang mana Rasulullah SAW melarang arak yang hendak dijadikan cuka dengan mencampurkan bahan lain kepunyaan anak-anak yatim.
Sekiranya dibolehkan sudah tentu Rasulullah SAW tidak akan menyuruh para sahabat membuangkannya apatah lagi ia adalah milik anak yatim. Saidina Umar ra juga pernah berkata ”tidak halal cuka yang terjadi daripada arak yang dirosakkan zatnya sendiri.” Bagi kes samak pula ia adalah berdasarkan hadis ”sekiranya disamak kulit binatang maka ia adalah suci.”.
FATWA DAN IJTIHAD SEMASA.
Jika dilihat daripada fatwa-fatwa ulama Timur Tengah didapati mereka memakai pandangan mazhab Hanafi dan Maliki dalam ertikata memperluaskan penggunaan Istihalah. Ini dapat dilihat dalam resolusi Nadawah Pengurusan Islam ke 8 dalam Ilmu Perubatan yang diadakan di Kuwait memutuskan (Wahbah al-Zuhayli 1996 9/660-665):
1. Gelatin yang terbentuk daripada proses istihalah daripada tulang binatang najis, kulit dan uratnya adalah bersih dan halal dimakan.
2. Sabun yang dibuat melalui proses istihalah daripada lemak khinzir ataupun bangkai binatang adalah bersih dan harus digunakan.
3. Keju yang dihasilkan daripada rennet yang didapati daripada bangkai haiwan yang halal dimakan adalah bersih dan harus digunakan.
4. Alat-alat solek yang mengandungi lemak khinzir tidak boleh digunakan, kecuali jika telah pasti berlaku proses istihalah dan telah berlaku pertukaran ain atau zatnya.
5. Bahan makanan yang mengandungi lemak khinzir sebagai ingrediennya / kandungannya dengan tidak berubah zatnya seperti yang terdapat pada sesetengah keju, minyak, mentega, dadih, biskut, coklat dan aiskrim adalah haram dimakan.
Jika diperhatikan fatwa di atas berkaitan dengan industri pembuatan dan pemakanan hari ini, percampuran bahan suci dan yang tidak suci boleh berlaku dan istihalah boleh berlaku dan juga tidak berlaku. Garis panduan yang penting adalah berlaku pertukaran ain dan zat benda yang haram tersebut kepada suatu benda yang baru, maka ia adalah istihalah sahihah sebagaimana termaktub dalam resolusi nombor 4. Jika tidak berlaku pertukaran walaupun ia membawa nama yang baru seperti sabun, mentega, dadih dan sebagainya maka ia tetap haram sebagaimana dapat dilihat pada resolusi nombor 5. Bagi memastikan apakah istihalah benar-benar berlaku iaitu pertukaran ain atau zat maka ujian makmal diperlukan untuk memastikan ia benar-benar berlaku. Ini kerana pandangan mata kasar tidak beruapaya untuk mengenal pasti pertukaran zat dan ain bahan yang haram itu benar-benar berlaku.
Di Malaysia, kita dapati fatwa-fatwa berkaitan makanan adalah lebih mirip mengambil pandangan mazhab Shafie yang menolak konsep istihalah sebagaimana yang dipegang dalam mazhab Hanafi dan Maliki. Antaranya ialah:
1. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali ke 26 yang bersidang pada 7-8 Mac 1990 telah membuat keputusan bahawa keju adalah harus dimakan dengan syarat enzim yang digunakan sebagai campuran dalam pembuatannya adalah diperolehi daripada tumbuh-tumbuhan atau kulat dan sekiranya daripada binatang hendaklah binatang yang halal disembelih menurut cara Islam. Muzakarah juga membuat keputusan bahawa penggunaan agen aktif permukaan di dalam makanan adalah harus dengan syarat sumber-sumber agen aktif tersebut diperolehi daripada tanaman dan sekiranya daripada binatang hendaklah binatang halal yang disembelih menurut cara Islam.
2. Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa yang bersidang pada Julai 1999 memutuskan bahawa penggunaan proses bioteknologi dalam penyediaan makanan dan minuman yang menggunakan DNA babi adalah bercanggah dengan hukum syarak dan hukumnya haram.
3. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-73 yang bersidang pada 4 - 6 April 2006 telah membincangkan Status Kesucian Ikan Yang Diberi Makanan Tidak Halal. Muzakarah telah memutuskan bahawa Ikan yang dipelihara di dalam kolam ternakan dan seumpamanya adalah haram dimakan sekiranya ikan tersebut sengaja dipelihara di dalam air najis atau sengaja diberi makan najis seperti daging babi, bangkai atau sebagainya.
4. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-62 yang bersidang pada 16 Mac 2004 telah membincangkan mengenai Hukum Menggunakan Bakteria Yang Diambil Daripada Najis Bayi Sebagai Agen Pemangkin Dalam Yogurt. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum menggunakan bakteria kultur yang dipencilkan daripada sebarang najis sebagai agen pemangkin dalam yogurt adalah harus dengan syarat telah melalui proses pengasingan dan penyucian yang sejajar dengan hukum syarak kerana bakteria yang terdapat di dalam najis bayi adalah mutanajjis.
Keterangan/Hujah:
Bakteria adalah makhluk yang dijadikan oleh Allah SWT dan tiada nas yang menyebut tentang pengharaman atau statusnya sebagai najis. Walaupun bakteria selalu digambarkan menyebabkan penyakit namun kajian sains menyingkap satu lagi rahsia bukti kebesaran Allah SWT bahawa setiap sesuatu yang dijadikan di atas muka bumi ini tidak sia-sia. Berdasarkan kepada prinsip "setiap sesuatu pada asalnya adalah halal" dan " setiap sesuatu pada asalnya adalah harus" maka memanipulasi bakteria baik untuk manfaat manusia adalah tidak bertentangan dengan syariat. Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 12 Jul 1999 telah membincangkan Bioteknologi Dalam Makanan & Minuman. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
1. Barangan, makanan dan minuman yang diproses melalui kaedah bio-teknologi DNA babi adalah bercanggah dengan syarak dan hukumnya adalah haram.
2. Penggunaan bio-teknologi DNA babi dalam pemerosesan barangan, makanan dan minuman belum lagi sampai ke tahap yang boleh dikatakan darurat kerana masih ada pilihan bahan yang lain.
3. Ijtihad ini adalah berpegang kepada kaedah usul fiqh seperti berikut :درء المفاسد مقدم على جلب المصالح
Keterangan / Hujah
1. Bioteknologi adalah satu proses menggunakan sel organisma sama ada sel-sel bakteria, tumbuhan atau haiwan untuk menghasilkan sesuatu hasilan (produk). Penumpuan yang penting di sini ialah untuk melihat bahan-bahan asal yang diproses melalui proses bioteknologi ini akan dihukumkan halal atau haram.
2. Mengikut kaedah Usul Fiqh “Asal sesuatu perkara yang harus adalah hukumnya halal dan asal sesuatu yang haram adalah hukumnya haram. Apabila bercampur sesuatu yang halal dengan yang haram sama ada banyak atau sedikit, maka hukumnya adalah haram”.
3. Setiap organisma mengandungi sel sama ada sel pokok, sel haiwan atau manusia dan di dalam setiap sel mempunyai nukleus dan setiap nukleus mengandungi kromosom. Gen ini apabila dipotong boleh ditukar ganti, dipindah ke tempat lain sama ada dari haiwan ke pokok atau dari pokok ke haiwan. Di sinilah berlakunya proses nukleus di dalam sel yang terlibat dalam menghasilkan sintesis protein, jika sel atau gen datangnya dari babi, maka gen babi tadi boleh mengeluarkan protein dan dipanggil protein babi.
4. Dalam proses bioteknologi DNA, selagi bahan-bahan protein babi berada di dalam perumah atau rumah tumpang atau sel yang menjadi benih sama ada kepada manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan bagi tujuan pembiakan dan kesuburan, maka ia tidak boleh dihukum halal kerana bahan babi itu merupakan najis berat.
5. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke 73 yang bersidang pada 4 - 6 April 2006 telah membincangkan Hukum Wine Vinegar (Cuka Wain). Muzakarah telah memutuskan bahawa haram menggunakan Cuka Wain (Wine Vinegar) yang diproses dan dicampur dengan bahan-bahan luar. Walau bagaimanapun, sekiranya perubahan daripada cuka wain kepada cuka berlaku dengan sendirinya, maka ia adalah halal.
Walau bagaimanapun pandangan awal Muzakarah Jawatankuasa Fatwa 1981 terdahulu nyata sekali berbeza berbanding yang dilakukan pada 1991.
1. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali ke 2, 12-13 Mei 1981 memutuskan makanan yang diproses daripada bahan-bahan yang bercampur najis seperti darah lembu, darah babi dan lain-lain adalah harus dan halal.
Dalam menangani masalah makanan dan minuman hari ini, ramai penyelidik berpendapat bahawa pandangan mazhab Hanafi adalah pandangan yang relevan diambilkira walaupun di Malaysia pegangan kepada pandangan mazhab Syafie dalam hal ini masih kuat dipegang sebagaimana yang dapat dilihat dalam beberapa keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa (Aizat :175). Pandangan ini diambil dalam konteks ia mengiktiraf aplikasi konsep istihalah dalam isu pemakanan dengan sedikit modifikasi iaitu disyaratkan bahawa bahan makanan tersebut perlu menjalani ujian makmal untuk memastikan bahawa istihalah tersebut benar-benar berlaku.
KEPERLUAN KEPADA UJIAN MAKMAL.
