JURURAWAT DI SINGAPURA DIBENARKAN MEMAKAI TUDUNG.

Lamanfo.com

Laman Informasi

JURURAWAT DI SINGAPURA DIBENARKAN MEMAKAI TUDUNG.

Jururawat dalam sektor kesihatan awam yang beragama Islam di Singapura sudah dibenarkan memakai tudung bermula November tahun ini dan juga dibenarkan untuk memakai tudung dengan seragam mereka, jika mereka mahu. 
 
 
Gambar Hiasan kredit: Bernama
 
Demikian diumumkan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dalam ucapan di Rapat Umum Hari Kebangsaan.

Berita Mediacorp melaporkan, beliau berkata, pemerintah berusaha untuk melaksanakan penyesuaian itu dengan teliti demi memastikan keharmonian kaum dan agama di Singapura kekal utuh.

Beliau juga berkata bahawa pemerintah juga memahami hasrat ramai Muslimah yang ingin memakai tudung.

Pada 2014, beliau mengadakan perbincangan tertutup dengan para pemimpin Melayu Islam dan menjelaskan dasar pemerintah bagi sektor jagaan kesihatan bukan sesuatu yang muktamad dan tidak boleh diubah.

“Kami memantau keadaan. Jika dan apabila kami mengubah pendirian, kami akan memastikan terlebih dahulu bahawa semua orang – Muslim mahupun bukan Muslim – memahami dan menerima perubahan itu. Ini kerana, tudung bukan hanya isu melibatkan masyarakat Muslim. Ia adalah isu nasional,” katanya

Sejak beberapa dekad yang lalu, lebih ramai wanita Muslim di Singapura memakai tudung baik dalam persekitaran sosial mahupun di tempat kerja.

Tahun demi tahun, perubahannya perlahan-lahan, namun dalam tempoh satu generasi, perubahan itu semakin ketara.

Maka, kata Hsien Loong, pemerintah memahami sepenuhnya hasrat lebih ramai wanita Muslim untuk memakai tudung.

“Namun, kami berhati-hati tentang bagaimana reaksi masyarakat bukan Muslim kepada perubahan ketara itu dan sejauh mana ia akan menjejas hubungan antara masyarakat berbeza.

“Adakah ia akan dilihat sebagai lebih ‘inklusif’ atau ia menonjolkan perbezaan?” tambahnya.

Hari ini, tudung dipakai dalam banyak persekitaran tanpa sekatan – di tempat awam, di tempat kerja dan di Parlimen.

Menerusi pemerhatian pemerintah sepanjang tempoh tujuh tahun kebelakangan ini, ia mendapati interaksi antara kaum kekal baik.

“Masyarakat bukan Muslim semakin biasa melihat wanita Muslim memakai tudung. Wanita Muslim yang memakai tudung juga secara amnya selesa berinteraksi secara sosial dengan lelaki dan wanita bukan Muslim dalam kebanyakan keadaan,” kata Hsien Loong.

 

Sumber: Utusan

Catat Ulasan

0 Ulasan