Kajian yang dilakukan oleh Aizat Jamaluddin dan Che Wan Jasimah Wan Mohamed Radzi (2009) menjelaskan akan keperluan kepada ujian makmal bagi menentukan apakah percampuran bahan haram dengan yang halal telah mengalami proses istihalah iaitu bahan haram tersebut telah hilang sifat ain dan zatnya. Ini bersesuaian dengan keputusan Nadwah Pengurusan Islam ke 8 dalam Ilmu Perubatan dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa tentang kehalalan sesuatu produk yang terhasil daripada percampuran bahan halal dan haram adalah bergantung berlakunya istihalah iaitu perubahan zat dan ain bahan haram tersebut. Perubahan zat dan ain ini hanya akan dapat ditentukan melalui ujian makmal sahaja. Adalah sukar untuk menentukan istihalah benar-benar berlaku kalau hanya berdasarkan pandangan mata kasar. Contohnya:
1. Penggunaan enzim transglutaminase dan serbuk plasma bersumberkan darah. Kedua-dua bahan ini banyak digunakan dalam penghasilan makanan seperti bebola ikan, sosej, keju, yogurt dan sebagainya. Walaupun berlaku percampuran antara bahan halal iaitu doh untuk penyediaan bebola ikan dan enzim transglutaminase dan serbuk plasma di atas tetapi ia dikategorikan sebagai istihalah fasid kerana elemen darah masih wujud pada bahan akhir tersebut.
2. Penghasilan kek sama ada disapu atau dicampur dengan wain untuk tujuan mencantikkan dan penambahbaikan struktur luaran dan kandungannya. Walaupun sifat wain yang meruap tetapi setelah ujian makmal dijalankan kandungan wain yang disapukan pada kek tersebut masih boleh dikesan akan kewujudannya pada kek tersebut. Ini bersesuaian dengan hadis “jika penggunaan banyak diharamkan, maka yang sedikit turut haram.” Jadi persoalan timbul, apakah semua percampuran bahan halal dan haram akan menyebabkan hasil bahan akhirnya juga turut haram. Kajian di atas tidak menjelaskan hal tersebut. Contoh atau model yang diberikan penyelidik hanya membabitkan percampuran bahan halal dengan haram dan akhir bahan yang terhasil adalah halal adalah istihalah yang berlaku secara semulajadi bukan hasil aktiviti manusia. Misalnya, khinzir yang terjatuh ke dalam lautan garam yang mana ianya terurai secara semula jadi dan menjadi garam. Maka garam tersebut adalah halal. Begitu juga dengan haiwan al-jallalah seperti ternakan ikan yang diberi makan usus khinzir yang asalnya haram dimakan boleh berubah menjadi halal setelah melalui proses pengkuarantinan dalam tempoh tertentu.
KESIMPULAN
Berdasarkan perbincangan berkaitan isu istihalah ini, saya ingin menyimpulkan beberapa noktah penting untuk diperhatikan:
1. Apa-apa pertukaran semula jadi harus diiktiraf sebagai istihalah sahihah. Arak kepada cuka, ternakan ikan yang diberikan usus khinzir, pokok yang disirami najis khinzir atau sebagainya maka buah atau sayur yang terhasil adalah halal.
2. Isu utama berkaitan dengan industri makanan dan minuman yang berlaku pada masa kini dengan adanya teknologi pemakanan adalah berkaitan bahan yang terhasil daripada percampuran bahan halal dan bahan haram. Apakah istihalah yang berlaku boleh dikategorikan sebagai istihalah sahihah atau istihalah fasidah? Maka di sini ujian makmal mesti dilakukan bagi memastikan sama ada zat atau ain bahan yang haram masih wujud atau tidak. Jika wujud maka ia di hukumkan haram dan jika tidak wujud maka dihukumkan halal.
3. Satu persoalan yang perlu juga diperhatikan adalah, apakah perubahan ain atau zat itu memadai dapat dikenalpasti melalui penglihatan kasar sahaja sebagaimana yang diijtihadkan oleh ulama-ulama yang mengiktiraf proses istihalah daripada mazhab Hanafi dan Maliki. Ini kerana pada masa pendapat ini diijtihadkan mereka tidak pun mempunyai kemudahan makmal untuk dijalankan ujikaji tentang kandungan bahan tersebut. Dan apakah ujian makmal boleh dikategorikan sebagai satu tuntutan melampau dan memberatkan dan menyusahkan umat Islam sahaja. Oleh itu kita sudah boleh menerima apa sahaja perubahan fizikal bahan yang haram tersebut dan ia sudah boleh dikatakan berlakunya istihalah yang sahihah.
Sumber: Ringkasan petikan dari En. Mohd Izhar Ariff Bin Mohd Kashim dalam artikel beliau bertajuk Istihalah Dan Kesannya Kepada Makanan Menurut Perspektif Islam.
0 Ulasan